Ulasan Apple Macbook Air 2019 Ada
Sejak kami mula menerjah masuk ke dalam industri penulisan, ramai teman-teman menyarankan kepada kami untuk membeli sebuah MacBook. Menurut mereka jika ingin mendapatkan nikmat menulis tanpa menghadapi sebarang masalah, MacBook ialah komputer riba terbaik boleh dimiliki.
Selepas lebih dua dekad menulis, kami akhirnya mampu membeli sebuah MacBook Air kerana adalah versi yang paling mampu milik jika dibandingkan dengan model MacBook Pro. Hasrat membelinya kami tangguh sejak setahun lalu kerana penggunaan papan kekunci kupu-kupu yang bermasalah. Selepas tiga kali rekaannya dikemaskini barulah kami cukup yakin untuk membeli. Jadi adakah apa yang disebutkan oleh rakan penulis sejak dua dekad yang lalu masih boleh digunapakai? Benarkah MacBook Air komputer riba yang berbaloi dimiliki untuk digunakan oleh seorang penulis sepenuh masa jika dibandingkan dengan sebuah PC pada harga yang sama?
Spesifikasi Dan RekabentukApple MacBook Air Jun 2019Skrin13.3″ IPS LCD 2560×1600 pixelPemproses1.6GHz Intel Core i5-8210YGrafikIntel UHD Graphics 617RAM8 Gigabyte LPDDR3Muatan Dalaman256GB SSD PCIeKamera720PI/O2 X Thunderbolt 3 USB-C,
bicu audioHDMITiadaPembaca KadTiadaImbasanCap jari (Touch ID)SIMTiadaBateri49.9 WhHarga JualanDari RM 4699Komputer dilengkapi skrin 13.3″ IPS LCD dengan resolusi retina 2560×1600 pixel bernisbah 16:10 tanpa sokongan sesentuh. Pemproses yang digunakan pula ialah 1.6GHz Intel Core i5-8210Y dua teras yang masih lagi dari generasi ke lapan. Terdapat pilihan sehingga 16GB LPDDR3 dan storan pula sehingga 1TB SSD.
Model yang kami ulas ini dilengkapi 8GB LPDDR3 dengan storan 256GB SSD. Ini adalah sedikit lebih baik dari model paling asas yang ditawarkan dengan 128GB SSD PCIe. Apple juga masih belum menawarkan model dengan cip Intel generasi ke-sepuluh ketika artikel ini ditulis. Oleh sebab itu cip grafik yang digunakan pula hanya sekadar Intel UHD Graphics 617.
Seperti MacBook yang lain, anda perlu menetapkan saiz RAM dan SSD yang ingin dimiliki. Kedua-dua komponen ini dipateri pada papan induk. Tiada pilihan menambah atau menukar komponen selepas ia dibeli.
Kamera web yang digunakan pula masih lagi hanya menyokong resolusi HD sahaja. Ini adalah kamera yang sama seperti yang ditawarkan pada model MacBook Pro. Mungkin pada pandangan Apple, kamera web 720P adalah lebih dari mencukupi untuk melakukan panggilan FaceTime ataupun Skype. Tidak seperti Lenovo dan HP, Apple tidak menawarkan suis khas untuk menutup fungsi kamera. Bagi yang mungkin sedikit risau tentang intipan, anda masih perlu membeli pelekat untuk menutup lensa kamera web ini.
Bateri yang dibekalkan pula adalah sebesar 49.9Wh yang boleh dicas menggunakan dua port USB-C Thunderbolt3 pada sisi kiri komputer. Untuk mengecas anda hanya perlu menggunakan sebuah pengecas 30W. Kedua-dua port Thunderbolt 3 yang sama boleh menyokong output dua monitor 4K 60Hz secara serentak atau satu monitor 5K 50Hz.
Selain dua port Thunderbolt 3 USB-C, hanya satu bicu audio 3.5mm diberikan pada sisi kanan. Komputer riba MacBook tidak terkenal dengan sokongan I/O yang pelbagai. Sekiranya anda memerlukan pembaca kad, USB-A dan HDMI misalnya, anda perlu menggunakan penyesuai yang dijual secara berasingan.
Dua pembesar suara pula menghimpit kedua-dua sisi papan kekunci. Kekisi audio adalah besar bagi membolehkan audio yang lantang dihasilkan menghala terus ke atas.
Kesemua ini dimasukkan ke dalam kerangka hanya sebesar 306.1 x 212.4 x 15.6 mm sebesar 1.25kg. Dengan saiz yang padat ini, ia boleh dimasukkan ke dalam pelbagai jenis beg galas di pasaran tanpa sebarang masalah. Sepanjang penggunaan selama sebulan, kami tidak pernah lagi merungut tentang beratnya. Malahan kadang kala ia tidak dirasai sehingga kami terpaksa memeriksa ia berada di dalam beg sebelum ke pejabat bagi memastikan ia dibawa keluar rumah.
Rekabentuk
Sejak dari generasi pertama MacBook Air yang dilancarkan pada tahun 2008, rekaan komputer riba ini boleh dikategorikan sebagai seksi. Tubuhnya pipih pada bahagian hadapan dengan ketebalan 41mm sahaja. Terdapat tiga pilihan warna iaitu Gold, Space Grey dan Silver. Kesemuanya dengan kemasan yang pusam bagi mengurangkan masalah cap jari tertinggal pada bahagian tubuh. Hanya logo Apple yang diperbuat daripada logam mempunyai kemasan berkilat.
Pada bahagian bawah terdapat empat pelapik getah yang menghalang permukaan tapak bergesel dengan permukaan meja. Saiz pelapik adalah kecil tetapi mencukupi untuk memberikan geseran yang cukup bagi mengelakkan ia terjatuh dari permukaan meja. Seperti panel penutup, rekaan panel bawah ini juga kemas. Tiada sebarang lubang udara dapat dilihat.
Kami menggemari rekaan ini kerana mengelakkan kemalangan komputer riba digenangi air apabila diletakkan di atas permukaan meja restoran yang basah. Siapa yang pernah bekerja di restoran mamak tahu ini adalah antara situasi yang menakutkan apabila menggunakan komputer riba yang mempunyai lubang udara dan kekisi audio pada bahagian bawah.
Lubang pengudaraan untuk sistem penyejukan disorok di antara engsel dan tubuh. Udara yang panas dan bunyi desiran dari kipas penyejuk disalurkan jauh dari tubuh pengguna.
Bercakap mengenai engsel skrin, ia juga tersorok. Pengguna boleh membuka panel penutup dengan hanya sebelah tangan sehingga 135 darjah tetapi pada waktu yang sama engsel ini cukup keras untuk memastikan skrin tidak bergegar ketika menaip.
Papan Kekunci
Penggunaan papan kekunci kupu-kupu menjadi topik kontroversi sejak ia diperkenalkan pada MacBook 12″ empat tahun yang lalu. Papan kekunci ini mempunyai jarak pergerakan butang yang lebih cetek berbanding papan kekunci gegunting yang digunakan sebelum ini. Apple telah mengemaskini rekaan kekunci kupu-kupu sebanyak tiga kali selepas ia mendatangkan pelbagai masalah kerana ia dimasuki debu dan kubah logam yang tidak tahan lasak.
MacBook Air Julai 2019 hadir dengan kekunci kupu-kupu versi terkini yang sepatutnya menyelesaikan kesemua masalah yang dilaporkan sebelum ini. Namun begitu bagi mereka yang risau tentang ketahanannya, Apple menawarkan program gantian percuma kekunci selama empat tahun. Jika anda masih enggan menggunakan kekunci kupu-kupu anda tiada pilihan selain menanti model dengan kekunci gegunting baharu dipercayai akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Kesemua 78 kekunci hadir dengan sokongan lampu berwarna putih. Terdapat 16 tahap keterangan lampu yang boleh diubah oleh pengguna mengikut keselesaan mata dan situasi. Sebuah butang kuasa dengan pengimbas cap jari Touch ID disertakan pada kesemua model MacBook Air Julai 2019 bagi membolehkan log masuk tanpa menggunakan kata laluan.
Sebelum menggunakan MacBook Air ini kami tergolong di dalam kumpulan yang sedikit sangsi tentang keselesaan menaip. Harus kami akui terasa amat canggung menaip pada kekunci untuk tujuh hari pertama. Jari terasa sakit dan perlu membiasakan dengan kekunci yang amat cetek ini. Selepas tempoh tersebut kami tidak lagi menghadapi sebarang masalah. Otot jari mula belajar dan kami boleh menaip jauh lebih pantas berbanding pada papan kekunci komputer riba biasa.
Adalah ini papan kekunci terbaik untuk komputer riba dari pandangan seorang penulis? Jawapannya ialah tidak kerana takhta masih lagi dipegang oleh Lenovo ThinkPad X1 Yoga yang kami ulas tahun lalu. Kombinasi kekunci yang responsif dan tidak terlalu cetek memberikan kenikmatan menaip yang masih belum dapat diatasi sehingga kini.
Dari skala satu sehingga sepuluh, kami berikannya lapan markah kerana membenarkan proses menaip yang pantas untuk jangka waktu yang lama. Markah penuh tidak boleh diberikan kerana ia memerlukan tempoh membiasakan diri yang agak lama dan kekunci yang agak bising setiap kali ditekan.
Pad Sesentuh
Kekuatan sebenar MacBook terletak pada pad sesentuh dengan teknologi Force Touch. Tidak ada komputer riba Windows 10 lain yang pernah diulas mempunyai tahap kejituan pad sesentuh seperti MacBook. Tatalan dapat dilakukan dengan amat lancar. Sokongan pelbagai gesture terbina juga membuatkan penggunaan komputer riba menjadi amat mudah.
Keseluruhan permukaan pad sesentuh boleh mengesan tekanan bukan hanya pada bahagian hujung pada komputer Windows. Ketepatan pad sesentuh adalah amat baik membuatkan kami boleh melakukan suntingan gambar yang agak rumit di dalam PhotoShop tanpa tetikus. Saiz pad sesentuh juga memuaskan walaupun tidak sebesar pada sebuah MacBook Pro.
Tiadanya keperluan tetikus ada perlu kerana seperti kami nyatakan di beberapa perenggan di atas, MacBook Air hanya dilengkapi USB-C. Untuk menggunakan tetikus anda perlu membeli penyesuai USB-C ke USB-A. Pendek kata pada sesentuh MacBook adalah terbaik di dalam kelasnya.
Penggunaan
MacBook Air telah dikemaskini kepada macOS 10.15 Catalina yang merupakan versi paling terkini. Perdebatan mengenai sistem operasi manakah yang terbaik sudah berlarutan sejak 1984. Mac OS memperkenalkan GUI yang kemudian ditiru oleh Windows. Kami hanya baru berubah ke macOS sejak Januari tahun ini dan dapat melihat kebaikan serta keburukan kedua-dua sistem.
Perkara positif ialah integrasi sistem yang lebih lengkap pada macOS. Mesej dari iPhone, panggilan telefon dan kandungan multi-peranti dapat diakses pada macOS dengan lebih baik. Kami cukup menggemari fungsi menjawab panggilan telefon terus dari MacBook ketika melakukan kerja. Memindahkan fail dari iPad ke Mac juga dilakukan dengan pantas menggunakan AirDrop. Tetapi fungsi yang paling digemari ialah tambatan Internet pada MacBook menggunakan iPhone yang boleh dilakukan tanpa iPhone disentuh.
Pengurusan memori pada Mac juga lebih baik. Walaupun hanya dilengkapi cip Intel Core i5 dua teras dan RAM sebesar 8GB LPDDR3, kami boleh membuka lebih banyak tab dan aplikasi secara serentak berbanding komputer riba gaming dengan saiz RAM yang lebih besar. Masalah perisian tertutup sendiri juga tidak pernah berlaku. Kami langsung tidak merindui BSOD.
Namun untuk menikmati kesemua ini anda harus membelanjakan wang kerana perlu memiliki peranti Apple yang lain. AirDrop adalah menarik tetapi tidak boleh digunakan pada komputer Windows atau telefon Android. Memiliki hanya satu peranti Apple sahaja tidak mencukupi bagi mendapatkan pengalaman penggunaan yang paling optimum.
Penanda ArasModel yang kami ulas dilengkapi cip 1.6GHz Intel Core i5-8210Y hadir dengan dua teras sahaja dan dipadankan dengan memori sebesar 8GB LPDDR3. Proses boot up mengambil masa sekitar 15 saat dan boleh dikatakan perlahan jika dibandingkan dengan sebuah komputer Windows. Tetapi selepas dihidupkan secara lazimnya ia tidak akan dimatikan sebaliknya hanya diletakkan dalam mod tidur. Skrin akan hidup dengan pantas sebaik sahaja penutup dibuka. Ia hampir sepantas sebuah telefon pintar dan sebagai insan yang tidak gemar menunggu, sistem yang digunakan ini amat menjimatkan masa.
Dalam ujian Geekbench 5, cip Intel Core i5-8210Y mencatatkan 762 markah dalam ujian satu teras dan 1610 markah dalam ujian multi-teras. Ini adalah markah yang lebih rendah berbanding cip Apple 13 Bionic pada iPhone 11 Pro. Cip mudah alih ini mencatatkan 1334 markah untuk ujian satu teras dan 3190 markah dalam ujian multi teras. Kita kini hidup di dalam dunia di mana cip telefon pintar lebih berkuasa berbanding sebuah komputer riba.
SSD yang digunakan pula membaca pada kelajuan membaca sekitar 1.3 GB/s dan kelajuan menulis pula sekitar 1 GB/s. Kelajuan SSD model 2019 sebenarnya lebih perlahan berbanding model 2018. Terdapat teori komponen lebih perlahan digunakan bagi mengurangkan harga jualan.
Sungguhpun markah yang dicatatkan tidak menakjubkan, MacBook Air 2019 berfungsi dengan cukup lancar dan stabil. Melancarkan pelbagai aplikasi tidak mendatangkan semalam masalah RAM. Malahan banyak tab boleh dibuka pada pelayar web tanpa kami sedari sebarang sela masa.
Prestasi hanya mula terjejas selepas bateri turun ke bawah 10%. Sistem komputer akan mula mengurangkan kelajuan pemproses sehingga ingin memuat naik gambar ke WordPress atau mengeksport gambar dari Photoshop akan mengambil masa yang agak lama.
AudioDua pembesar suara stereo yang digunakan tidak menerima sebarang talaan dari jenama besar seperti Harman atau Bang&Olufsen tetapi menawarkan kualiti audio yang amat baik. Bunyi yang dihasilkan tidak pecah pada tetapan tinggi, jelas, mempunyai dimensi, bass yang baik dan treble yang cukup rangup. Apple membuktikan jika pembesar suara anda cukup baik, tiada keperluan untuk menggunakan nama pengeluar audio ternama untuk melariskan jualan.
Kami meletakkan kemampuan audio MacBook Air sebagai antara yang terbaik pernah kami dengari dan hanya sedikit di belakang Lenovo Yoga C930 yang hadir dengan soundbar terbina pada engsel. Saiz pembesar suara yang lebih besar dengan sokongan Dolby Atmos memberikan kelebihan pada komputer riba Lenovo ini.
BateriApple mengiklankan hayat penggunaan melayari web sehingga 12 jam dengan sekali caj. Tetapi ini bukanlah kayu ukuran yang realistik kerana MacBook Air tidak digunakan sekadar untuk melayari web. Hayat penggunaan purata yang kami nikmati ialah sekitar tujuh jam. Tetapi skrin diletakkan pada keterangan 60%, sentiasa bersambung kepada WiFi dan lampu papan kekunci yang dimatikan.
Hayat penggunaan sebenarnya lebih tinggi sekitar 8 jam sebelum dikemaskini ke macOS Catalina. Kami merasakan penggunaan purata sekitar tujuh jam adalah memuaskan. Waktu pengecasan semula bateri adalah sekitar dua jam menggunakan pengecas 30W yang diberikan.
Kesimpulan
Adakah MacBook Air komputer riba terbaik untuk penulis sepenuh masa? Jawapan yang boleh kami berikan ialah ya sekiranya anda seorang penulis dari golongan T20 yang mempunyai dana untuk membeli bukan sahaja komputer riba tetapi peranti Apple yang lain bagi menikmati ekosistem yang lengkap.
Tidak dapat dinafikan ia adalah komputer riba paling stabil pernah kami gunakan sejak berjinak-jinak dengan dunia perkomputeran 24 tahun yang lalu. Walaupun spesifikasi di atas kertas tidak setanding dengan harga jualannya – Lenovo ThinkBook 13s dijual pada harga lebih rendah dengan spesifikasi lebih baik – prestasinya dalam melakukan tugasan yang sama adalah lebih lancar kerana sistem operasi macOS yang lebih stabil. Papan kekunci kupu-kupu mempunyai reputasi yang buruk tetapi sebenarnya tidak seteruk yang disangka. Selepas tempoh penyesuaian, ia berfungsi sebaik majoriti papan kekunci biasa. Pad sesentuhnya pula adalah terbaik di dalam kelas.
Dengan pemproses Intel Core i5 generasi ke-lapan dengan dua teras sahaja, ia tidak boleh digunakan untuk tugasan lebih berat. Kekurangan mula dilihat apabila cuba menyunting fail Photoshop yang bersaiz besar. Ketahanan bateri juga hanya setanding komputer riba Windows biasa. Ia tidak setanding MacBook Air generasi terdahulu kerana penggunaan skrin beresolusi Retina. SSD yang digunakan juga lebih perlahan berbanding model tahun 2018. Ini mengecewakan kerana SSD dan RAM pada komputer riba ini dipateri terus pada papan induk sehingga tidak boleh ditambah baik sendiri oleh pemilik.
MacBook Air 2019 ialah komputer riba paling “mampu milik” ditawarkan oleh Apple dengan harga bermula dari RM4699 sebuah. Jika anda mahukan sebuah MacBook, MacBook Air 2019 ialah pilihan terbaik untuk bejinak-jinak dengan macOS.
PRO dan KelebihanPrestasi yang baik dan lancar walaupun dengan spesifikasi yang ketinggalan jika dibandingkan dengan komputer riba Windows 10 yang dijual pada harga yang sama.Kemasan yang amat premium dan kemas.Paparan yang tajam dan terang. Boleh dilihat dengan jelas walaupun digunakan di luar.Pad sesentuh terbaik untuk komputer riba.Hayat bateri yang memuaskan.Rekaan yang kecil, nipis dan ringan.macOS ialah sistem operasi yang amat baik.KONTRA dan KekuranganPilihan I/O yang terhad kepada dua USB-C Thunderbolt 3. Perlu membeli penyesuai.Kekunci yang keras dan cetek memerlukan pengguna mempelajari semula cara menaip.Spesifikasi yang setahun ke belakang. Tiada penawaran cip Intel generasi ke-9 atau ke-10.Memerlukan peranti Apple yang lain jika ingin menikmati ekosistem yang sempurna.RAM dan SSD dipateri ke papan induk. Tidak boleh ditambah baik.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://penlawak.blogspot.com/2019/10/ulasan-apple-macbook-air-2019-ada.html