Ujian Saringan Berkurangan Wujudkah Kes Covid Tidak Dilaporkan
Strategi lapuk Kementerian Kesihatan Malaysia yang terus melakukan ujian saringan rendah di seluruh negara dipertikaikan.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada 21 Jun pihak Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan hanya 58,384 ujian saringan Covid-19 telah dilakukan dengan 4,611 kes positif, dan kes jangkitan harian dikatakan telah turun.
Namun, menurut Anwar, amalan seperti itu tidak mencerminkan keseluruhan kes di seluruh negara apabila jumlah ujian menurun sebanyak separuh sejak Mei lalu.
“Ujian saringan telah menurun sebanyak 52% sejak 29 Mei dan tidak mengejutkan juga bahawa kes harian menurun sebanyak 48% dalam tempoh yang sama.
“Untuk membandingkan, pada bulan April 2021 Malaysia secara puratanya melaporkan sebanyak 2,107 kes harian baharu dengan melakukan 58,277 ujian saringan sehari.
“Dalam maksud lain, kita hari ini mempunyai dua kali ganda kes dengan kadar ujian yang sama yang kita lakukan pada bulan April,” kata Anwar dalam kenyataan hari ini.
Bagi Pengerusi Pakatan Harapan itu, Malaysia seharusnya berpandukan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menetapkan 10 hingga 30 ujian mesti dilakukan untuk satu kes positif atau lebih, bilamana terdapat perebakan wabak bagi membendung kes-kes sporadik.
Apatah lagi, katanya, Malaysia terus menjadi antara negara yang mempunyai kadar kes Covid-19 yang tertinggi di dunia, dan kebanyakan kes yang dikesan tidak dikesan melalui mana-mana kluster.
“Menurut syor dari WHO itu, Malaysia seharusnya melakukan sekurang-kurangnya 138,000, atau 300,000 ujian saringan setiap hari. Sekiranya 138,000 ujian saringan dilakukan hari ini, kita pasti akan mengesan lebih 9,000 kes-kes baharu.
“Ramai pakar penyakit berjangkit mengesyorkan agar kadar ujian ditingkatkan dan juga saintis-saintis data dan pakar-pakar ekonomi.
“Badan-badan dan institut-institut pemikir dan penyelidikan yang dekat dengan kerajaan PN juga mengesyorkan langkah yang sama. Namun, kadar pengujian kita terus menurun dan ada beberapa kerat pemimpin politik tanpa rasa bersalah menyatakan kes sedang menurun kononnya kesan dari langkah PKP yang dijalankan pemerintah,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu bersetuju dengan saranan Pengarah Kesihatan pada 5 Februari lalu menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang merencana untuk meningkatkan keupayaan pengujian kepada 200,000 satu hari.
“Minggu ini, Pengarah Kesihatan telah mengarahkan makmal-makmal swasta untuk meningkatkan ujian saringan.
“Setakat ini, kes baharu yang paling tinggi dikesan dalam satu hari adalah sebanyak 126,964 pada 29 Mei yang lalu. Angka ini jauh dari sasaran 200,000 ujian saringan yang disasarkan KKM.
“Malaysia juga telah berada dalam fasa darurat sejak bulan Januari. Saya bingung memikirkan mengapa keupayaan ujian saringan tidak mencapai sasaran yang dibuat, dan mengapa kerajaan yang mempunyai kuasa di bawah Ordinan Darurat kini merayu pada sektor swasta bagi membantu dalam rencana ini. Ini bukti nyata kerajaan PN adalah kerajaan yang gagal,” katanya.
Tambah Anwar, kempen vaksinasi yang lemah dan lembab menyukarkan lagi keadaan. Dengan dos total harian yang disuntik menurun sebanyak 40% sejak hari Khamis lalu.
“Dengan kadar vaksinasi yang lembab selembab siput, saya fikir amat wajar kadar pengujian ditingkatkan bagi melindungi kesihatan warga,” katanya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suarapakatandaily.com/archives/32392