Ubuntu Unity Dilahirkan Semula Sebagai Ubuntu Unity Remix 20 04
Saya masih ingat lagi pada ketika Ubuntu 11.04 dilancarkan suatu ketika dahulu, ia merupakan versi Ubuntu pertama yang memperkenalkan Unity kepada dunia.
Masih segar diingatan juga, saya berasa sangat tidak sukakan Unity kerana lebih menggemari Gnome 2 yang pada waktu itu perlahan-lahan cuba dimatikan oleh Canonical.
Atas sebab itulah saya amat membenci Unity, kerana pada saya paparan antaramuka Gnome 2 lebih serasi dengan jiwa saya. Tetapi dalam masa yang sama saya cuba memberikan Unity peluang bagi membuktikan kebergunaannya.
Dipendekkan cerita selepas beberapa versi berlalu, saya mula menyukai Unity pula dek kerana ‘work flow’ yang lebih lancar.
Malangnya ketika saya sudah dapat mencipta keserasian bersama Unity, Canonical sekali lagi mengambil keputusan drastik dengan menggugurkan Unity lalu menggantikannya kepada GNOME 3 pula.
Terus-terang, saya juga tidak menyukai GNOME 3 atas sebab paparan antaramukanya yang dirasakan begitu ‘menghina kepintaran’ saya disebabkan ia seringkali membuang ciri yang dimahukan oleh pengguna, dan dalam bahasa Inggeris-nya, paparan antaramuka GNOME 3 adalah ‘dumbed down’, tidak punyai banyak pilihan untuk mengubahsuai, dan juga ‘kaku’.
Kerana itu saya beralih kepada KDE Plasma, yang dipasang melalui distro Manjaro. KDE Plasma memberikan peluang kepada pengguna untuk mengubahsuai paparan antaramukanya kepada apa sahaja yang dapat digambarkan dalam minda.
Tetapi baru sahaja hendak terasa selesa, tiba-tiba saya terbaca berita di Forbes yang mengatakan bahawa terdapat distro baharu berasaskan Ubuntu yang menggunakan Unity7 sebagai persekitaran meja.
Ini adalah sesuatu yang tidak dapat saya lepaskan. Sekian lama saya menanti agar ada pembangun yang baik hati untuk menghidupkan semula Unity ke dalam Ubuntu, dan akhirnya hari itu telah tiba.
Betapa terperanjatnya saya apabila mengetahui bahawa pembangun bagi distro ini ialah seorang budak berusia 10 tahun.
Ya, 10 tahun.
Perkenalkan kepada semua, inilah dia Ubuntu Unity Remix 20.04.
Rudra B. Saraswat, individu yang bertanggungjawab membangunkan semula Ubuntu dalam persekitaran meja Unity menceritakan bahawa dia menggunakan versi 17.04 ketika berumur 8 tahun dan mula menyukai Unity7.
Tetapi seperti yang kita tahu, Unity7 dimansuhkan oleh Canonical, dan membuatkan Rudra berasa sedih lalu dia pun memulakan projek Ubuntu Unity Remix ini bagi memberikan nafas baru kepada Unity7.
Rudra berhasrat suatu hari nanti Ubuntu Unity Remix ini akan menjadi flavor rasmi dalam senarai pelbagai flavor Ubuntu yang lain. Disebabkan itu Rudra membina distro ini dari ‘stock base’ dan tiada sebarang PPA pihak ketiga dimasukkan. Lightdm pula telah digantikan dengan GDM3.
Jika anda berminat untuk mencuba, anda bolehlah muat turun ISO melalui pautan Mediafire ini:
unubuntu-20.04-desktop-amd64
Jika anda ingin turut serta dalam perbincangan mengenai distro ini pula, anda bolehlah sertai:
Telegram Channel: t.me/ubuntuunityannouncements
Group perbincangan Telegram: t.me/ubuntuunitydiscuss
Twitter: @ubuntu_unity
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/ubuntu-unity-dilahirkan-semula-sebagai-ubuntu-unity-remix-20-04/