Tutur Kata Lemah Lembut Dan Tersusun Pemergian Ustaz Ku Yaacob Dicemburui Ramai
KUALA LUMPUR – Ustaz Ku Yaacob Ku Hashim, 68 tahun, khatib Masjid Al-Bukhary di Jalan Langgar, Alor Setar, yang dilaporkan meninggal dunia ketika sedang menyampaikan khutbah Jumaat semalam, merupakan seorang yang amat disenangi ramai.
Allahyarham yang juga Timbalan Pengerusi 1 masjid tersebut disifatkan sebagai seorang yang amat komited dalam melaksanakan tugas dan tidak pernah meninggikan suara apabila berbicara.
Menurut Eksekutif Kanan masjid, Abdul Rahman Yaacob, 42 tahun, hati terasa tenang apabila berdampingan dengan arwah kerana tutur katanya yang lemah lembut, tersusun dan berbudi pekerti.
“Sesungguhnya, kematian Ustaz Ku Yaacob amat dicemburui memandangkan Allahyarham seorang yang sangat baik,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Katanya, Ku Yaacob tiba-tiba rebah semasa membaca khutbah dan kejadian itu dirakamkan oleh beberapa jemaah.
Salah seorang jemaah masjid yang merupakan seorang doktor kemudiannya membantu Allahyarham yang pengsan, sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
“Bagaimanapun, Allahyarham disahkan telah meninggal dunia,” kata Abdul Rahman.
Menurutnya, Ku Yaacob, bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, sering memberi tazkirah sebelum solat Zohor pada hari Isnin dan Sabtu, selain membaca khutbah Jumaat.
“Kami Ahli Jawatankuasa dan jemaah Masjid Al-Bukhary sering menjadikan beliau sebagai rujukan ilmu agama,” tambahnya.
Abdul Rahman berkata, beliau bersama Ku Yaacob baru-baru ini ada berbincang mengenai latihan protokol sebelum membaca khutbah apabila Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin berkenan menunaikan solat Jumaat di masjid itu sebelum Syawal lalu.
Menurutnya, Allahyarham dilihat amat tekun mempelajari protokol itu dan tidak menolak untuk melakukan bacaan khutbah terbabit.
Sementara itu, seorang jemaah yang turut berada di lokasi kejadian, merangkap bekas pelajarnya, Hassan Mustafa Afifuddin, 30 tahun, ketika dihubungi Bernama berkata Ustaz Ku Yaacob rebah semasa membaca khutbah awal kira-kira jam 1.30 tengah hari.
“Waktu itu saya dengar sekali khutbah disampaikan ustaz, sebelum ustaz rebah dan jatuh terlentang atas tempat khutbah.
“Kemudian jemaah lain ambil ustaz dari mimbar dan ada beberapa jemaah yang kerja sebagai doktor memberikan bantuan rawatan awal seperti CPR (bantuan pernafasan) dan cek nadi di leher ustaz. Saya pula menghubungi ambulans,” katanya.
Hassan berkata, selepas itu dia pergi mengambil isteri Allahyarham di rumah mereka untuk membawanya ke hospital berkenaan sejurus mendapat panggilan daripada isteri Ku Yaacob.
“Saya pergi ambil ustazah sebab saya dihubungi ustazah. Saya tanya ustazah dapat mana nombor saya, ustazah ambil dalam telefon ustaz yang ketika itu ditinggal di rumah, dan ustazah tergerak hati untuk menelefon saya,” katanya.
Dia berkata setibanya di hospital mereka dimaklumkan oleh pegawai perubatan yang bertugas bahawa Ku Yaacob sudah meninggal dunia.
Hassan berkata dia sempat pergi beraya dengan bekas gurunya itu di rumah Allahyarham pada 12.15 tengah hari ini sebelum Ku Yaacob keluar ke masjid sekitar 12.30 tengah hari untuk membuat persediaan membaca khutbah Solat Jumaat.
“Saya sempat minta ustaz baca doa dekat anak saya, dan ustaz ada menyebut dekat saya macam ini ‘ana (saya) nak kena cepat, sebab ana bertugas baca khutbah dekat masjid’.
“Saya tidak menyangka hari ini kali terakhir dapat lihat ustaz,” katanya.
Sumber: kulihatlangitbiru.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/06/tutur-kata-lemah-lembut-dan-tersusun.html