Tun Mahathir Perdana Menteri Ke 8 Aura Yang Sukar Ditandingi
Akhirnya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tun Mahathir sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya sebelum itu, tetapi kami melihatnya sebagai lantikan sebagai Perdana Menteri ke 8 Malaysia!
Cuba pembaca fikirkan situasi ini; hanya perdana menteri interim sahaja yang boleh mentadbir negara, walaupun tiada peruntukan khas di dalam Perlembagaan yang menentukan tempoh masa untuk seseorang itu menjadi perdana menteri interim!
Dan tanpa sebarang sokongan majoriti di Parlimen sekarang, siapa lagi yang mampu menyingkirkan Tun Mahathir daripada jawatan perdana menteri sehingga PRU 15 akan datang?
Berdasarkan kedudukannya sebagai perdana menteri interim, Tun Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk.
Walaupun bergelar perdana menteri interim, Tun Mahathir terus mendapat sokongan padu daripada parti-parti politik, waima PH mahupun pembangkang juga telah menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan beliau.
Apa kata peguam negara?
Tiada Had Tempoh Perdana Menteri Interim!
Tiada had tempoh bagi jawatan perdana menteri interim, yang boleh memutuskan atas budi bicaranya untuk melantik menteri kabinet, kata Peguam Negara Tommy Thomas.
Perdana menteri interim juga memiliki semua kuasa yang diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri, termasuklah (kuasa) untuk melantik atau tidak melantik anggota kabinet menurut budi bicaranya.
Kerana Dewan Rakyat bersidang dari 10 Mac 2020 ini, suatu usul undi percaya boleh digerakkan terhadap beliau atau sesiapa sahaja.
Oleh yang demikian, adalah salah untuk menyatakan tempoh Perdana Menteri interim hanya selama 10 hari atau waktu lain yang ditetapkan.
Pelantikan Perdana Menteri interim adalah mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan walaupun tiada istilah itu dalam perlembagaan.
Apa pula kata Kartel Azmin Ali?
Kami gagalkan konspirasi singkir PM di tengah penggal!
Dalam suatu kenyataan bersama oleh team Azmin Ali, para anggota parlimen itu menjelaskan tindakan mereka bermaksud untuk menghalang konspirasi yang bertujuan menjadikan Tun Mahathir sebagai 'perdana menteri yang pincang' (lame duck) dengan memaksa peralihan kuasa pada pertengahan penggal mandat PRU.
"Justeru itu kami telah mengambil langkah proaktif untuk mengagalkan konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri di tengah-tengah penggal.
"Langkah yang kami lakukan adalah untuk menjamin keyakinan rakyat dan masyarakat pelabur terhadap kestabilan dan kelangsungan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan untuk meningkat tahap sosioekonomi rakyat seperti yang terkandung Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
"Justeru itu kami menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan pihak yang melabel kami sebagai pengkhianat. Sebaliknya mereka yang berusaha untuk menjatuhkan perdana menteri ditengah penggal adalah pengkhianat sebenarnya kerana mereka lebih mementingkan agenda mengambil kuasa perdana menteri dari perlaksanaan dasar-dasar Kerajaan yang bertujuan memulihkan ekonomi serta meningkat kesejahteraan rakyat.
"Usaha kami terbukti benar bahawa pihak tersebut kini menyedar kesalahan yang mereka lakukan, lantaran itu kenyataan mereka menyokong Tun Mahathir Mohamad meneruskan tugasnya sebagai perdana menteri hingga akhir penggal," jelas mereka.
Kenyataan terakhir ini merujuk kepada sokongan daripada Amanah dan DAP kepada Dr Mahathir untuk terus menjadi perdana menteri.
Bagaimanapun, sokongan dua parti ini tidak menyebut sehingga Mahathir menghabiskan penggal mandat PH.
Percaturan politik yang sangat bijak!
KERAJAAN MINORITI
Kelazimannya, apabila berlaku keretakan dalam parti pemerintah dan menyebabkan kerusi Ahli Parlimen menyokong kerajaan kurang daripada kerusi majoriti, situasi kerajaan berlaku ketika itu adalah kerajaan minoriti.
Senario ini pernah berlaku di Australia, United Kingdom dan beberapa negara lain namun situasi semasa di Malaysia adalah masalah perpecahan dalam parti kerajaan berlaku seiring peletakan jawatan Perdana Menteri.
Senario itu pastinya menyebabkan tiada tokoh dalam ahli Parlimen kerajaan mendapat majoriti jelas bagi menggantikan tempat Perdana Menteri.
Susulan itu Kabinet sedia ada lebih bersifat caretaker dan interim.
Parlimen Seimbang
Sementara itu, Parlimen tergantung adalah satu situasi di mana parti politik tertentu atau gabungan sedia ada (juga dikenali sebagai perikatan atau blok) tidak mempunyai majoriti mutlak dalam Parlimen atau badan perundangan lain.
Situasi ini juga dikenali sebagai parlimen seimbang, walaupun tidak lazim, atau tiada kawalan keseluruhan.
Dalam keadaan ini, tiada parti atau gabungan parti yang mempunyai mandat automatik untuk mengawal eksekutif - status yang biasanya dikenali dalam sistem parlimen sebagai "membentuk (sebuah) kerajaan".
Walau bagaimanapun, majoriti mutlak masih boleh diperoleh melalui pembentukan kerajaan gabungan yang baru, atau penambahan ahli bukan sekutu dalam gabungan yang sudah ada sebelumnya.
Namun, sebuah kerajaan minoriti mungkin dapat dibentuk dimana parti yang mempunyai ahli Parlimen teramai dibenarkan untuk membentuk kerajaan tanpa majoriti mutlak, dengan syarat ia mendapat sokongan dari ahli tidak bersekutu, seperti parti-parti kecil dan atau penggubal undang-undang bebas.
Tercapaikah Hasrat Menjadi Perdana Menteri Ke 9?
Sementara itu, cita-cita Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri masih ada walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh ekoran keretakan yang berlaku dalam gabungan parti berkenaan.
Ini kerana Anwar yang dicanangkan sebagai pengganti Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri perlu mendapat sokongan majoriti daripada 222 orang Ahli Parlimen untuk dibuktikan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Penganalisis politik berpandangan bahawa tugas itu bukanlah satu kerja mudah, namun tidak mustahil buat Anwar mendapat sokongan sama seperti sokongan terhadap Dr Mahathir.
Mengambil contoh apa yang berlaku dalam PH, beliau menegaskan, tidak mustahil kejadian itu tidak akan berulang terhadap pakatan politik baharu yang memerintah negara.
Jadi, peluang berkenaan boleh dimiliki oleh Anwar untuk meraih sokongan supaya cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri terlaksana.
Semuanya berbalik kepada sokongan. Adakah Anwar mempunyai sokongan yang sama rata? Sokongan itu tidak semestinya padu tetapi sokongan majoriti mudah ahli dewan untuk melayakkan beliau menjadi Perdana Menteri.
Oleh kerana sistem kita ini ia melihat kepada nombor, kalau Anwar tidak dapat menunjukkan sokongan yang mencukupi, maka peluang untuk menjadi Perdana Menteri nampak semakin hari semakin suram.
Bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), suasana politik semakin sukar diramal dan sering memberi kejutan kepada semua pihak.
Pakatan politik negara tidak menunjukkan mana-mana parti memiliki jumlah kedudukan kerusi yang dominan, khususnya pada pasca PRU14, tidak ada satu-satu parti yang begitu kuat.
Namun, aura Anwar masih belum cukup kuat untuk menandingi aura Tun Mahathir untuk diangkat menjadi Perdana Menteri meskipun mempunyai personaliti menarik.
Selepas Anwar mencuba dua kali pada 2008 dan 2013, kelihatannya dia tidak ada aura seperti Tun Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri.
Malah, pada PRU12 dan PRU13 ketika Anwar mengetuai PR, pakatan itu dilihat tidak begitu kuat dan terpaksa menggunakan pengaruh Tun Mahathir, barulah PH menang dalam PRU14.
Anwar walaupun memiliki personaliti yang menarik, tetapi pemikiran, gaya, liberal dan moderat, beliau masih gagal menarik pengundi utama seperti Melayu.
Berbeza dengan Tun Mahathir yang tidak mempunyai gaya, karisma dan penampilan seperti Anwar, tapi memiliki karakter yang diyakini orang Melayu bahkan orang bukan Melayu juga.
Untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar perlu bergantung kepada cukup bilangan atau tidak di Dewan Rakyat, maka beliau boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk beliau menunjukkan sokongan yang mencukupi.
Malangnya, berdasarkan kepada situasi terkini, adakah anda merasakan Anwar memiliki sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri atau terpaksa memerhati dari sisi, perdana menteri ke 8, Tun Mahathir, memerintah sehingga ke akhir penggal?
Semoga memberi manfaat.
BACA INI JUGA:
Tun Mahathir Bongkar Rahsia Zahid HamidiTun Mahathir Perdana Menteri Paling Tua Di Dunia
-Sentiasapanas.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sentiasapanas.com/2020/02/perdana-menteri-ke-8-malaysia.html