Tun M Berhentilah Bergaduh Dengan Negara Negara Besar
Tidak dinafikan, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pemimpin yang banyak pengalaman. Tetapi, dalam masa sama beliau juga terkenal dengan sikap suka bergaduh dengan kuasa-kuasa besar dunia.
Semasa pemerintahan awal beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun dulu, beliau mungkin dilihat sebagai jurucakap bagi negara-negara dunia ketiga. Bagaimanapun, dunia hari ini sangat berbeza daripada apa yang berlaku 20 tahun lalu. Jika Tun M terus bercakap sesuka hatinya, ia hanya akan menyinggung banyak negara besar lain dan pastinya ia akan memberi kesan kepada negara.
Pada bulan September tahun ini, Tun M telah menimbulkan kemarahan negara India apabila mengulas mengenai konflik Kashmir yang mengakibatkan kejatuhan eksport minyak sawit sebanyak 76%. Ini turut menyebabkan kebimbangan di kalangan pemain industri minyak sawit, terutama 600,000 pekebun kecil.
Semasa Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang diadakan baru-baru ini, beliau sekali lagi mengkritik urusan dalaman negara India dan telah menyebabkan protes kuat dari kerajaan tersebut.
Bukan itu saja, Duta Malaysia kita di sana turut dipanggil ke Kementerian Luar Negeri India. Walaupun begitu, Tun M tetap yakin bahawa dia betul dan ini membimbangkan rakyat Malaysia.
Syukurlah pada sidang kemuncak yang sama, Tun M tidak menyentuh tentang isu minoriti Uyghur di China dan tidak menyebabkan kita berterusan berbalah dengan China.
Apa yang pasti, sejak Tun M menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, timbulnya ketegangan dalam hubungan dua hala Malaysia dengan China. Tun M pernah berbeza pendapat dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang dalam satu sidang media di Beijing apabila Tun M menyentuh tentang konsep kolonisme era baru. Hubungan dua hala Malaysia China ini masih dalam peringkat pemulihan sejak kebelakangan ini.
Dalam masa sama, kerajaan Malaysia juga telah menjemput pemimpin Iran dan Qatar untuk mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Kuala Lumpur kali ini, sekaligus menjejaskan hubungan diplomasi Malaysia – Arab Saudi. Melihat keadaan ini, seolah-olah malapetaka diplomatik kita tiada penghujungnya.
Bulan lalu, Tun M juga telah menimbulkan rasa tidak senang di Parlimen Singapura apabila beliau membangkitkan tentang projek jambatan bengkok dan Perjanjian Air Malaysia-Singapura serta mempersoalkan sama ada harganya berpatutan dengan pembekalan air Malaysia ke Singapura.
Selama ini, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan istimewa sebagai negara jiran. Kedua-dua negara ini menjadi pasangan perdagangan yang penting antara satu sama lain, angka perdagangan antara kedua negara adalah setanding dengan banyak negara besar.
Tiga bulan yang lalu ketika beliau memberi ucapan di perhimpunan PBB, Tun M juga mengkritik lima negara dengan kuasa veto, iaitu Amerika Syarikat, Rusia, China, United Kingdom dan Perancis.
Rakyat Malaysia sedar bahawa Tun M sering tidak sehaluan dengan Amerika Syarikat, dengan rekod kritikan berpanjangan terhadap Amerika. Semalam,Tun Mahathir juga mengatakan bahawa dia ingin memohon sekatan terhadap Presiden AS Donald Trump; kenyataan sedemikian jelas tidak mesra Trump dan pasti mengundang reaksi dan saya percaya bahawa Amerika Syarikat ketika ini sedang memerhati tindak tanduk Tun M.
Perdana Menteri yang dihormati, ketidaktentuan ekonomi global pasti akan menjejaskan ekonomi Malaysia. Kerajaan harus mengelakkan sebarang perbalahan dengan negara-negara besar, sebaliknya fokus dalam membangunkan ekonomi. Dengan keadaan semasa antarabangsa hari ini, hanya dengan mengekalkan hubungan diplomatik yang mesra dengan negara-negara lain, kita boleh mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk negara kita.
Dalam tempoh pertamanya sebagai Perdana Menteri, Tun M pernah menjadi TUAN rumah dan merasmi Persidangan NAM pada tahun 2003. Tun M telah menekankan bahawa beliau tidak akan mengganggu hal-hal dalaman negara-negara lain. Saya berharap dia akan mengekalkan prinsip ini. Seperti kata pepatah Cina, “jangan paksa orang yang kamu tidak suka”, kita juga tidak mahu melihat negara-negara lain campur tangan dengan urusan dalaman kita.
Jika Tun M terus menyinggung lebih banyak negara lain, generasi muda kita mungkin perlu membayar harga untuk apa yang telah dilakukannya. Apa gunanya untuk menyelamatkan diri sendiri apabila kita sudah kehilangan kawan seluruh dunia?
Dari FB Wee Ka Siong
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/12/23/tun-m-berhentilah-bergaduh-dengan-negara-negara-besar/