Tukun Tiruan Gerabak Lrt Pertama Di Pulau Tioman Diikhtiraf Malaysia Book Of Records
ROMPIN: Pulau Tioman menjadi pulau pertama di negara ini melabuhkan tukun tiruan gerabak sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) di bawah kategori bangunan dan struktur.
Majlis pelancaran MBOR: The First LRT Coach Reef in Malaysia disempurnakan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Berjaya Tioman Resort di sini hari ini.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah bertitah inisiatif yang dicetuskan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) itu diharap dapat memberi impak positif kepada sektor pelancongan di pulau peranginan tersebut.
"Beta harap tukun ini akan sedikit sebanyak membawa tarikan kepada pengunjung khususnya mereka yang minat dalam bidang selaman.
"Beta harap (dengan) terbinanya tukun ini, ekosistem marin di sekeliling Pulau Tioman akan bertambah baik dan beta juga mengalu-alukan banyak lagi usaha untuk merehabilitasikan tukun yang sudah mati di pulau ini," titah baginda ketika merasmikan majlis berkenaan.
Baginda turut menzahirkan keinginan untuk menyelam di lokasi tukun LRT itu yang dinamakan sebagai Tapak Selam Al-Sultan Abdullah.
"Beta sendiri akan cuba selam nanti sebab beta agak terpanggil selepas tengok video tadi dan ini akan kita buat satu lagi temu janji untuk berada di Pulau Tioman dalam masa terdekat, insya-Allah," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menasihati pihak berwajib khususnya YASA dan Lembaga Pembangunan Tioman terus memantau gerabak LRT itu bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan selamat agar tiada kejadian tidak diingini berlaku kepada penyelam.
Pengurus Besar YASA Mohd Fakhrul Islam Juhali pula berkata usaha melabuhkan dua gerabak LRT itu melibatkan 60 penyelam diketuai Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Beliau berkata objektif utama program itu ialah memperkenal terumbu baharu yang dinamakan sebagai Tapak Selam Al-Sultan Abdullah.
"Tapak ini direncanakan dapat meningkatkan kelestarian biodiversiti marin dengan menyediakan kawasan pembiakan ikan dan hidupan marin lain.
"Kita juga berharap tapak selaman ini dapat meningkatkan ekonomi tempatan dengan menarik lebih ramai lagi pelancong ke Pulau Tioman," katanya.
Beliau berkata Pulau Tioman dipilih sebagai lokasi program itu kerana kekayaan persekitaran marin dan kepentingan strategiknya sebagai destinasi pelancongan utama di Pahang.
"Pulau ini merupakan pulau terbesar dalam kumpulan sembilan pulau yang membentuk Taman Laut Pulau Tioman.
"Antara aktiviti yang popular di pulau ini ialah snorkeling dan selam skuba kerana terumbu karangnya selain menjadi laluan pendakian yang membawa pelawat ke air terjun yang cukup menakjubkan," katanya. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2024/07/tukun-tiruan-gerabak-lrt-pertama-di.html