Tugas Tugas Ismail Sabri Hishammuddin Dalam Jawatan Baharu
                     Sean Augustin

Ismail  Sabri Yaakob (kiri) dilantik menjadi TPM pada Rabu, sementara Hishammuddin Hussein diberi tanggungjawab memegang portfolio ‘kluster keselamatan’. (Gambar Facebook)PETALING JAYA: Hishammuddin Hussein tidak akan mengawasi hal-hal  harian berkaitan Covid-19, walaupun mengambil alih portfolio “kluster  keselamatan”.
Seorang sumber kerajaan yang enggan dinamakan berkata, Ismail Sabri  Yaakob, yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Rabu, masih  akan bertanggungjawab atas perkara tersebut, termasuk sekatan  pergerakan.
Beliau juga akan kekal menjadi Menteri Pertahanan, kata sumber berkenaan.
“Ismail akan kekal buat benda sama seperti sekarang, termasuk  mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan  menjalankan taklimat media harian berkenaan sekatan pergerakan,”  katanya.
                                                                                                                                         Begitu juga bagi Hishammuddin, yang diberikan pangkat “kanan” pada jawatan terkini beliau.
Beliau akan tetap menjalankan tugas biasanya sebagai Menteri Luar, kata sumber.
“Kluster keselamatan” memberi Hishammuddin lebih banyak pengaruh dan  locus standi bagi isu-isu keselamatan di peringkat antarabangsa, seperti  koordinasi dengan badan dan agensi keselamatan asing, yang akan  diuruskannya.
“Tetapi beliau tidak akan ada kena mengena dengan hal-hal berkaitan  wabak, dari segi penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP),  tindakan terhadap mereka yang langgar peraturan, serta operasi bersama,”  kata sumber itu.
                                                                                                                                                                                                                       Hishammuddin juga, kata sumber, akan menyelaras Pelan  Pemulihan Negara (PPN) dan bekerjasama dengan Menteri Kewangan Tengku  Zafrul Abdul Aziz serta Khairy Jamaluddin, menteri penyelaras Program  Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Dua hari lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Ismail dan Hishammuddin yang berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, Hishammuddin akan mengetuai kluster  keselamatan dan akan membantu Muhyiddin dalam pelaksanaan PPN.
Ismail pula dikatakan akan membantu Perdana Menteri mentadbir negara semasa krisis kesihatan dan ekonomi.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/tugas-tugas-ismail-sabri-hishammuddin.html