Tronsmart Apollo Bold Nikmati Anc Hibrid Berserta Kualiti Audio Premium
Saya tak pernah menjadi peminat TWS sejati, tidak kiralah dari jenama Tronsmart yang pernah saya ulas sebelum ini atau dari mana-mana jenama sekali pun. Pada saya nikmat audio sebenar itu tidak tercapai lagi setanding dengan audio dikeluarkan oleh fon telinga berwayar.
Tetapi kali ini mungkin.. mungkin saya sudah bersedia beralih kepada TWS, apabila Tronsmart mengeluarkan produk terbaru mereka, iaitu Tronsmart Apollo Bold.
Apa pun ada baiknya jika kita buka kotak terlebih dahulu dan lihat apakah pakej ditawarkan dalam kotaknya.
Apa Ada Dalam Kotak?
1 pasang Tronsmart Apollo Bold.
2 pasang silikon telinga gantian.
1 bekas pengecas.
1 wayar pengecas USB-C.
1 bag storan.
1 Manual panduan pengguna, warranti, manual panduan ringkas.
Apa Itu ANC Hibrid?
ANC atau Active Noise Cancellation (Pembatalan Kebisingan Aktif) Hibrid ialah bagaimana Apollo Bold mengendalikan pembatalan bunyi secara berbeza dengan sokongan kecanggihan cip Qualcomm® QCC5124. Cip QCC5124 menyokong pembatalan kebisingan aktif dan pemprosesan isyarat Bluetooth, menjadikan kedua-dua ciri tersebut mencapai prestasi terbaik tanpa gangguan serentak. Sementara model ANC lain di pasaran harus menggunakan dua cip untuk isyarat Bluetooth dan pembatalan bunyi aktif.
‘Hibrid’ yang dimaksudkan ialah Apollo Bold mempunyai dua jarak frekuensi ANC yang ‘dijaga’, iaitu Feedforward dan Feedback. Feedforward membatal kebisingan dari frekuensi dari jarak sempit iaitu di sekitar 1kHz, manakala Feedback pula membatal kebisingan dari jarak lebar, iaitu pada 1-2kHz. Teknologi ini menjadikan jarak frekuensi yang dibatal oleh TWS lebih baik dan komprehensif.
Spesifikasi Apollo Bold
Apollo Bold menggunakan pemacu graphene yang diubahsuai bagi mencapai kualiti audio Hi-Res. Ia juga memperoleh pensijilan IP45 yang menjadikannya kalis habuk dan air. Bekas pengecas berkapasiti 500mAh, manakala setiap earbuds mempunyai bateri berkapasiti 85mAh. Dengan satu cas penuh, ia boleh dimainkan selama 10 jam (kekuatan suara pada tahap 50%), dan 4 jam untuk kekuatan suara pada tahap 100%.
Kedua earbuds Apollo Bold dapat dicas penuh dalam masa 2 jam, manakala bekas pengecas pula mengambil masa selama 2.5 jam. Ia menyokong codec aptX HD, AAC, dan semestinya SBC. Frekuensi pembatalan kebisingan adalah sehingga 35dB.
TWS ini disertakan dengan beberapa mode iaitu Ambient sound mode, yang sesuai digunakan ketika sedang bergerak dengan kenderaan, ANC mode, iaitu mode apabila anda tidak mahu lagi mendengar bunyi bising dari luar, dan ANC off iaitu apabila anda ingin berjaga dengan keadaan sekeliling.
Tronsmart turut menyertakan teknologi True Wireless Stereo Plus (TWS+) yang mana signal audio dihantar terus ke kedua belah fon telinga tanpa perlu melalui yang pertama terlebih dahulu. Ini dapat mengurangkan tempoh kependaman dan kelewatan bunyi.
Selain itu, ia juga ada 6 mikrofon terbina dalaman beserta teknologi cVc bagi menjamin panggilan suara yang lebih jelas dan kurang gangguan.
Kualiti Audio
Inilah dia antara ciri utama yang membezakan antara satu TWS dengan satu TWS yang lain. Kita boleh merasakan sesuatu produk (TWS) itu memiliki kualiti premium apabila bunyi dihasilkan berbeza dari kebanyakannya.
Apollo Bold ada ‘kualiti’ itu. Saya telah mencubanya dengan mendengar kepada senarai main standard saya sendiri beserta beberapa lagu tambahan. Antaranya ialah seperti Black Veil Brides – Perfect Weapon, Soilwork – In This Master’s Tale, Babymetal – Megitsune, dan beberapa lagi lagu lain.
Pemain muzik pula saya terpaksa variasikan dari TIDAL HiFi, Spotify, dan YouTube Music dek kerana ada beberapa lagu yang tidak terdapat pada pemain lain. Saya cuba sedaya upaya untuk hanya mendengar melalui TIDAL HiFi secara eksklusif untuk mendapatkan kualiti audio terbaik. Saya menaikkan kekuatan suara hingga sekitar 80% sahaja, kerana bunyinya sangatlah kuat.
Dari segi bass, saya tiada sebarang perkara hendak dirungutkan. Apa yang saya perasan, bunyi bassnya semakin rancak dan menguat sebaik ANC dihidupkan. Ia menjadi sedikit perlahan apabila ANC dinyahaktif, dan anda boleh sedikit sebanyak mendengar bunyi persekitaran.
Apabila mendengar lagu-lagu ‘keras’ seperti metal, bahkan lagu seperti dari kumpulan Babymetal – Shanti, saya dapat merasakan hentakan drum dan petikan gitar yang ada karakter ‘menghenjut’ hinggakan saya terasa ingin turut sama berdansa.
Frekuensi rendah iaitu di mana bunyi bass berlegar, saya boleh berikan penarafan 4.5 bintang per 5. Bunyinya berdentum, ada ‘punch’, dan saya rasa identiti Apollo Bold terletak di sini.
Untuk frekuensi pertengahan, vokal boleh didengari dengan jelas, tetapi adakalanya saya mahu gunakan equalizer untuk tingkatkan lagi kekuatan suara, contohnya dari lagu I Prevail – DOA. Karakteristik ini biasanya ‘eksklusif’ untuk lagu-lagu metal. Sekiranya anda lebih ke arah genre seperti Hip-Hop, maka tiada masalah, kerana instrumen dan vokal kedengaran seimbang.
Bagi Frekuensi tinggi, treble juga kedengaran lebih ‘punchy’ berbanding TWS lain. Saya rasakan ini ialah karakter sebenar Apollo Bold setelah ANC digunakan. Ia bukan sesuatu yang negatif, cuma anda mungkin perlu sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Secara keseluruhannya, pada saya sendiri selaku seorang audiophile, Apollo Bold memberikan kepuasan audio yang belum pernah saya nikmati dari TWS saya miliki sebelum ini, ataupun yang saya pinjam sebentar dari rakan baik di pejabat.
Tronsmart Apollo Bold boleh dibeli di sini:
Shopee: https://bit.ly/apolloboldshopee
Lazada: https://bit.ly/apolloboldlazada
Tak lupa juga, Tronsmart sedang menjalankan giveaway yang anda boleh sertai pada pautan ini:
https://www.tronsmart.com/all-for-music.htm/
Anda mungkin salah seorang dari 20 pemenang!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/tronsmart-apollo-bold-nikmati-anc-hibrid-berserta-kualiti-audio-premium/