Trn M10 Iem Dual Driver Hybrid Pada Harga Bawah Rm60
Teruja juga saya dengan TRN M10 ini kerana ini kali pertama saya mencuba IEM daripada TRN. TRN M10 adalah IEM dengan dua pemacu audio hibrid yang menggunakan armatur seimbang 30095 dan pemacu dinamik dengan saiz diameter 8mm. Lebih menarik, TRN M10 hadir dengan rekabentuk peluru yang ketika ini hampir pupus di pasaran kerana mereka semakin beralih ke rekabentuk custom-IEM seperti KZ EDX dan QKZ VK4.
Binaan kelongsong TRN M10 adalah daripada besi sepenuhnya. Hadir dalam 3 skema warna, iaitu biru, hitam dan putih. Sangat ergonomik untuk dipakai, ringan dan selesa untuk penggunaan yang lama.
PANDANG PERTAMA
TRN M10 hadir dalam pembungkusan standard ala barang kemas. Berbanding QKZ, TRN menggunakan papan IEM daripada kertas tebal untuk memuatkan kedua-dua belah IEM di dalam kotak sama seperti KZ. Ia nampak lebih premium dan IEM akan berada dalam pembungkusan yang lebih kemas dan selamat.
Di dalam kotak, anda akan mendapat 3 pasang getah telinga dengan 3 saiz berbeza, sepasang IEM berbentuk peluru, kabel 0.78mm dan beberapa kertas dokumentasi. Pertama kali melihat TRN M10 dengan mata sendiri, saya boleh katakan ia sangat cantik dengan kemasan warna yang menarik.
Pemakaiannya selesa. Lekapan yang mudah, tak perlu menekan ke dalam lubang telinga dengan kuat untuk mendapat kedapan yang sesuai dan pengasingan bunyi juga agak cemerlang. Senang dipakai, sedap didengar. Bicu audio juga disadur emas untuk sambungan yang lebih baik.
KUALITI BUNYI
TRN M10 adalah IEM dengan dua pemacu audio berbeza. Treble akan dikuasakan oleh armatur seimbang dan bass akan dikuasakan oleh pemacu dinamik. Bass yang berkuasa dan high yang terperinci dari armatur seimbang serta pementasan bunyi yang luas adalah kekuatan utama bagi TRN M10 ini.
Low : IEM ini berbunyi seperti ia ditala khas untuk bass. Kuat, berdentun dan berderum. Pada mulanya saya sangkakan armatur seimbang pada TRN M10 ini tidak berfungsi kerana bass pada IEM ini cukup kuat dan penuh tenaga tanpa gangguan desiran daripada pamacu armatur seimbang. Sub-bass cukup ampuh dan tepat. Hampir saja menyamai talaan bagi sepasang headphone.
Mid : mid tidak diganggu oleh bass. Vokal berbunyi lancar dan bertenaga. Vokal wanita sangat memuaskan dan cemerlang. Untuk lagu-lagu rancak dengan vokal wanita, TRN M10 tiada masalah untuk menyerlahkan kedua-dua tenaga bass dan vokal tanpa kedua-dua spektrum ini bergelumang dan mengotorkan antara satu sama lain.
High : high sangat cemerlang. Tiada sibilance atau piercing yang mengganggu. Armatur seimbang 30095 nampaknya ditala dengan baik. Kejelasan, ketajaman bunyi dan ketepatan dihasilkan dengan bagus. Sememangya antara IEM yang paling memuaskan setakat ini.
KESIMPULAN
TRN M10 sememangnya IEM yang cemerlang untuk IEM dengan dwi-pemacu audio. Untuk harga kurang dari RM60, bagi mereka dengan bajet yang rendah, boleh membelinya untuk kualiti dan mendapat pengalaman mendengar dengan armatur seimbang yang berbeza daripada pemacu dinamik yang biasa.
Ia selesa, ringan, binaan diperbuat daripada besi dan hadir dengan kemasan warna yang cantik. Jika ada kekurangan pun, bagi saya adalah kabelnya. Ia terlalu panjang daripada IEM ke pemisah kabel. Menjadikan pemakaian kabel agak berserabut dan menganggu terutamanya jika anda sering bergerak. Tapi, ini IEM dan anda boleh menukar kabel dengan kabel yang lain pada bila-bila masa. Cuma cari kabel lain dengan pin 0.78mm, dan anda boleh menukar kabel asal dengan kabel lain yang lebih baik.
Bunyi yang cemerlang, pemakaian yang menyenangkan, harga yang tidak merunsingkan. Saya rasa TRN M10 adalah satu belian yang berbaloi dengan harganya.
Dapatkannya di kedai rasmi TRN :
Lazada
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/trn-m10-iem-dual-driver-rm60/