Tren Dmu Ktmb Hadiah Untuk Warga Pantai Timur
Oleh YATIMIN ABDULLAH WEE Ka Siong (depan) merasmikan penggunaan perkhidmatan DMU secara rasmi di Kelantan, hari ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAHPASIR MAS: Penggantian lokomotif dan koc penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang lama kepada tren Diesel Multiple Unit (DMU) bakal memacu sektor ekonomi di Pantai Timur, khususnya Kelantan dan Pahang pada masa depan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, menerusi tren DMU tersebut, KTMB dapat menawarkan perkhidmatan lebih baik dan selesa kepada masyarakat pedalaman kedua-dua negeri yang bergantung kepadanya setiap hari.
Menurutnya, sebagai permulaan sebanyak lima buah tren DMU memulakan operasi melibatkan laluan Tumpat-Gua Musang dan Gua Musang-Kuala Lipis.
“Kerajaan Pusat memperuntukkan RM380 juta untuk membeli 13 buah tren DMU dan pembelian ini adalah hadiah daripada kerajaan untuk warga Pantai Timur.
“Selain laluan saya sebut tadi, tren DMU ini turut melibatkan laluan Kuala Lipis-Gemas di Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Tren DMU di Stesen KTM Pasir Mas, di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan Dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Nor dan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari.
Terdahulu Ahli Parlimen Ayer Hitam itu bersama rombongannya menaiki tren DMU dari Stesen KTM Wakaf Bharu di Tumpat ke KTM Pasir Mas bagi merasai sendiri perbezaan kereta api yang lebih moden tersebut.
Ka Siong dalam pada itu memberitahu, tren DMU turut menawarkan kemudahan mesra pengguna orang kurang upaya (OKU), selain semua tempat duduk penumpang sama tanpa dibeza-bezakan status orang biasa atau orang kenamaan.
“DMU ini juga dilengkapi dengan tempat simpan beg, soket kuasa bagi tujuan pengecasan bateri telefon atau komputer riba, bilik solat dan tandas lebih selesa serta mampu memenuhi keperluan pengguna,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/04/tren-dmu-ktmb-hadiah-untuk-warga-pantai.html