Tranya T 10b Tws Paling Sempurna Untuk Harga Bawah Rm100
Tranya adalah antara jenama yang popular dengan aksesori audio yang murah dan berkualiti. Saya lebih mengenali Tranya dengan siri produk IEM mereka. Tapi kali ini, saya mencuba TWS pula dari mereka. Tak lain tak bukan, Tranya T10B, TWS paling hangat disebut-sebut ketika ini.
PANDANG PERTAMA
Tranya T10B datang dalam kotak serba putih. Di kotaknya tertulis Game Mode, Normal/Bass Boosted Mode. Ini adalah tarikan dan ciri istimewa pada TWS ini yang membuatkannya begitu popular.
Dalam kotak, anda akan menerima dua pasang getah telinga tambahan, TWS, kabel pengecas USB-C, dokumen, kad jaminan selama 15 bulan dan juga sekeping pelekat dengan rekaan khas daripada Tranya.
KUALITI BINAAN
Binaan pada Tranya ini nampak biasa saja. Warna hitam legap membuatkan TWS ini nampak agak premium. Bekasnya agak membujur dan tebal. Mungkin juga kerana ia memerlukan ketebalan yang banyak untuk memegang kedua-dua belah TWS ini yang juga agak tebal. Saya tak dapat tidak melihat bekas TWS ini tak tumpah seperti sebiji telur, hahaha.
Tranya T10B menggunakan bentuk buds untuk TWS ini. Saya lebih sukakan bentuk ini berbanding rekaan berbatang kerana ia lebih selesa dan melekat dengan lebih kemas bagi saya. Tranya T10B juga menggunakan USB-C untuk pengecasan. Kedua-dua belah TWS ini mempunyai kadar kalis air sebanyak IPX7, cukup untuk kegunaan berlari di dalam hujan. Tapi saya pasti sama ada boleh digunakan untuk mandi, saya tak cuba. Anda boleh cuba.
BATERI
Menurut Tranya, T10B ini mampu memainkan muzik selama 8 jam dengan bekasnya mampu berikan kuasa tambahan selama 32 jam. Sepanjang penggunaan saya, pendengaran muzik selama 2 jam memakan lebih kurang 25% bateri.
Pengecasan bekas menggunakan USB-C sangat memudahkan. Satu kabel untuk semua. Tiada sokongan pengecasan pantas dan pengecasan tanpa wayar pada Tranya T-10B ini.
KUALITI BUNYI
Tranya T-10B dibina dengan pemacu audio grafene 12mm. Secara teori, ini akan memberkan bunyi yang lebih tepat, bass yang lebih terkawal dan secara keseluruhannya kelantangan bunyi yang lebih tinggi.
T10B hadir dengan 3 mode pilihan iaitu Gaming Mode, Bass Boost Mode dan juga Normal Balanced Mode. Dengan perbezaan bunyi yang ketara di antara ketiga-tiga mode.
Dalam Normal Mode, bunyi agak V. Untuk lagu balada dan santai sudah memadai. Dengan Bass Boost, bass memang ketara ada penambahan. Bunyi pada julat low terkawal elok. Tak ada bleeding pada bass. Tapi secara peribadi saya lebih suka bass yang tight. Bass pada Bass Boost Mode agak wide, warm dan boomy.
Untuk high, tak terasa sangat piercing. Dalam Bass Mode, high hampir tak ada kerana EQ ditala untuk lebih bass dan low. Dalam Normal Mode, sound signature lebih kepada V dengan penekanan kepada high dan mid dengan sedikit bass. Bass lebih dibantu mid dalam Normal Mode.
Saya lebih suka bunyi yang balance, jadi kebanyakan masa, saya gunakan Normal Mode saja untuk lebih detail pada lagu dan clarity pada high. Sound signature pada T10B ini agak warm dan boomy.
Karakter pada Tranya T10B ini bagi saya santai dan sesuai untuk easy listening. Bass dan mid lebih ke hadapan untuk menolak lirikan bunyi gitar dan vokal lebih ke depan. Kalau ada orang meminta saya cadangan untuk TWS yang sesuai untuk kegunaan harian, Tranya T10B adalah calon yang mudah.
KUALITI SAMBUNGAN
Kualiti sambungan bluetooth adalah antara kekuatan besar T10B. Dengan fungsi sambungan automatik, ia dengan mudah bersambung pada telefon anda sebaik sahaja TWS ini dibuka daripada bekasnya. Apabila disimpan semula, ia juga akan memutuskan sambungan bluetoothnya dengan automatik.
Untuk Gaming Mode, setakat ini T10B adalah TWS dengan latency yang paling baik yang pernah saya cuba. Berbanding dengan GM010, Tranya T10B lebih baik. Tapi perlu ambil kira juga harganya adalah lebih mahal hampir dua kali ganda. Jujur saya katakan, Tranya T10B ini sangat seronok digunakan untuk bermain permainan video di telefon kerana kualiti sambungan dan bunyi yang hampir tiada kelewatan.
Dengan Bluetooth 5.0, ia menyokong codec SBC.
KAWALAN
Kawalan pada Tranya T10B ini menggunakan kawalan sentuhan. Kualiti sentuhan juga sangat baik. Tiada masalah langsung sepanjang saya menggunakannya. Setiap sentuhan dikesan dengan baik dan responsif.
Tapi, skim kawalan pada T10B ini pada saya agak luar dari kebiasaan kerana membuang fungsi tekan sekali. Untuk menukar kelantangan, anda perlu menyentuh 2 kali. Untuk Play/Pause anda perlu tahan 2 saat dan untuk menukar lagu anda perlu menyentuh 3 kali. Sentuh 5 kali di kiri untuk Bass Boost Mode dan 5 kali di kanan untuk Gaming Mode.
Menurut Tranya, mereka membuang fungsi sentuh 1 kali untuk mengelakkan masalah sentuhan tanpa sengaja. Masuk akal juga terutama bagi mereka yang selalu gunakan TWS ketika tidur.
KELEBIHAN
Tranya T10B ada segalanya untuk pengguna kebanyakan. 3 mod bunyi, bunyi yang sedap, selesa dipakai dan juga boleh diharapkan. Dengan bateri yang tahan sehingga 8 jam sekali cas, ia sudah lebih daripada cukup. Sambungan juga stabil dan tidak pernah mengalami masalah. Kawalan sentuhan juga sensitif dan berfungsi dengan baik setiap kali anda perlu menggunakannya.
KEKURANGAN
Untuk RM99, anda tak boleh mahukan ia sempurna. Tanpa sokongan pengecasan tanpa wayar, tiada codec AAC, tidak menyokong sebarang aptX adalah antara kekurangan jelas Tranya T10B ini. Selain itu, saiznya juga agak besar dan TWS ini agak terkeluar sediki daripada telinga kerana dimensinya yang agak tebal.
KESIMPULAN
Tranya T10B adalah TWS yang mudah untuk dicadangkan kepada ramai orang. Bagi mereka yang tidak pernah membeli sebarang TWS, ini boleh jadi TWS sempurna untuk mereka. Gaming Mode yang cemerlang dan juga Bass Boosted Mode yang lazat. Sememangnya Tranya T10B sukar ditandingi untuk harga ini.
Dapatkan di Shopee: https://bit.ly/2XYfSuR (RM99)
The post Tranya T-10B: TWS Paling Sempurna Untuk Harga Bawah RM100 appeared first on OMG! Hackers?.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/tranya-t-10b-tws-paling-sempurna-untuk-harga-bawah-rm100/