Transit Kl Demi Aceh Sukarelawan Indonesia Terharu Layanan Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR – Perjalanan singkat sekitar tiga jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meninggalkan kenangan yang cukup mendalam buat sekumpulan sukarelawan dari Indonesia yang dalam misi menyalurkan bantuan ke Aceh Tengah.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna dikenali sebagai @sucinuz mendedahkan mereka terpaksa melalui Malaysia terlebih dahulu sebelum ke Medan berikutan harga tiket penerbangan domestik di Indonesia yang melonjak tinggi menjelang musim Krismas dan Tahun Baharu.
Menurutnya, laluan Jakarta–Medan mencecah antara 8 hingga 9 juta rupiah, namun perjalanan melalui Kuala Lumpur jauh lebih menjimatkan dengan kos sekitar 2 juta rupiah sahaja.
“Tujuan kami hanya transit dan berpindah terminal di KL. Tapi layanan yang kami terima benar-benar menyentuh hati,” kongsinya.
Layanan Imigresen Cetus Emosi
Dalam perkongsian sama, @sucinuz menceritakan bagaimana pegawai imigresen Malaysia menunjukkan keprihatinan luar biasa ketika mengetahui tujuan sebenar perjalanan mereka.
Antara soalan yang diajukan termasuk jumlah sukarelawan, keadaan semasa di Aceh khususnya di kawasan pergunungan, serta ucapan terima kasih kerana sanggup menempuh perjalanan jauh demi membantu mangsa bencana.
Lebih menyentuh perasaan, keprihatinan itu turut dizahirkan oleh warga Malaysia di ruangan komen apabila seorang daripadanya menulis, “Kami di Malaysia sentiasa mengikuti perkembangan di Aceh.”
Bukan Pegawai Sahaja, Rakyat Malaysia Turut Prihatin
Keprihatinan itu tidak terhenti di situ. Menurut @sucinuz, bukan sahaja pegawai lapangan terbang, malah beberapa petugas lain dan orang awam di KLIA turut menyapa mereka selepas menyedari kumpulan itu membawa peralatan bantuan seperti penapis air bersaiz besar.
“Mahu ke Aceh ya?” antara teguran yang sering diterima, malah ada yang mengenali mereka sebagai wakil organisasi kemanusiaan.
Situasi tersebut membuatkan keletihan mengangkat barangan berat dan berpindah terminal seakan hilang apabila emosi terharu menguasai diri.
‘Kemanusiaan Melangkaui Sempadan’
Perkongsian itu turut menekankan bahawa ramai rakyat Malaysia mengikuti rapat perkembangan bencana di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat melalui laporan media tempatan.
Malah, menurutnya, bukan sedikit rakyat Malaysia yang menyumbang dana dan turun sendiri sebagai sukarelawan ke lokasi bencana.
“Kemanusiaan itu melangkaui sempadan. Dari hati yang paling tulus, terima kasih rakyat Malaysia,” tulisnya.
Harga Tiket Jadi Cabaran Sukarelawan
Dalam satu perkongsian lain di Threads oleh pengguna @chikifawzi, isu harga tiket penerbangan domestik Indonesia turut dibangkitkan apabila perjalanan ke Aceh menjadi lebih ‘masuk akal’ melalui Malaysia berbanding penerbangan terus.
Menurutnya, cabaran terbesar adalah membawa peralatan bantuan bersaiz besar seperti penapis air, selain memikirkan nasib sukarelawan yang tidak memiliki pasport.
“Harap selepas musim perayaan ini, harga tiket jadi lebih berperikemanusiaan,” katanya.
Perkongsian-perkongsian ini nyata mengundang pelbagai reaksi warga maya yang menyifatkan hubungan rakyat Malaysia dan Aceh sebagai ikatan kemanusiaan yang sudah lama terjalin, terutama ketika saat-saat getir. – The Malaysian Update
The post Transit KL Demi Aceh: Sukarelawan Indonesia Terharu Layanan Rakyat Malaysia appeared first on The Malaysian Update.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2025/12/24/transit-kl-demi-aceh-sukarelawan-indonesia-terharu-layanan-rakyat-malaysia/