Tragedi Sungai Korok Tak Sanggup Lihat Wajah Anak Ibu Luah Rasa Sebak
“Saya dah siapkan semua bahan nak meniaga pagi tu… tunggu anak balik je…” itulah kata terakhir yang sempat diluahkan oleh Roswati Zainol, 52 tahun, seorang ibu yang kini hanya mampu menatap sunyi rumah yang dulunya riuh dengan suara anak dan cucu.
Awal pagi Sabtu lalu, panggilan telefon daripada anaknya, Nurul Hidayah Khadijah, menjadi perbualan terakhir antara ibu dan anak. Ketika itu, tiada siapa menyangka itu adalah detik perpisahan yang paling menyayat hati.
Hati ibu mana yang tidak sedih apabila anak tersayang, pergi dahulu, Beberapa jam kemudian, panggilan demi panggilan tidak lagi berjawab. Hati ibu mana yang tidak resah. Roswati sendiri tak tahu kenapa, tapi nalurinya kuat mengatakan sesuatu yang buruk telah berlaku. Dan naluri itu terbukti benar.
Satu keluarga enam nyawa anak, menantu dan empat cucu ditemui lemas di dalam sebuah kereta yang terjunam ke dalam terusan di Sungai Korok, Jitra. Anak yang ditunggu tak kunjung tiba, rupanya sudah kembali ke tempat abadi, bersama orang tersayang.
Menurut laporan media tempatan, kesemua mangsa ditemukan dalam sebuah Proton Iswara yang tenggelam di dasar sungai dan identiti mereka telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa.
Mangsa terdiri daripada Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, dan empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izza, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan.
“Saya tak kuat tengok keadaan mereka dan hanya nak baca Quran dan berzikir saja. Saya tengok wajah menantu dan empat cucu, tetapi tak sanggup tengok wajah Nurul Hidayah sebab rasa sangat sedih.”
“Anak (Nurul Hidayah Khadijah) sempat menghubungi saya kira-kira jam 5 pagi Sabtu lalu dan saya beritahu sudah siap masak semua barang untuk berniaga roti canai dan hanya tunggu dia balik ke rumah.
“Kira-kira jam 6 pagi saya call tak dapat, cuba hubungi beberapa kali sehingga jam 7 pagi, tetapi tak dapat menyebabkan saya tak sedap hati dan minta suami simpan semua barang untuk mencari mereka,” kata Roswati Zainol, 52.
“Tetapi (Puteri) Qisya (Nur Izzat) kuat, dia pergi tengok seorang demi seorang wajah bapa, ibu serta empat adiknya dan tak menangis, tetapi saya tak kuat,” katanya.
TIDAK PULANG KE RUMAH
Menurutnya, dia meminta Nur Adliah berpecah untuk mencari mereka di sekitar kawasan Jitra dan dia pula mencari di kawasan Jerlun iaitu laluan mereka pulang, tetapi langsung tidak nampak bayang kereta.
Apabila mendapat khabar duka itu, Roswati berkata, dia terus menghubungi adik perempuan Mohamad Azim iaitu Nur Adliah Syuhada untuk bertanya keluarga itu kerana mereka bermalam di rumahnya di Taman Seri Aman, tetapi dimaklumkan sudah pulang lebih awal.
Katanya, Nurul Hidayah baru membuka gerai roti canai baharu di Tanah Merah, Pendang sejak sebulan lalu selepas perniagaannya di Alor Setar kurang sambutan.
“Naluri saya mengatakan memang mereka jatuh sungai, tetapi saya kuatkan diri dengan mengetepikan apa yang negatif ketika itu.
“Kemudian Nur Adliah minta kebenaran untuk buat hebahan di media sosial berkaitan kehilangan enam beranak itu dan saya kata padanya, buatlah apa yang patut.
“Macam-macam bermain di fikiran, depa (mereka) merajuk dengan sayakah sampai tak balik meniaga? Kat mana hangpa, macam mana ni tetapi saya cuba bersangka baik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jerlun, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia cuba menghubungi arwah anaknya pada malam Sabtu lalu selepas pulang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Jalan Gunung, tetapi gagal.
Katanya, dia mengesyaki sesuatu berlaku kepada mereka dan Nur Adliah terus membuat laporan polis selepas buntu mencari mereka.
“Saya buat solat hajat, baca Yasin supaya dipermudahkan urusan pencarian mereka dan saya nak tidur pun tak boleh.
“Dalam hati, Ya Allah kalau mereka tak ada pun, saya redalah tetapi saya minta jumpa sebab teringat cucu yang kecil tu baru enam bulan,” katanya.
Roswati berkata, apabila orang memaklumkan penemuan kereta dalam terusan di Sungai Korok, dia terus pergi dan ternampak sikit bahagian bumbung kereta yang tenggelam di situ.
Semoga roh mereka dicucuri rahmat, dan semoga Roswati terus diberi kekuatan… kerana kehilangan sebesar ini, hanya Allah yang mampu memberi pengganti.
Sumber: Harian Metro
The post Tragedi Sungai Korok: Tak Sanggup Lihat Wajah Anak, Ibu Luah Rasa Sebak appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/tragedi-sungai-korok-tak-sanggup-lihat-wajah-anak-ibu-luah-rasa-sebak/