Tragedi Lahad Datu Jangan Hina Anggota Keselamatan Yang Terkorban
M Update, 21/9/2020 – Dakwaan seorang pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menyifatkan pengorbanan anggota keselamatan ketika pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu sebagai ‘sandiwara’ adalah pengkhianatan terhadap negara.
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman berkata, apa yang dikatakan oleh bekas Menteri Kabinet Persekutuan yang juga Ahli Majlis Tertinggi Warisan itu seperti dalam klip video yang tular di media sosial, jelas menghina barisan pertahanan negara.
“Saya kecewa melihat klip video beliau (pemimpin Warisan) memberi ucapan berbaur penghinaan terhadap anggota-anggota keselamatan Malaysia yang sanggup menggadaikan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan negara.
“Di manakah rasa hormat pemimpin Warisan kepada anggota keselamatan Malaysia yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan bumi Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sejak awal pagi tadi, satu klip rakaman video sepanjang dua minit 30 saat tular di media sosial dengan memaparkan pemimpin berkenaan berucap dengan berlatarbelakangkan bendera Warisan. Beliau dipercayai berucap ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sedang rancak berlangsung.
Antara lain, pemimpin berkenaan mendakwa apa yang berlaku di Tanduo, Lahad Datu tujuh tahun lalu, mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum kerana Umno dikatakan bakal kalah.
“Sebelum PRU yang lalu (2013), dia bilang Filipina mahu ambil Sabah, jadi ada peperangan konon di Tanduo. Datanglah jet di Tanduo, dibomnya kelapa sawit orang sampai habis kelapa sawit orang, rumah orang kuyak (rosak) ditembak.
“Selepas itu dia suruh kereta kebal masuk ke kampung-kampung pergi berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Ayam sama anjing kawan dia berperang. Apabila habis pilihan raya, tiada pula peperangan itu. Ketika saya menjadi wakil rakyat di Lahad Datu pada 1986, tidak pernah saya jumpa orang bawa senjata mahu berperang atau rampas Sabah.
“Apabila ketika itu kononnya Umno akan kalah kepada PKR, terus ada perang di Tanduo. Banyak orang mati disebabkan sandiwara itu, sandiwara bohong menembak,” katanya menerusi klip video berkenaan.
Pemimpin itu turut bertanding bagi kerusi di sebuah kawasan baharu di pantai timur Sabah. Anifah yang juga bekas Menteri Luar berkata, pertempuran di Tanduo menyaksikan 235 pengganas mendarat di Sabah dari Pulau Siminul, Filipina.
“Kejadian itu menyebabkan 10 orang anggota keselamatan Malaysia terkorban, termasuk dalam beberapa serangan hendap. Bagaimanapun, pemimpin Warisan itu menyifatkan pengorbanan mereka sebagai sandiwara.
“Kenyataan itu menunjukkan betapa buta mata dan hati pemimpin Warisan terhadap pengorbanan wira negara, sekali gus melukakan hati keluarga dan rakan seperjuangan anggota keselamatan kita,” katanya.
Anifah menegaskan, pemimpin Warisan itu wajar bermuhasabah dan malu dengan kenyataan terbabit. Malah, katanya, rakyat seharusnya menolak pimpinan yang tidak menghargai jasa barisan keselamatan melindungi kedaulatan negara khususnya Sabah. – HM Online
The post Tragedi Lahad Datu: Jangan Hina Anggota Keselamatan Yang Terkorban appeared first on M-Update.
source : M-Update
Booking Bilik Hotel Dengan Harga Yang 23% Lebih Rendah
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://encikpenyu.blogspot.com/2020/09/tragedi-lahad-datu-jangan-hina-anggota.html