Tiga Kisah Seram Di Jalan Bukit Putus Negeri Sembilan
KISAH mengenai Bukit Putus sememangnya cukup popular dalam kalangan penduduk Negeri Sembilan terutamanya bagi pengguna jalan raya yang mahu menuju ke Kuala Pilah dari Seremban. Penduduk tempatan menggelar laluan itu jalan ular seperti kata pepatah Bak Ular Kena Palu kerana mempunyai 32 liku. Ia juga agak sempit dan gelap pada waktu malam menyebabkan tidak ramai orang berani melalui jalan itu.
Lagipun sejak laluan baharu dibuka, laluan Bukit Putus jarang lagi digunakan untuk menjimatkan masa.Keadaan jalan Bukit Putus yang dikelilingi hutan rimba dan bergaung itu dikatakan 'keras' dan ramai pengguna jalan raya pernah menjadi mangsa gangguan ketika melalui kawasan tersebut.
Berikut adalah tiga kisah seram yang pernah dialami orang awam ketiak melalui Jalan Bukit Putus
Kisah Seram 1: Kereta Tiba-Tiba Jadi Berat
Kisah ini diceritakan oleh Ismail Shah Abd Samad. “Waktu itu tahun 2002, jam 2.30 pagi dari arah Seremban. Masa itu, jalan lengang langsung tiada kereta atau lori. Saya pun tidak fikir apa-apa, sehinggalah berhampiran Kem Pengakap sebelah kiri, tiba-tiba kenderaan saya jadi berat. Memang nak naik ke jalan itu agak payah,” kata beliau.
Katanya, dia hanya terfikir bahawa keretanya rosak kerana kenderaan miliknya itu memang sering meragam. Selepas itu Ismail melihat cermin pandang belakang, untuk melihat kalau-kalau ada kenderaan lain untuk meminta bantuan. Tetapi apa yang beliau nampak adalah objek berwarna putih dan samar-samar berada di bonet belakang kereta. Automatik menggigil satu badan beliau ketika itu.
“Saya teruskan perjalanan, sambil itu membaca ayat Kursi tetapi secara tiba-tiba bau wangi kapur barus pula yang muncul. Memang sangat seram waktu tu. Apabila tiba di puncak Bukit Putus, terdengar bunyi angin yang kuat dan dengan tidak semena-mena juga kereta saya menjadi ringan,” cerita Ismail lagi.
“Itulah peristiwa yang paling saya tidak boleh lupakan sehingga kini. Saya juga pernah berbual dengan pemandu lori di hentian rehat Ulu Bendul dan mereka memberitahu saya bahawa sekitar jam 2 pagi hingga ke 4 pagi, jalan itu akan diganggu oleh Pontianak,” ujar Ismail menamatkan bicara.
Kisah Seram 2: Perempuan Bersama Tiga Anak
Kisah perempuan bersama tiga anaknya ini pula diceritakan oleh Shahrudin Abd Halim. “Ini cerita tahun 90-an dulu. Masa itu, saya bertugas dalam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Saya berulang alik dari Felda Kepis ke Seremban. Kejadian itu berlaku selepas selesai habis bertugas. Saya bergerak dari JPAM lebih kurang jam 12.30 tengah malam dan tiba di laluan kedua selekoh jam 1 pagi dari Seremban,” kata Shahrudin.
“Tempat saya nampak perempuan misteri itu adalah di kawasan kebun durian dekat selekoh paling tajam di jalan lama Bukit Putus. Masa itu saya naik kereta. Sebelum ini, ada kawan yang beritahu saya bahawa laluan itu agak menakutkan tetapi saya tidak percaya. Hinggalah, pada malam itu, saya ternampak sendiri seorang perempuan berjalan di tengah jalan bersama tiga anaknya termasuk seorang yang didukung,” sambung beliau.
Perasaan saya ketika itu, hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu. Jika difikirkan ikut akal logik, takkanlah jam 1 pagi ada orang yang berjalan di kawasan itu dan di kawasan itu tiada sebuah rumah pun. Memang seram sejuk waktu itu. Habis meremang bulu roma saya. Saya meneruskan perjalanan seperti biasa tanpa menegur perempuan itu,” kata Shahrudin Abd Halim lagi.
Kisah Seram 3: Orang Usung Keranda
Kisah yang ketiga ini dikongsi oleh Mashitah Idris yang terserempak dengan sekumpulan orang yang tengah mengusung keranda pada waktu tengah malam. Hanya orang yang ‘bernasib baik’ sahaja yang akan diganggu oleh makhluk halus. Lebih ‘bertuah’ jika makhluk halus itu menampakkan rupa mereka yang sebenar.
“Saya dahulu berulang alik dari Seremban ke Kuala Pilah kerana bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan Raya. Saya pernah mengalami gangguan seperti lampu kereta tiba-tiba terpadam dan radio turut senyap. Waktu itu jam menunjukkan pukul 1 pagi,” kata Mashitah Idris memulakan cerita beliau.
“Apabila diganggu, saya meneruskan perjalanan seperti biasa. Dalam perjalanan, tiba-tiba saya ternampak pula sekumpulan orang yang tengah mengusung keranda. Saya lega apabila melihat ada orang ramai. Waktu itu langsung saya tidak terfikir perkara yang bukan-bukan walaupun ketika itu sudah melebihi waktu tengah malam,” ujar Mashitah lagi.
“Perasaan takut mula hilang. Namun apabila saya tiba di puncak bukit, barulah saya terfikir semula, di selekoh ketiga itu mana ada rumah orang dan baharulah saya tersedar, mungkin apa yang saya lihat bukan orang sebenar. Nasib baik juga saya hanya terfikir tentangnya selepas dah sampai ke puncak bukit, jika tidak pasti saya akan ketakutan waktu itu,” kata Mashitah Idris menamatkan perbualan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.krissmerah.com/2020/05/tiga-3-kisah-seram-di-jalan-bukit-putus.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+krissmerah+(Kriss+Merah.com+(Blogger+Melayu))