Tidak Mampu Membaca Al Quran Dengan Sempurna Antara Punca 25 Imam Di Perlis Dipecat
Tidak Mampu Membaca Al-Quran Dengan Sempurna Antara Punca 25 Imam Di Perlis Dipecat. Pemecatan 25 orang imam dan 10 lagi yang ditukarkan adalah di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan di luar bidang kuasa kerajaan negeri, kata pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri, Ruzaini Rais.
Kerajaan negeri juga tidak dimaklumkan mengenai perkara itu kerana ia adalah urusan MAIPs, katanya.
“Justeru saya berharap imam-imam terlibat bertenang dan tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan nama baik mereka.
“Saya dengar mereka yang tidak berpuas hati akan mengadakan piket di beberapa buah masjid selepas sembahyang Jumaat esok,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi, hari ini.
Ruzaini meminhta imam-imam terbabit berfikir banyak kali sebelum melakukan sesuatu tindakan sebagai menghormati Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs.
Sebuah lagi institusi berkaitan agama iaitu Jabatan Mufti Perlis juga terletak di bawah MAIPs.
Surat pemecatan dan pertukaran imam-imam terbabit bertarikh 31 Dis lepas ditandatangani oleh pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan.
Dr Hazman, bagaimanapun, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan beliau namun difahamkan pemecatan dan pertukaran mereka ke kariah lain atas beberapa sebab antaranya dikatakan tidak sehaluan dengan pihak tertentu dan faktor usia.
Faktor Usia
IMAM DIPECAT
DrMAZA.com : PENJELASAN berkenaan Isu Perlis pecat Imam Masjid..
Posted by Suara Sunnah on Thursday, 3 January 2019
Sebelum itu 16 orang guru takmir dipecat oleh JAIPs pada Disember lepas kerana didakwa tidak melaksanakan arahan pihak atasan.
Ruzaini berkata beliau difahamkan sebelum tindakan itu diambil semua imam berkenaan telah diberi taklimat.
“Selaku pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri, saya akan cuba membantu mana yang boleh agar isu ini diselesaikan dengan baik,” tambahnya.
Pemberhentian imam-imam lama di Perlis yang berumur melebihi 60 tahun untuk digantikan dengan imam baharu bertujuan meremajakan masjid di seluruh Perlis, kata Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Menurutnya, ada imam berumur lewat 90-an tetapi enggan melepaskan jawatan supaya orang lebih muda dapat menggantikan mereka.
Imam-imam terbabit diberhentikan bukan kerana mereka tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh seperti didakwa pihak tertentu, katanya.
Membuat Penjelasan
Mohd Asri membuat penjelasan itu dalam siri ceramah mingguannya di Masjid Alwi di sini malam ini sebagai reaksi terhadap isu hangat perikutan pemecatan dan pertukaran imam-imam di negeri ini.
Sebuah portal dalam talian hari ini melaporkan 25 orang imam dipecat dan lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat yang berkuat kuasa Selasa lepas.
Mohd Asri bagaimanapun tidak menyebut jumlah sebenar imam yang diberhentikan atau ditukarkan tetapi berkata tindakan itu diambil kerana ada antara mereka tidak mampu membaca ayat-ayat al-Quran dalam solat dengan sempurna dan kemudian dikaitkan dengan disiplin menjalankan tugas.
Katanya ada juga imam yang tidak mematuhi kehendak tugas termasuk tidak menghadiri kursus, tidak membaca khutbah Jumaat yang disediakan dan membawa penceramah luar dan menyentuh politik dalam ceramah mereka di masjid.
“Semua ini direkod oleh pegawai-pegawai jabatan. Kita tidak ambil tindakan sesuka hati,” katanya sambil meminta imam-imam terbabit menerima hakikat mereka tidak semestinya bertugas hingga akhir hayat.
Mohd Asri berkata ramai anak-anak muda yang tamat pengajian tahfiz dan layak menjadi imam harus diberi peluang untuk mengisi tempat imam-imam yang diberhentikan itu.
Sumber: BERNAMA
The post Tidak Mampu Membaca Al-Quran Dengan Sempurna Antara Punca 25 Imam Di Perlis Dipecat appeared first on .
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.apakes.com/tidak-mampu-membaca-al-quran-dengan-sempurna-antara-punca-25-imam-di-perlis-dipecat/