Tidak Bawa Ic Umur 70 Tahun Ke Atas Pesakit Kronik Dilarang Ke Masjid
Norlaile Abd Rahman
Gambar Hiasan. foto HAZROL ZAINAL KUALA LUMPUR- Pihak berkuasa agama di negeri-negeri yang telah membenarkan solat Jumaat dan berjemaahdi kawasan masing-masing perlu mengambil serius beberapa perkara penting bagi memastikan penularan wabak Covid-19 tidak berlaku selepas masjid dan surau dibuka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri berkata, antara perkara tersebut adalah bertegas untuk tidak menerima jemaah yang tidak membawa kad pengenalan.
Jemaah yang mempunyai sakit kronik, berusia 70 tahun ke atas serta kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah juga dilarang untuk memasuki masjid.
“Walaupun sudah ada sedikit kelonggaran, saya ingin merayu kepada Pok De, Mok De dan saudara-saudari semua, patuhilah garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.
“Elak tempat yang sesak, pakai hand sanitizer atau basuh tangan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan sosial dan keluar rumah jika perlu sahaja,” katanya semasa sidang media khas hari ini.
Berikut adalah perkara yang perlu dipatuhi oleh pihak berkuasa agama bagi negeri-negeri yang telah membenarkan masjid dan surau dibuka:-
1) Mengadakan kaunter di pintu masuk yang dihadkan bilangannya bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran Jemaah;
2) Melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wudhu’ sebelum dan selepas solat;
3) Penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu-satu masa;
4) Ahli jemaah wajib membawa kad pengenalan diri. Jika gagal, ahli jemaah harus diarah pulang;
5) Kehadiran direkodkan di dalam buku kehadiran;
6) Pintu masjid dibuka hanya sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan;
7)Melaksanakan penjarakan sosial (social distancing) di dalam dan luar masjid;
8) Jarak antara ahli jemaah adalah sejauh 1 meter antara satu sama lain dan jemaah wajib memakai pelitup muka;
9) Cara masuk dan keluar masjid mesti mengikut giliran dengan beratur serta menjaga penjarakan yang terkawal;
10) Jemaah yang mengidap penyakit kronik, warga emas yang berumur 70 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun tidak dibenarkan hadir berjemaah di masjid;
11) Semua ahli Jemaah yang hadir hendaklah mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah masing- masing sebelum hadir ke masjid;
12) Jemaah dipastikan terus bersurai dalam keadaan tenang;
13) Tiada perkumpulan dibenarkan selesai solat Jumaat samada di dalam atau di luar masjid.– MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/tidak-bawa-ic-umur-70-tahun-ke-atas.html