Tiap Kali Tuduhan Seks Berlaku Kita Teraba Raba Kata Nik Zawawi
Wartawan MalaysiakiniDiterbitkan Hari ini 10:26 pagi
MUKTAMAR PAS | Negara ini tidak akan berdepan satu lagi kontroversi membabitkan video seks jika sistem perundangan Islam diamalkan di negara ini, kata Ketua Ulama Pusat PAS Nik Zawawi Salleh.
Katanya disebabkan Malaysia gagal mengamalkan sistem perundangan Islam, semua pihak "teraba-raba" setiap kali berhadapan dengan isu seumpama itu.
Pada masa sama, katanya, kemelut yang berlaku sekarang menunjukkan sistem perundangan sedia ada gagal menangani isu penularan video seks sedangkan ia telah beberapa kali terjadi.
“Apabila kes ini berlaku dalam negara kita, kita tengok masing-masing teraba-raba, dan ia menunjukkan bahawa sistem perundangan yang diambil daripada penjajah, diamalkan dalam negara kita, gagal. Ia tak boleh nak sekat isu itu.
"Isu ini bukan sekali saja berlaku. Dulu berlaku pada Anwar Ibrahim, dah teraba-raba nak kendalikan isu itu.
"Kali ini berlaku pula, jadi teraba-raba (lagi)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Muktamar PAS Pusat di Stadium Tertutup Sukpa, Indera Mahkota, Kuantan semalam.
Video seks melibatkan aksi intim dua lelaki menggemparkan negara bulan ini apabila salah seorang pelakunya didakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.
Tak berani sewenang-wenangnya
Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, kemudian mengaku sebagai salah seorang pelaku dalam video tersebut.
Azmin bagaimanapun menafikan terlibat dalam video itu. Setakat ini, isu video itu masih disiasat polis.
Selain kes melibatkan Anwar, negara ini juga pernah digemparkan dengan skandal membabitkan salah seorang pemimpin kanan MIC yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat, DP Vijandren, pada 1989.
Mengulas lanjut, Nik Zawawi berkata, perundangan Islam mempunyai kaedah ketat bukan sahaja bagi pihak yang terbabit dalam kegiatan zina dan liwat, tetapi juga terhadap pihak yang melakukan tuduhan tersebut.
Katanya sekiranya perlakuan terkutuk itu dapat dibuktikan, Islam menyediakan hukuman 100 kali sebatan ke atas pesalah.
"Orang yang sebar berita, dia juga boleh diseret masuk dalam mahkamah syariah, dan dia juga akan disebat.
"Jadi kalau (perundangan) Islam dilaksanakan, saya yakin bahawa orang yang menyebar fitnah ini dia tak berani nak sebar sewenang-wenangnya begini.
"Dan orang yang dituduh itu, kalau betul, dia takkan berani buat pekerjaan yang sangat terkutuk. Ini adalah pendekatan dalam Islam," katanya lagi.
N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/06/tiap-kali-tuduhan-seks-berlaku-kita.html