Tiada Tindakan Terhadap Adun Pkr Perak Lompat Parti Farhash
B Nantha Kumar    Adun  Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari yang bertindak keluar PKR dan  seterusnya menyertai Perikatan Nasional (PN) tidak akan dikenakan  tindakan.
Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak  berkata partinya tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap Abdul  Yunus kerana keahliannya gugur secara automatik selepas meninggalkan  parti.
"Sebenarnya tidak ada tindakan lanjut daripada PKR Perak.  Sebab dia dah seberang ke sana. Secara automatik gugur keahlian dalam  PKR dan dia tak mewakili lagi PKR.
"Saya harap, rakyat akan hukum beliau dalam pilihan raya seterusnya," katanya kepada Malaysiakini di Majlis Pertahan Mandat Rakyat di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara, Kuala Lumpur, malam tadi.
Terdahulu,  Farhash yang juga setiausaha politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim  diminta mengulas tindakan parti terhadap Yunus yang mengumumkan keluar  dari PKR untuk menyertai Bersatu. 
Semalam, kerajaan  Pakatan Harapan (PH) tumbang di Perak apabila PN kini mempunyai 32  kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.
Ini selepas dua Adun menyertai Bersatu iaitu Abdul Yunus dan Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohammed Radzi
Susulan  itu, tiga lagi Adun daripada Pakatan Harapan mengisytiharkan keluar  parti iaitu Adun Tronoh Paul Yong dan Adun Buntong A Sivasubramaniam -  kedua-duanya daripada DAP - dan Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd  Munaim daripada Amanah
      Menteri  Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, berkata PN akan memohon perkenan untuk  mengadap Sultan Perak bagi memaklumkan perkara itu
'Tahu Yunus berkiblatkan siapa'
Sementara  itu, Farhash berkata beliau sudah menjangka Yunus akan bertindak  demikian namun terkejut dengan tindakan tiga Adun PH yang  mengisytiharkan sokongan kepada PN.
"(Yunus keluar PKR) bukanlah satu kejutan untuk saya. Dah jangka lama dah."
"Yang mengejutkan saya sebenarnya ketua Pemuda Amanah (Hasnul). Itu yang saya tak duga dan juga dua daripada Adun daripada DAP.
"Tapi kalau Yunus ini, dalam kalangan PKR kita tahu (dia) kiblatkan siapa. Jadi, memang tidak terkejut," tambahnya.
Pada  PRU14 PH membentuk kerajaan di Perak, selepas gabungan itu menang 29  kerusi berbanding Umno dan PAS yang memenangi 30 kerusi secara  keseluruhan.
Namun, dua Adun Umno bertindak keluar parti dan  menyokong Faizal sebagai menteri besar menjadikan PH Perak memiliki 31  kerusi sebelum ditumbangkan semalam.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/03/tiada-tindakan-terhadap-adun-pkr-perak.html