Tiada Pencerobohan Ruang Udara Chin Tong
KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya terdapat sebuah helikopter dan dron dari negara jiran menceroboh ruang udara negara adalah tidak benar.
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, berkata Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan tidak ada pencerobohan yang berlaku.
“Ya, saya nafikan (dakwaan berlaku) pencerobohan udara, saya diberikan taklimat oleh Panglima Tentera Udara, tidak ada sebarang pencerobohan yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyampaian Diploma Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) Siri 47/2018 di Wisma Perwira, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 164 graduan berjaya menamatkan kursus yang mengambil masa selama 49 minggu bermula pada 9 Januari lalu.
Semalam, sebuah portal media melaporkan helikopter dan dron dari negara jiran menceroboh ruang udara Malaysia di Johor.
Turut dimuat naik video berdurasi 2 minit 15 saat yang menunjukkan sebuah helikopter dan sebuah objek dipercayai dron berlegar-legar di udara.
Video itu kemudian turut tular di beberapa media sosial termasuk laman Facebook Kelab Penyokong Angkatan Tentera Malaysia.
Sementara itu, ditanya perkembangan siasatan jawatankuasa khas Parlimen berhubung Operasi Yaman 2, Chin Tong berkata ia masih dalam siasatan.
“Buat masa ini siasatan masih lagi berjalan, hasilnya akan dibentangkan kepada Parlimen, dijangka pada tahun depan,” katanya.
Pada 6 Disember lalu, Chin Tong menerusi satu kenyataan memaklumkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pertahanan
dan Hal Ehwal Dalam Negeri akan menjalankan siasatan pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Operasi Yaman 2.
Beliau berkata, siasatan dijalankan untuk mengenal pasti sama ada atur gerak pasukan dan aset ATM ke Arab Saudi itu mematuhi prosedur kerajaan.
The post Tiada Pencerobohan Ruang Udara – Chin Tong appeared first on MySuara.Net.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.mysuara.net/berita/tiada-pencerobohan-ruang-udara-chin-tong/