Tiada Menteri Boleh Tuntut Kredit Atas Usaha Pemulangan Sisa Plastik
MALAYSIAKINI  
 Tiada  seorang menteri pun yang boleh menuntut kredit ke atas dirinya dalam  usaha Malaysia mengembalikan semula sisa buangan plastik yang dibawa  secara haram ke negara ini, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh  Kementerian Alam Sekitar.
Kenyataan itu adalah sebagai respons  kepada Adun Subang Jaya Michelle Ng yang menyebut nama bekas menteri Yeo  Bee Yin atas usahanya memulangkan semula sisa buangan plastik, yang  kebanyakannya berasal dari Eropah.
Yeo merupakan bekas menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).
"Tidak  seorang menteri pun boleh menuntut kredit (ke atas diri mereka), kerana  ia merupakan tindakan kolektif dari perkhidmatan awam di beberapa  agensi yang diketuai oleh menteri yang berbeza, yang memudahkan  pemulangan sisa plastik yang tidak sah ke negara asal.
"Kerjasama  antara agensi ini perlu diteruskan tanpa menghiraukan siapa menteri  itu. Menurut Konvensyen Basel dan undang-undang domestik, sudah terdapat  mekanisme untuk menghantar semula sisa buangan plastik ke negara asal.
"Namun,  Tuan Ibrahim menghargai usaha Yeo dalam menerajui inisiatif ini dengan  kerjasama dari agensi lain ketika beliau berkhidmat," menurut kenyataan  itu.
Pada Rabu, Menteri Alam Sekitar yang baru dilantik Tuan  Ibrahim Tuan Man mengumumkan bahawa 150 bekas sisa buangan plastik telah  dikembalikan ke negara asal mereka dengan baki lagi 84 untuk dihantar  pulang.
Kementerian itu berkata Tuan Ibrahim akan memastikan kesinambungan dasar yang dilaksanakan sebelum ini.
"Sebagai kenyataan balas kepada komen Ng dalam The Sun Daily,  yang mengatakan Yeo memulakan sistem memulangkan sisa plastik ke negara  asal, Tuan Ibrahim telah menjelaskan perkara itu sejak hari pertamanya  memulakan tugas bahawa beliau akan meneruskan dan memperbaiki semua  inisiatif yang baik dari kerajaan terdahulu.
"Ini termasuk menghantar sisa plastik haram ke negara asalnya.
"Tuan  Ibrahim menekankan bahawa menteri datang dan pergi tetapi perkhidmatan  awam mempunyai mekanisme untuk memastikan semua inisiatif yang dirancang  akan dilaksanakan bagi memastikan tanggungjawab kepada rakyat tidak  terjejas,” katanya.
Kabinet Perikatan Nasional mengangkat sumpah pada hari Selasa, selepas dua minggu kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Berikutan  peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari, kem Muhyiddin  Yassin dalam Bersatu bergabung dengan BN, PAS, GPS dan kem bekas  timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali untuk membentuk PN dan berjaya  menggulingkan kerajaan PH.
Selepas lebih seminggu kemelut itu, Muhyiddin, diangkat sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/03/tiada-menteri-boleh-tuntut-kredit-atas.html