Tiada Angin Masakan Pokok Boleh Bergoyang
Oleh: Zaini Othman                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Abdul Hamid Bador             TIDAK akan berkompromi dengan pegawai dan  anggota polis yang tidak berintegriti dan menjejaskan maruah Polis  Diraja Malaysia (PDRM), itu amaran keras Tan Sri Abdul Hamid Bador,  Ketua Polis Negara baru-baru ini yang menarik perhatian pelbagai pihak.
Beberapa hari sebelum itu, Ketua Polis Negara mendedahkan secara  terbuka akan kewujudan kartel dalam kalangan anggota dan pegawai PDRM  bagi menguasai jawatan penting selain menjatuhkan pegawai atasan PDRM  untuk kepentingan peribadi yang tidak baik.
“Saya mahu orang awam tahu, saya tahu apa yang mereka tahu  mengenai kerja tidak elok dalam pasukan polis, perkara ini akan  dibincang dengan Timbalan Ketua Polis Negara.
”Tiada masalah apabila bercita-cita untuk menjadi pengarah di Bukit  Aman dan Ketua Polis Negara, yang tak sihat dan salah ada niat lain.
”Saya beri amaran untuk hentikan elemen dan pergaulan dengan tauke  dadah, judi. Putuskan hubungan dengan mereka bagi jalankan tugas secara  selesa tanpa diugut pihak lain”.
Salah-laku dalam kalangan anggota polis PDRM bukanlah suatu rahsia  kerana melalui pendedahan di media massa, ada sahaja pelbagai kes  jenayath berat yang di laporkan seperti rasuah, salah guna kuasa,  penyelewengan, penyeludupan dadah, penglibatan dengan kumpulan sendiket  dan kongsi gelap serta pelacuran.
Pada pandangan masyarakat awam seperti penulis, sebagai sebuah badan  beruniform utama yang menguatkuasa dan menegakkan undang-undang untuk  melindungi keselamatan rakyat, perbuatan anggota PDRM yang ‘lalai’ ini  pastinya ibarat ‘Harapkan pegar, pegar makan padi’.
Walaupun hanya melibatkan segelintir anggota sahaja, tetapi seperti  yang ditegaskan oleh Ketua Polis Negara, rakyat berhak mendapat khidmat  yang adil, telus dan mesra dan tidak mahu berdepan situasi PDRM  digunakan untuk mengugut orang yang tampil mendapatkan penjelasan dan  menghukum mereka sewenang-wenangnya.
Dalam kecanggihan teknologi maklumat kini serta kewujuduan pelbagai  medium komunikasi dan informasi dalam kalangan masyarakat, melalui  pengamatan penulis ada sahaja berita mengenai kebaikan anggota polis  ketika bertugas yang tersebar dan mendapat pujian.
Tetapi pada masa yang sama, apabila berita yang tidak baik mengenai anggota polis ia lebih cepat panas!.
Apabila berita seumpama ini lebih kerap disebar luas di media sosial  walaupun ada antaranya tidak benar, ia tetap membangkitkan kemarahan dan  konflik dalam kalangan rakyat yang terasa dianiya sekaligus sedikit  demi sedikit menghakis kepercayaan terhadap pasukan polis.
Keadaan kerana nila setitik rosak susu sebelanga mahupun dek kerana  kerbau seekor habis sekampung terpalit lumpur inilah yang ingin  diperangi oleh Ketua Polis Negara.
Tindakan Tan Sri Abdul Hamid Bador membuat pendedahan secara terbuka  mengenai isu kartel ini walaupun dilihat orang luar dari PDRM ibarat  membuka pekung di dada, tetapi jika diteliti ini ibarat amaran terakhir  bos kepada anak buahnya sebelum diambil tindakan.
Ini juga bagi meningkatkan keyakinan rakyat pada PDRM bahawa polis  tidak memilih ‘bulu’ dalam mengambil tindakan terhadap anggota mereka  yang melakukan kesalahan.
“Saya sendiri sanggup berkongsi cerita yang tidak baik itu sebagai  pengajaran kepada anak buah di bawah, selain memberi keyakinan kepada  orang ramai bahawa polis tidak bersekongkol melindungi kegiatan jijik  ini”.
Penulis senada dengan pendirian Ketua Polis Negara bahawa tindakannya  mendedahkan budaya kutip duit dan ugutan oleh pegawai dan anggota  kartel PDRM adalah bertujuan untuk menghapuskan budaya perosak dan mahu  menjamin perkhidmatan polis berintegri di negara ini.
Beliau tidak berlapik apabila menyatakan bahawa budaya kartel PDRM  dianggap mahu menghancurkan institusi kepolisan dan mengelakkan budaya Blue Code of Silent seperti di Amerika Syarikat dengan menutup segala kesalahan sesama pegawai polis menjadi satu norma kebiasaan dalam PDRM.
Pastinya pendedahan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara membawa kepada persoalan ke mana ia akan berakhir kisah ini?
Ada pihak yang menggesa beliau membawanya kepada Suruhanjaya Pasukan  Polis (SPP) dan segelintir ahli politik menggesa ditubuhkan Suruhanjaya  Siasatan Diraja (RCI).
Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi jaminan bahawa pegawai dan  anggotanya yang terlibat telah dikenalpasti dan ia akan diuruskan  melalui tindakan dalam yang akan diambil selepas ini.
Hakikatnya, gejala rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan  seumpamanya itu boleh berlaku dalam mana-mana agensi penguatkuasa atau  organisasi bukan berbentuk penguatkuasaan sekalipun.
Kita sebagai rakyat terus memainkan peranan menjadi mata-mata untuk  melaporkan gejala tidak bermoral yang boleh memusnahkan negara ini  kepada pihak berkuasa.
Penulis sendiri dan seluruh rakyat Malaysia masih mempunyai keyakinan  dan kepercayaan yang tinggi kepada PDRM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  (SPRM) dan agensi penguatkuasaan yang lain dalam melaksanakan amanah  berat yang dipertanggungjawab di bahu dan uniform yang disarung mereka. MALAYSIA GAZETTE
(*) Oleh: Zaini Othman, Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM. Penulisan ini ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/03/tiada-angin-masakan-pokok-boleh.html