The Art Of Hedging


THE ART OF HEDGING
Dah selamat dah Trump balik.
Tak ada komplen. Tak ada drama. Tak ada kemalangan.
Semua lancar, Alhamdulillah.
Tapi semalam baru aku tahu, dalam ucapan terakhir dia, Trump masih ungkit pasal kejadian eskalator PBB.
Sebulan dah berlalu pun dia tak move on lagi.
Dia ni memang luar biasa — ego besar, kecil hati, sensitif tahap kronik.
Jenis kalau kecil dulu tak cukup peluk mak, kot.
Tapi apa pun, kita berjaya puaskan hati dia.
Bukan sebab takut.
Bukan sebab tak ada iman sampai tunduk pada musuh Islam.
Tapi sebab kita tahu menilai keadaan dan akibat — “the circumstances and the consequences.”
Kalau nak sebut istilah Arabnya:
al-wāqiʿ (الواقع) — keadaan semasa,
al-maʾālāt (المآلات) — akibat yang bakal berlaku.
Tapi kalau guna istilah tu nanti, ada yang kata “tunggang agama”.
Padahal yang suka tuduh tu pun jenis petik ayat separuh jalan tanpa konteks.
🌍 POLITIK ANTARABANGSA BUKAN MACAM POLITIK DALAM NEGARA
Dalam dunia antarabangsa, pemimpin kena faham dua benda utama:
keadaan semasa (circumstances) dan akibat (consequences).
Kita tengah hidup dalam dunia yang masih dikuasai Amerika Syarikat,
negara paling kuat dalam sistem antarabangsa —
dan malangnya sekarang dipimpin oleh seorang pembuli yang tak hormat undang-undang antarabangsa.
Presiden-presiden Amerika sebelum ni — Reagan, Clinton, Bush, Obama —
masih terikat dengan prinsip moral.
Nak serang pun, mesti cari alasan.
Nak bom pun, kena cipta “legitimasi”.
Sebab nak jaga imej Amerika sebagai juara demokrasi dan hak asasi.
Trump?
Langsung tak peduli.
Dia bukan presiden, dia raja.
Bagi dia, “Aku kuat, jadi aku boleh buat apa aku nak.”
⚖️ DUNIA TANPA UNDANG-UNDANG
Ramai orang tak sedar — politik antarabangsa ni bersifat anarki.
Tak ada kerajaan dunia.
PBB bukan kerajaan, ICC bukan mahkamah yang boleh tangkap sesiapa sesuka hati.
Sebab tu Amerika boleh serang mana-mana negara,
Rusia boleh serang Ukraine,
negara jiran pun dulu boleh serang Timor-Leste —
dan tak ada siapa boleh buat apa.
Dunia ni tunduk pada hukum rimba: siapa kuat, dia berkuasa.
Dan umat Islam dulu pernah kuat.
Zaman Khulafa’ al-Rasyidin kalahkan Rom & Parsi.
Salahuddin tawan semula Baitulmaqdis.
Uthmaniyyah kuasai dunia hampir 600 tahun.
Bukan sebab iman semata,
tapi sebab kekuatan dan strategi.
Iman itu arah, tapi kuasa itu pelaksana.
Tanpa kekuatan, iman tinggal cita-cita.
🇲🇾 DASAR LUAR MALAYSIA: BIJAK DAN BERHIKMAH
Bila berdepan dengan Trump —
pemimpin luar tabii yang tiada had,
Malaysia tak boleh guna pendekatan biasa.
Sebab tu PM hari ini tak boleh disamakan dengan PM zaman dulu.
PM dulu tak hadap Trump.
PM sekarang berdepan presiden yang boleh naikkan tarif 100% tanpa amaran.
Jadi, apa pilihan kita?
Kita berhati-hati.
Bukan tunduk.
Tapi berstrategi.
Kalau kita ikut kepala sendiri, “aku berani, aku tak peduli Amerika,”
yang rugi akhirnya ekonomi sendiri.
Bila ekonomi lembap, siapa susah? Rakyat juga.
💬 MALAYSIA: HEDGING, BUKAN BERKECUALI
Inilah yang dipanggil seni “hedging” dalam geopolitik.
Kita berbaik dengan semua kuasa besar,
dan guna hubungan tu untuk imbangi satu sama lain.
Kita rapat dengan China sebab pasaran dia bantu ekonomi kita.
Tapi bila China mula tunjuk kuku di Laut China Selatan,
kita rapat pula dengan Amerika, kuasa yang boleh seimbangkan China.
Dan sebaliknya pun sama.
Kalau Amerika mula tunjuk taring, kita masih ada China sebagai sandaran.
Ini bukan dasar berkecuali.
Ini dasar bijak menimbang.
🧭 TRADISI YANG KITA WARISI
Dari PM1 sampai PMX, logik dasar luar Malaysia tetap sama:
“Kita negara kecil, bergantung pada perdagangan,
jadi kita mesti berbaik dengan semua, bukan berpihak.”
Hubungan Malaysia dengan Amerika dan China ni bukan benda baru.
Dah bermula sejak 1980-an.
Masa tu kita mula nak jadi negara industri —
Amerika yang bantu buka kilang semikonduktor di sini.
China pula jadi rakan dagang utama.
Itulah rahsia kestabilan kita sampai hari ni.
🧩 AKHIR KATA
Hedging bukan tanda takut.
Bukan tanda lemah.
Ia tanda hikmah dan kematangan.
Kita beralah bukan sebab kalah.
Kita bertahan supaya negara terus hidup.
Kita tunggu sampai muncul semula pemimpin dunia yang lebih rasional.
Sebab dalam dunia politik antarabangsa yang dikuasai ego dan kuasa,
kebijaksanaan lebih mahal daripada keberanian kosong.
Dan kalau ada pemimpin kita di masa depan yang lupa benda ni —
yang nak jadi populis, ideologikal, tak berpijak di bumi nyata —
ingatlah satu perkara:
Bila Amerika buat silap, dunia yang susah.
Tapi bila Malaysia buat silap, kita sendiri yang binasa.
Credit: Ayman Rashdan Wong
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/10/the-art-of-hedging.html