Terima Kasih Sebab Ceriakan Sahur Kami
KUALA NERUS, 10 Mei - Pertubuhan Karyawan Kreatif (Karyawan) dengan kerjasama Hotel Primula dan Hotel Permai berjaya menyantuni hampir 70 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menjadi kumpulan pertama penerima Food Bank Siswa melalui program Jom Jengoh Sahur.
Program berkenaan diadakan bagi meringankan beban pelajar yang tergolong dalam keluarga yang kurang berkemampuan untuk sama-sama menikmati keberkatan di bulan Ramadan.
Mohammad Bari
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab, Mohammad Bari Johari, 24, yang berasal dari Mukah, Sarawak berkata, sumbangan juadah sahur cukup bermakna kepadanya yang sudah dua tahun berturut-turut berpuasa di UniSZA.
"Pertama kali menerima juadah bersahur semenjak saya berada di sini dan merasa cukup terharu serta teruja kerana kami biasanya bersahur mengikut kemampuan seperti mi segera.
"Kebanyakan dari kami berasal dari golongan yang tidak berkemampuan dan terpaksa berjimat cermat dan bila ada pihak bantu memberi makanan untuk bersahur, ia cukup bermakna," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas program Jom Jengoh Sahur di UniSZA, semalam.
Program yang bermula 10 malam hingga 2 pagi, turut disertai Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abd Rahman dan Pengurus Besar Hotel Primula, Suaibah Harunserta lebih 50 orang petugas hotel dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Karyawan.
Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia dan Presiden Karyawan, Zaid Salim.
Program Food Bank Siswa adalah kesinambungan daripada program Food Bank Malaysia yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Sementara itu, Penuntut Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab, Normelisa Mohd Yadi yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) berkata, dengan keadaannya yang terpaksa bergantung kepada kerusi roda, sumbangan juadah bersahur pada kali ini membantu meringankan bebannya.
"Terima kasih sebab sudi hantarkan juadah sahur sampai depan pintu asrama dan tidak perlu saya pergi ke kafe untuk membeli makanan atau menyusahkan kawan-kawan untuk membantu menolak kerusi roda.
"Kali pertama ada pihak luar datang memberi sumbangan makanan kepada kami yang ratanya dari keluarga yang kurang berkemampuan dan sekali lagi saya merasa gembira dan berharap dapat diteruskan pada masa akan datang," kata Normelisa.
Bagi Penuntut Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial, Nurul Hidayah Abu Hassan, 21, yang juga OKU merasa cukup seronok kerana buat kali pertama menerima sumbangan juadah bersahur daripada pihak luar.
"Keadaan saya yang buta menyukarkan pergerakan dan sebelum ini terpaksa bergantung kepada kawan untuk bergerak, walaupun rasa susah tetapi lama kelamaan ia menjadi perkara biasa.
"Rasa syukur sangat dengan bantuan yang diberikan dan buat kali pertama tidak perlu susahkan orang lain untuk membeli makanan sahur," ujarnya. (Teganukita)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.ibnuhasyim.com/2019/05/terima-kasih-sebab-ceriakan-sahur-kami.html