Terengganu Jimat Rm150 Juta Hasil Penstrukturan Semula Glc
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu dapat menjimatkan wang sehingga RM150 juta hasil penstrukturan semula 50 anak syarikat kerajaan negeri (GLC) yang sebelum ini dikenal pasti tidak aktif dalam aktiviti perniagaan.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penjimatan itu diperoleh hasil penstrukturan semula anak syarikat kerajaan melalui penutupan dan penggabungan, namun syarikat yang masih berpotensi masih terus beroperasi.
“Sejak beberapa tahun lalu sebelum kita ambil alih pentadbiran, kerajaan terpaksa suntik RM150 juta setahun kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri. Bayangkan, jika kita boleh kurangkan sehingga angka ‘zero’, kita boleh jimat sehingga RM150 juta.
“Wang itu pula kita boleh salurkan untuk kegunaan lain seperti pendidikan, kesihatan dan apa jua yang boleh diberikan kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menyifatkan ia sebagai antara cabaran yang perlu ditempuh selepas memerintah Terengganu, katanya sekiranya anak-anak syarikat yang tidak aktif ini tidak ditutup, ia tidak dapat membantu menyelamatkan wang kerajaan.
“Apabila kita ambil alih kerajaan, kita mengenal pasti kelemahan-kelemahan dan baiki struktur dan cara pengurusan kerajaan. Kita kenal pasti projek-projek yang sebelum ini itu memberi kesan yang besar walaupun mungkin sesetengah orang tak nampak.
“Dengan mengenal pasti kelemahan ini, kita dapat bekerja secara lebih efisien tanpa terpaksa kekuarkan duit yang banyak untuk menyelamatkan atau untuk ‘tutup’ kelemahan-kelemahan yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Samsuri memaklumkan lebih 50 anak syarikat milik Kerajaan Terengganu yang tidak lagi aktif dalam sebarang aktiviti perniagaan akan ditutup dalam usaha menjimatkan perbelanjaan.
Katanya, kebanyakannya syarikat berkenaan adalah anak syarikat di bawah Terengganu Inc dan menjalankan perniagaan yang hampir serupa antara satu sama lain menyebabkan berlaku persaingan yang tidak sihat.
Sumber: kulihatlangitbiru.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/05/terengganu-jimat-rm150-juta-hasil.html