Telefon Pintar Rahmat Atau Bencana Ketika Pkp Raya
 Siva Selan 
Walaupun peranti pintar  tidak lagi boleh dielak dalam era digital ketika ini, namun penggunaan  melampau boleh menjejaskan perkembangan fizikal, mental, sosial dan  psikologi seseorang. 

Kanak-kanak lebih gemar  menggunakan peranti pintar daripada berkomunikasi bersama keluarga dan  rakan taulan semasa menyambut hari raya ketika musim perayaan tepaksa  dihabiskan di dalam rumah sahaja ekoran pandemik.     Ketika semakin ramai  menghabiskan berjam-jam lamanya dengan alatan elektronik dan peranti  pintar, tanpa sedar mereka menjadi semakin jauh dan mula terpisah  daripada menghabiskan waktu bersama keluarga malahan ketika meraikan  lebaran yang sepatutnya merapatkan lagi hubungan sesama mereka.
Hari Raya Aidilfitiri tahun ini sekali lagi diraikan dalam suasana  pandemik, jauh dari keluarga ekoran larangan perjalanan rentas negeri  dan daerah yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam merapatkan  hubungan kekeluargaan.
Sekali lagi, telefon pintar menjadi alat untuk berkomunikasi dengan keluarga tercinta.
  Seorang  pensyarah psikologi di Universiti Segi Mariani Md Nor berkata  penggunaan media sosial untuk berkomunikasi dengan keluarga dan  rakan-rakan adalah satu cara terbaik yang boleh dilakukan ketika ini  kerana tiada pilihan melainkan terpaksa duduk berdiam di rumah.
Bagaimanapun, dia berkata penggunaan peranti pintar yang tidak  dikawal boleh menjadikan seseorang ketagihan sehingga boleh  menghilangkan semangat perayaan Aidilfitri kerana lebih suka menghadap  telefon untuk mengemaskini status di media sosial daripada menyambut  perayaan dengan tradisi kekeluargaan.
“Orang ramai biasanya teruja pada awal raya sahaja, kemudian mereka  sibuk dengan telefon, cuba menghubungi kawan-kawan dalam talian dengan  memencilkan diri dari keluarga sendiri,” katanya kepada MalaysiaNow.
Mariani berkata hal “pandemik telefon pintar” ini bukan sahaja  masalah orang muda, bahkan ia juga turut merebak kepada orang yang lebih  tua dalam masyarakat.
“Penggunaan telefon adalah aktiviti rutin yang kemudian menjadi  tabiat. Penggunaan berpanjangan boleh menyebabkan ketagihan,” katanya.
Fauziah Mohd Sa’ad dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  turut bersetuju peningkatan ketagihan penggunaan telefon pintar dalam  kalangan orang ramai sudah semakin meningkat ketika terpaksa duduk di  rumah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Orang ramai duduk di rumah tak ada banyak benda nak dibuat. Jadi,  mereka habiskan waktu dengan telefon pintar termasuklah ketika sambutan  raya.
  “Namun  penggunaan telefon boleh menyebabkan ketagihan. Ia menghalang kita  daripada berinteraksi dengan orang lain secara bersemuka,” katanya  kepada MalaysiaNow dan menambah mengehadkan penggunaan telefon adalah  kunci utama bagi menangani masalah kompleks tersebut.
“Saya fikir penggunaan telefon ini okey saja kalau ia digunakan bagi  tujuan yang betul dan boleh gembirakan kita. Namun perlu ada hadnya.
“Jangan guna telefon sehingga ia menjejaskan anda secara fizikal,  psikologi dan sosial. Utamakan kesihatan dan keluarga dahulu,” katanya.
Mariani dan Fauziah turut berkata ketagihan penggunaan telefon dalam  kalangan anak-anak yang membesar dengan peranti di samping kurangnya  interaksi dengan orang lain.
Fauziah bahkan berkata ramai ibu bapa yang “merasuah” anak mereka  dengan memberikan telefon pintar supaya anak-anak tidak “mengganggu”.
Namun, katanya, dengan melakukan perkara demikian, anak-anak akhirnya  akan merasakan alat peranti adalah lebih menyeronokkan daripada  berinteraksi dengan orang lain sehingga menyebabkan kurang kemahiran  bersosial.
“Anak-anak ini nantinya tidak mampu membawa diri ketika berziarah ke  rumah orang dan mereka jadi sukar berinteraksi dengan orang yang mereka  temui.”
Selain itu, katanya, ada juga risiko anak-anak terdedah dengan  kandungan tidak senonoh dalam internet seperti video porno dan ganas.
  Justeru, Fauziah mengingatkan ibu bapa untuk sentiasa memantau telefon anak-anak.
Sementara Mariani pula menasihatkan ibu bapa untuk mengawal  penggunaan peranti elektronik dalam kalangan anak-anak dan diri mereka  sendiri demi menunjukkan teladan untuk diikuti.
“Ibu bapa muda perlu pantau perkembangan fizikal, emosi dan sosial  anak-anak. Kawal penggunaan peranti elektronik anak-anak dan diri kita  sendiri sebagai ibu bapa.
“Kita tak mahu anak-anak kita mengikut teladan yang tabiatnya sama  macam robot dan kemudian menjejaskan mereka pada masa akan datang,”  katanya dan menambah ibu bapa perlu merancang masa anak-anak dengan  memastikan jadual aktiviti mereka seimbang.
“Hadkan masa anak-anak dengan telefon pintar dengan cara kita  berkomunikasi dengan mereka. Rancang masa mereka di rumah, dan pastikan  mereka membesar dalam suasana positif.” 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/05/telefon-pintar-rahmat-atau-bencana.html