Teladan Dari New Zealand Wayang Yang Membawa Keamanan
Apabila melihat perdana menteri New Zealand bertudung litup semasa datang melawat kelurga mangsa serangan pengganas tempoh hari, hati kita menjadi sedikit aman. Simpati yang ditunjukkan beliau pada saat kita semua amat memerlukannya, membuatkan kita berasa bahawa masih ada tersisa kemanusian dalam kalangan orang banyak.
Begitu juga apabila ada orang perseorangan dan juga kumpulan manusia yang segera keluar menunjukkan sokongan.
Tidak kurang juga kalangan yang sudi memberikan perlindungan kepada orang Islam semasa menjalani rutin ibadat mereka.
Malah, kumpulan samseng bermotosikal yang terkenal lasak, Mongrel Mob, turut menyatakan kesedihan atas kejadian di Christchurch tersebut.
Kemudian kita lihat pula seluruh rakyat New Zealand bersedih atas peristiwa tersebut dan sebagai tanda sokongan azan dikumandangkan sempena solat Jumaat.
Begitu sebenarnya yang kita mahu. Tidak banyak, sekadar cukup untuk menenangkan hati kita yang sedang rawan ini. Tidak menambah luka seperti yang dilakukan oleh politikus dari Australia dan juga politikus bodoh dari DAP tempoh hari.
Api marak sepatutnya disiram air, bukan dipanaskan lagi dengan kata-kata dungu untuk kepentingan politik.
Teladan dari negara jauh
Tentu saja kita masih sedih dan marah apabila mereka - yang tanpa ada niat selain ke rumah tuhan untuk mengabdikan diri kepada-Nya - dibunuh begitu rupa.
Teramat pula kesedihan kita apabila anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa dikorbankan dek kebencian yang meluap-luap kepada agama pegangan mereka.
Kebencian kepada satu-satu bangsa hanya boleh dihapuskan apabila kita semua sudi hidup sebagai manusia.
Di mana pun kita berada - jika kita faham - tidak ada sesiapa pun yang ingin hidup dalam dendam, sentiasa curiga sesama sendiri dan saling menunggu peluang untuk menjatuhkan orang lain.
Bersegera masuk ke persekitaran aman tatkala bencana benci melanda merupakan jalan paling benar. New Zealand menunjukan caranya.
Terpulang kepada kita sama ada mahu mengikut contoh tersebut atau terus bergaduh siang dan malam. Paling lahanat, kita ini seperti dikuasai oleh politik siang dan malam.
Politik hanya satu bab paling kecil dalam kehidupan. Ketepikan itu dan tentu sekali kita beroleh hidup tersangat aman.
Terima kasih yang tidak terhingga kita ucapkan kepada New Zealand yang mengambil jalan menjernihkan keadaan.
Mereka membenamkan kebencian kepada Islam dengan cara - yang ironinya - diajar oleh Islam sendiri. Yang umat Islam sendiri hampir gagal melaksanakannya.
Apabila disakiti, bersegera mencari salah pada diri sendiri dan tidak tergesa-gesa menunding jari kepada orang lain.
Dituduh cuma wayang
Kita di Malaysia ini masih belum terlambat untuk sembuh daripada luka yang kita cipta sendiri. Kita diajar untuk berpuak dan disuruh untuk memperjuangkan hak puak kita melebihi puak lain.
Lupa kita kepada kesaksamaan yang dibawa oleh agama. Lupa bahawa iman dan takwalah yang nantinya menjadi pemisah kita sesama manusia.
Kami bukanlah sesiapa yang mahu memberitahu kamu semua perihal baiknya menjadi manusia aman.
Cuma menjadi tanggungjawab kami untuk bersama mereka yang tidak memandang warna bulu, darah keturunan atau cerdik bodohnya seseorang sebagai alasan untuk mereka dipinggir atau diutamakan.
Lupakan agama Melayu, agama Cina atau seumpamanya. Berasa malulah dengan ada orang bukan Islam - yang tanpa mereka sedari - sedang mengamalkan saranan dianjurkan Islam ketika musibah datang kepada mereka.
Ada suara kecil yang mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan New Zealand adalah wayang bagi menutup kemarahan umat Islam namun, jika wayang itu boleh membawa kita semua kembali aman, apa salahnya?
Salam takziah kepada keluarga mangsa pengganas di New Zealand. Semoga mereka mendapat kerehatan yang abadi.
Takziah khas kami ucapkan kepada keluarga Muhammad Haziq Mohd Tarmizi yang terkorban dalam peristiwa malang di Christchurch.
Semoga memberi manfaat.
BACA INI JUGA:
5 Tindakan Terpuji PM New Zealand Selepas Kejadian Tembakan PengganasPelajar Asing Di Larang Melacur Di New Zealand
sumber: malaysiakini
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sentiasapanas.com/2019/03/teladan-dari-new-zealand.html