Tanjungbungah Pergerakan Tanah Berlaku Sejak Seminggu Lalu
Pemilik resort berhampiran lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bungah di sini, mengakui terdapat pergerakan tanah di tebing jalan raya berkenaan, sejak minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata susulan itu, pemilik resort berkenaan mengambil inisiatif sendiri dengan menggajikan empat buruh warga Myanmar untuk membina tembok penahan tanah.
“Bagaimanapun, identiti keempat-empat lelaki terbabit gagal dikenal pasti, selain keadaan tebing berkenaan agak curam dan terdapat parit berhampirannya.
“Kerja pembinaan tembok setinggi 2.4 meter itu dibina tanpa perlu mendapat kelulusan mana-mana pihak ekoran proses berkenaan dibuat di atas tanah persendirian,” katanya pada sidang media di sini, tengah malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian tanah runtuh di tebing Jalan Batu Ferringhi di sini, sebelum menghempap tembok penahan tanah dan mengorbankan empat buruh binaan, kira-kira jam 9.25 malam tadi.
Mangsa mangsa pertama dan kedua yang maut dalam kejadian itu masing-masing ditemui pada jam 11.15 dan 12 tengah malam tadi, manakala mayat ketiga pula ditemui pada jam 12.17 tengah malam tadi.
Pasukan penyelamat dalam usaha mencari empat buruh warga Myanmar yang tertimbus dalam tanah runtuh di tapak pembinaan Jalan Tanjung Bungah. - NSTP/Danial Saad
Antara jentera yang digunakan oleh pasukan penyelamat ketika mencari empat buruh warga Myanmar tertimbus dalam tanah runtuh di tapak pembinaan Jalan Tanjung Bungah. - NSTP/Danial Saad
Sehingga kini, operasi mencari mangsa keempat masih dijalankan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri.
Dalam pada itu, Che Zaimani berkata, kejadian tanah runtuh itu disedari pekebun resort berkenaan, yang ketika itu sedang menyiram pokok di kawasan berhampiran, sebelum melaporkannya kepada pemilik pusat peranginan terbabit.
“Operasi mencari mengalami sedikit kesukaran kerana terdapat tunjang pokok yang besar dan ia sukar untuk dialihkan dengan operasi dijangka diteruskan sehingga penemuan mayat terakhir,” katanya.
Berita Harian
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.penangkini.com/2019/06/tanjungbungah-pergerakan-tanah-berlaku.html