Tangani Segera Isu Kemurungan Rasa Ingin Bunuh Diri
Ramieza Wahid 
    Beberapa pihak menyuarakan pendapat berbeza berhubung tindakan  segelintir warganet yang bertanggungjawab mendorong seorang remaja  membunuh diri di Kuching, Sarawak pada Isnin lalu.
Pengarah  Eksekutif Befrienders Kuala Lumpur Kenny Lim, mengakui media sosial  adalah tumpuan utama dalam kalangan hampir semua anak muda ketika ini.
“Media  sosial sesuatu perkara yang memang tidak boleh dielakkan anak muda,  namun mereka yang mengunakannya mesti berwaspada agar tidak berlebihan  bergantung kepada medium tersebut,” katanya ketika ditemui oleh  Malaysiakini di Petaling Jaya hari ini.
Baru-baru ini seorang  remaja berusia 16 tahun terjatuh dari tingkat tiga bangunan rumah kedai  di Batu Kawa, Kuching gara-gara undian dalam talian di akaun Instagram.
Memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan, portal Suara Sarawak melaporkan remaja itu dipercayai membuat undian di akaun Instagram  dengan memaparkan status: "Sangat penting, bantu saya pilih”.
Dia kemudian menyediakan dua pilihan iaitu D atau L yang masing-masing bermaksud "mati" atau "hidup".
Hasil  undian yang dijalankan 69 peratus responden memilih D dan remaja  terbabit kemudian mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Rakan patut peka Tambah Aidil, mangsa juga difahamkan mengalami kemurungan kesan daripada masalah keluarganya.
Mengulas  lanjut, Lim berkata, penggunaan media sosial dalam kalangan pesakit  yang mengalami kemurungan membawa kesan baik dan buruk.
“Sisi  baik adalah, mereka dapat meluahkan perasaan yang terpendam, kerana ada  juga orang mengalami kemurungan akan rasa lega selepas meluahkan masalah  di media sosial.
“Sisi buruk pula ialah, setelah membuat luahan  mungkin akan ada orang lain mengecam atas perilakunya dan ini akan  membuatkan mereka (pesakit kemurungan) lebih tertekan,” katanya.

Pengarah Eksekutif Befrienders Kuala Lumpur Kenny LimMenurutnya, orang yang mengalami kemurungan perlu berhati-hati dan jangan meluangkan masa terlalu lama dalam medium tersebut.
Tambah  Lim, 43, remaja di Sarawak itu mungkin menanggung banyak masalah  sehingga terpaksa memilih sama ada untuk meneruskan hidup atau membunuh  diri.
“Undian itu sebenarnya petanda awal dia meminta bantuan. Rakannya patut peka dengan isyarat berkenaan," katanya.
Lim  menjelaskan, dalam keadaan seseorang penderita kemurungan sudah membuat  keputusan dengan 90 peratus ingin membunuh diri, masih ada berbaki 10  peratus untuk dia mahu meneruskan hidup.
"Jadi dia mungkin bergantung pada undian itu (untuk membuat keputusan akhir),” katanya.
Jelas Lim, masyarakat kini dilihat kurang endah terhadap seseorang yang mengalami kemurungan.
“Kemurungan ini bukan perkara biasa, masyarakat perlu ada kesedaran tentang bahaya penyakit ini.
“Masyarakat  sekurang-kurangnya perlu diberi pendidikan awal agar mereka tahu  bagaimana untuk membantu golongan terbabit,” katanya.
Bukan salah pengikut IG sepenuhnya Tahun  lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata  kajian menunjukkan satu daripada lima anak muda mengalami kemurungan,  manakala satu daripada 10 remaja berhadapan masalah tekanan perasaan.
Kajian  Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 menunjukkan sekurang-kurangnya 10  peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk  membunuh diri.
Lim berkata, kerajaan wajar mengambil ikthibar  daripada kejadian di Sarawak itu dan menggiatkan usaha membantu  penderita kemurungan.
“Saya berharap kerajaan dapat menambah jumlah pakar psikiatrik dan pakar kaunseling di hospital kerajaan.
“Mungkin  kerajaan juga boleh memperkenalkan insurans untuk melindungi golongan  ini kerana ia dapat meringankan kos perubatan mereka," katanya.
Lim  berkata demikian kerana dia melihat syarikat insurans di Malaysia  setakat ini tidak menyediakan pelan insurans yang menyeluruh buat  golongan pesakit mental khususnya yang mengalami kemurungan.
Hari  ini, Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menggesa pihak  berwajib, terutamanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia  (SKMM) menyiasat akaun media sosial remaja yang membunuh diri itu.
Beliau berkata pengguna media sosial yang mengundi di akaun remaja berkenaan perlu didakwa di mahkamah.
Sementara itu, ketua Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Mahsa, Dr Hussain Habil (gambar), menjelaskan rakyat tidak boleh menyalahkan pengikut Instagram mangsa sepenuhnya.
“Kita  juga tidak tahu adakah mangsa membunuh diri disebabkan undian di  Instagram atau memang tidak tahan untuk hidup bersama keluarganya.
“Apabila kita berurusan dengan anak muda, mereka selalu bersifat gopoh membuat keputusan.
“Dalam  kes ini dilihat rakannya seperti menganggap undian itu adalah satu  perkata yang tidak serius,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Jelas Hussain, perkara tersebut disifatkan sebagai negatif psikologi.
Sebagai  contoh, katanya, apabila seseorang yang mengalami kemurungan menyatakan  hasrat ingin membunuh diri, orang yang diberitahu akan memberi galakan  kerana menganggap langkah itu sebaliknya akan membuat penderita terbabit  membatalkan niatnya.
'“Teknik ini sebenarnya tidak boleh  digunakan buat orang yang murung kerana mereka memerlukan bantuan bukan  dalam cara berkias begitu,” katanya.
Hussain yang merupakan bekas  presiden Persatuan Psikiatrik Asean berkata media sosial tidak wajar  dijauhi buat golongan yang mengalami kemurungan itu.
“Media sosial dapat memberi banyak alternatif buat mereka (pesakit kemurungan) antaranya dari segi mendapatkan bantuan.
  “Apa yang kita boleh buat adalah belajar daripada kes ini dan mengkaji  bagaimana cara untuk menghindarinya agar tidak berlaku lagi,” katanya. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/05/tangani-segera-isu-kemurungan-rasa.html