Takkan Semua Masaalah Selesai Bila Anwar Jadi Pm 8
Entah sudah kali yang ke berapa, kini timbul lagi desakan agar Tun Mahathir Mohamad berundur dan memberi laluan kepada pengganti yang sudah dipersetujui, Anwar Ibrahim untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri.Kali ini desakan dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berikutan timbulnya pelbagai isu kaum dan agama dalam negara yang dilihatnya gagal diselesaikan dengan sewajarnya.Demi untuk mengelakkan PH terus bermasalah, malah mungkin berpecah, Hassan mencadangkan pengunduran Tun Mahathir adalah jalan terbaik bagi memastikan gabungan yang memimpin kerajaan itu mampu bergerak ke hadapan dengan lebih baik lagi.Selepas ini, terutama jika timbul lagi isu-isu kaum dan agama, tidak mustahil desakan berundur itu akan terus kedengaran di mana-mana.Sampai bilakah PH mahu terus berdepan dengan persoalan peralihan kuasa ini, sedangkan banyak permasalahan negara lebih utama untuk diselesaikan?Apakah semua masalah dalam negara ini akan selesai setelah Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri?Jika kita perhati dan teliti, masalah utama yang sedang dan tidak mustahil akan terus membelenggu PH ialah berkaitan peralihan jawatan Perdana Menteri.Sementara penentuan peralihan jawatan itu sentiasa menjadi perbincangan umum kerana Tun Mahathir enggan menetapkan tarikhnya, ia diburukkan lagi dengan tindak-tanduk beliau yang seolah-olah ingin berkhidmat sebagai Perdana Menteri melebihi dua tahun lamanya.Lagi menambah-buruk keadaan, muncul pula pengampu, pembodek, penjilat dan “hantu raya” yang mendesak mahukan Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal.Sesungguhnya, jika Tun Mahathir sentiasa berpegang kepada janjinya hanya mahu menjadi Perdana Menteri selama dua tahun, tidak berubah-ubah cakap dan tidak pula berbuat sesuatu yang memperlihatkan keinginan berkuasa lebih lama, PH tidaklah terjerumus kepada pergolakan yang tidak habis-habis seperti sekarang ini.Kalau sudah berjanji dua tahun, sepatutnya itulah yang mesti dipatuhi serta ditepati dan tidak perlulah lagi ke sana ke sini mencari sokongan tambahan daripada pihak luar PH.Bukankah PH sudah berjaya membentuk kerajaan melalui sokongan PKR, DAP, Amanah, Bersatu dan juga Warisan?Bermakna, selagi Tun Mahathir tidak sedia menetapkan tarikh peralihan jawatan dan masih berteka-teki mengenainya, selagi itulah PH ini tidak stabil.Sebaliknya, jika ditetapkan tarikh, tidak akan timbul lagi sebarang persoalan berkaitan penyerahan jawatan yang sudah dijanjikan itu.Lebih daripada itu, setelah Anwar menjadi Perdana Menteri nanti, tumpuan PH kepada agenda negara dan kestabilan gabungan itu juga pasti akan bertambah baik lagi berbanding sekarang.Ini kerana, setelah Anwar diberikan apa yang sudah dijanjikan kepadanya dengan disaksikan kesediaan rakyat memberi kemenangan dalam PRU14 lalu, PH dengan sendirinya menjadi bertambah stabil lagi dengan semua parti, termasuk Warisan, hanya memikirkan soal rakyat dan negara semata-mata.Tidak akan berbangkit lagi isu siapa akan jadi pengganti Anwar sebagai Perdana Menteri seterusnya sebagaimana sekarang ini.Terutama jika Muhyiddin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, semua pihak dalam PH pasti akan memberi sokongan kepadanya.Tidak timbul juga soal PKR, DAP, Amanah, Bersatu dan Warisan akan berpecah atau tidak setuju dengan gandingan Anwar-Muhyiddin itu nanti.Malah, pihak tertentu dalam PKR yang sekarang ini menyokong Azmin Ali dan berkiblatkan Tun Mahathir, pasti dengan sendirinya akan kembali bertaut memberi sokongan kepada kepimpinan baru negara.Tiada Tun Mahathir di kedudukan Perdana Menteri, tiada jugalah mereka itu. Kumpulan itu diwujudkan secara sengaja oleh Tun Mahathir melalui perlantikan Azmin sebagai menteri, biar pun nama Timbalan Presiden PKR itu tidak pernah dicalonkan lantaran sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor dan selepas beliau tidak lagi berkuasa, segala-galanya akan lenyap secara automatik.Begitu juga dengan Bersatu, semuanya akan berpadu dan kembali memberi sokongan penuh kerana Muhyiddin bukan ancaman serta tidak pernah ada sejarah mahu menolak Anwar.Memang masalah akan tetap ada dalam PH setelah Anwar jadi Perdana Menteri nanti. Masalah adalah sebahagian ramuan kehidupan. Tiada siapa dapat mengelak daripadanya.Tetapi, ia bukan lagi masalah yang sengaja dicipta untuk menjadikan air sentiasa keruh di mana bukan saja banyak ketidaktentuan akan terus berlaku di kala kekeruhan, malah kadangkala “racun untuk membunuh” pun secara sengaja diletakkan di sebalik keruhnya air yang disengajakan itu.Kalau yang mahu “dibunuh” itu musuh yang nyata, bolehlah juga diterima, tetapi musykilnya sasarannya lebih kepada rakan sendiri yang sebelumnya begitu diperlukan untuk meraih kemenangan. (Shahbudindotcom 15/08/2019)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2019/08/takkan-semua-masaalah-selesai-bila.html