Takbir Hari Raya Aidilfitri Lafaz Maksud Panduan
Takbir Raya merupakan cara untuk kita mengagungkan dan membesarkan Allah SWT sebagai tanda kesyukuran kepadanya setelah berjaya menunaikan ibadah berpuasa sebulan lamanya dalam bulan Ramadan.
Pengenalan Takbir Hari Raya Aidilfitri
Sambutan hari raya Aidilfitri disambut dengan gema takbir bagi menggambarkan syiar Islam di samping meraikan kemenangan dalam menghadapi ujian dan dugaan di bulan Ramadan. Takbir pada hari raya merupakan perkara yang disunatkan berdasarkan firman Allah SWT:
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan mudah-mudahan kamu bersyukur.
Al-Baqarah (185)
Umat islam disyariatkan supaya melaungkan takbir apabila terbenamnya matahari pada akhir bulan Ramadan dengan suara yang lantang bagi menggambarkan kegembiraan dan menunjukkan syiar islam. Imam al-Khatib al-Syirbini menyebutkan di dalam karyanya:
وَهَذَا كُلُّهُ فِي التَّكْبِيرِ الَّذِي يَرْفَعُ بِهِ صَوْتَهُ وَيَجْعَلُهُ شِعَارَ الْيَوْمِ
Maksudnya: Ini semuanya berkaitan hukum pada takbir yang dilaungkan dengan suara yang lantang dan dijadikannya sebagai syiar pada hari itu (hari raya).[1]
Begitu juga umat islam disunatkan untuk melakukannya tanpa mengira waktu dan tempat bermula terbenamnya matahari pada akhir bulan Ramadan sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram untuk menunaikan solat Aidilfitri. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya:
وقال الجمهور: يكبر في المنازل والمساجد والأسوق والطرق أي عند الغدو إلى الصلاة جهراً، إلى أن تبدأ الصلاة
Maksudnya: Menurut pandangan jumhur ulama: Melaungkan takbir ketika di rumah, masjid, pasar dan jalan. Iaitu pada hari sebelum solat (solat sunat hari raya) secara lantang sehinggalah hendak memulakan solat (solat sunat hari raya).[2]
Oleh itu, jelas bahawa sunat melaungkan takbir raya dengan suara yang lantang untuk menunjukkan kegembiraan dan syiar islam serta ianya disyariatkan pada hari raya dan juga hari tasyriq sahaja.
Selain Takbir Raya, kita juga digalakkan untuk bertahlil, takbir, tahmid dan taqdis. Ini berdasarkan hadis daripada riwayat Anas:
“Hiasilah kedua hari raya kamu dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis.” (Riwayat Abu Nuaim)
Selain itu, terdapat hadis lain riwayat Anas seperti yang bermaksud:
“Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir.” (Riwayat al-Tabarani)
Untuk nas-nas lain berkaitan galakan bertakbir, boleh rujuk halaman Mufti Wilayah Persekutuan.
Tempoh Masa Bertakbir
Takbir Raya juga dikategorikan sebagai Takbir Mursal (juga dikenali sebagai Takbir Mutlak) kerana pelaksanaannya tidak terikat dengan waktu solat.
Takbir ini boleh dimulakan pada malam Hari Raya Aidilfitri iaitu selepas terbenamnya matahari (masuk waktu Maghbir) 1 Syawal sehingga takbiratulihram Solat Hari Raya Aidilfitiri.
Kita digalakkan bertakbir sepanjang malam antara dua waktu ini.
Tempoh Takbir Raya Aidilitri ini adalah berbeza daripada tempoh Takbir Raya bagi Hari Raya Aidiladha.
Namun begitu, tujuan keduanya adalah sama yakni untuk mengagungkan Allah SWT pada hari-hari kebesaran dan perayaan bagi orang Islam.
Lafaz Takbir Hari Raya Aidilfitri
Antara lafaz masyhur untuk bertakbir adalah berdasarkan lafaz yang warid daripada Rasululllah SWT antaranya yang ditulis dalam kitab Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi (no.6280):
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ اللهُ أَكْبَرُ وَأَجَلُّ اللهُ أَكْبَرُ عَلَى مَا هَدَانَا
Selain itu, Imam An-Nawawi turut menyebut dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (2/81) lafaz yang berikut:
اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Maksudnya:
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tidak ada sembahan yang benar melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan untuk Allah segala pujian.”
Selepas itu, disunatkan juga untuk menambah lafaz yang berikut:
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ [ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ ] وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ [ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ]
Maksudnya: “Allah Maha Besar dengan sebenar-benar Kebesaran-Nya, dan pujian bagi Allah sebanyaknya. Maha suci Allah di waktu pagi dan petang. Tiada Tuhan melainkan Allah dan tidaklah kami menyembah melainkan-Nya dengan tulus ikhlas menuruti Agama-Nya, sekalipun dibenci oleh orang kafir. Tiada Tuhan melainkan Allah sahaja. Dia membenarkan janjinya, membantu hambanya dan memuliakan tenteranya serta mengalahkan pakatan tentera Ahzab secara bersendirian. Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian”
BACAAN TAKBIR RAYA AIDILFITRI (RUMI)
Allahu Akbar, Allahu Akbar ,Allahu Akbar, La illaha il Allah , Allahu Akbar, Allahu Akbar walilahil Hamd , (3 kali)
Allahu Akbaru Kabeera wal-Hamdulilahi katheera wa Subhan allahi bukratan wa aseila .
La illaha il Allah sadaqa wa’dah ,wa nasara abda, wa a’azza jundahu wa hazamal-ahzaaba wahdah ,
La illaha il Allah ,wa laa na’budu illa iyyah, mukhlessena lahud-deena ,walaw karehal-Kafeeroon.
La illaha il Allahu wallahu Akbar, Allahu Akbar walillahil Hamd
Video Takbir Syawal
Semoga lafaz takbir dan maksudnya ini dapat membantu kita menghayati lebih mendalam maksud disebalik takbir ini dan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.
Baca juga:
Hari Raya Aidilfitri 2023: Tarikh Cuti Hari Raya Puasa Seluruh Malaysia
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/takbir-hari-raya-aidilfitri/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=takbir-hari-raya-aidilfitri