Tak Sesuai Prn Di Melaka Beri Laluan Idris Jadi Ketua Menteri
Secara prinsipnya kerajaan negeri Melaka pimpinan Sulaiman Md Ali sudah pun tumbang berikutan penarikan sokongan 4 Adunnya hari ini.
Adun yang mengumumkan menarik sokongan itu adalah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Selain mengumumkan menarik sokongan terhadap Sulaiman, mereka juga turut meletak jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka.
Berikutan jumlah Adun di Melaka adalah berjumlah 28 dan kerajaan pimpinan Sulaiman sebelum ini terbentuk melalui sokongan 17 Adun, penarikan sokongan 4 Adun ini bermakna mereka yang bersama kerajaan hanya tinggal 13.
Sebaliknya 4 Adun yang menarik sokongan itu yang disokong pula oleh 11 Adun PH, lalu menjadikan mereka adalah kelompok majoriti iaitu seramai 15 Adun.
Sulaiman dengan kedudukan ini tiada alasan lain lagi melainkan harus meletakkan jawatan dengan segera.
Serentak dengan itu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari bersama 4 Adun berkenaan yang diketuai Idris sedang berusaha menghadap Yang Dipertuan Negeri Melaka, Ali Rustam bagi urusan perlantikan Ketua Menteri baru.
Meski perkembangan terbaru ini tidak berapa disenangi oleh banyak pihak, terutama kerana Adun UMNO sendiri yang bertindak menjatuhkan kerajaan pimpinan UMNO, tetapi inilah realiti politik yang harus diterima dengan hati terbuka.
Jatuh menjatuh dan dijatuhkan adalah lumrah, tambahan lagi UMNO sendiri bersubahat dengan beberapa siri kejatuhan kerajaan sebelum ini.
Sekarang, terimalah pula padahnya dan jangan hanya seronok bila berpeluang menjatuhkan orang saja.
Bukankah hidup ini macam roda, berputar-putar dan sekejap di atas sekejap di bawah?
Mendepani situasi ini, banyak pihak khususnya UMNO segera tampil menyarankan agar pilihanraya negeri atau PRN segera diadakan.
Mereka mengatakan hanya PRN jalan penyelesaian terbaik dan terserahlah kepada rakyat membuat penentuan siapa yang harus jadi kerajaan selepas ini.
Dalam hal ini, jangan kita lupa, ketika kerajaan PH Melaka dijatuhkan sebelum ini, usul mengadakan PRN telah pun diusulkan, tetapi telah ditolak oleh Yang Dipertuan Negeri ketika ini.
Memandangkan situasi sekarang tidak begitu sesuai di mana kes Covid19 hari ini masih lgi agak tinggi iaitu lebih 8,000 kes, mengadakan PRN bukanlah pilihan yang baik.
Dibimbangi jika PRN diadakan di Melaka, kes Covid19 akan meningkat semula sebagaimana selepas PRN Sabah tahun lalu.
Cukuplah sekali kita mempertaruhkan nyawa rakyat dan jangan diulangi buat kali yang kedua.
Dengan demikian, pilihan paling wajar ialah perlantikan Ketua Menteri baru harus dilakukan dengan segera.
Memandangkan gerakan menjatuhkan kerajaan ini bukan dilakukan oleh PH, tetapi oleh Adun UMNO sendiri yang diketuai Idris, adalah wajar beliau disokong sebagai Ketua Menteri dalam kerajaan baru yang turut ditunjangi oleh 11 Adun PH.
PH, terutamanya Adly harus berjiwa besar dengan memberi laluan kepada Idris menjadi Ketua Menteri sehingga PRU15. –
ShahbudinHusin 04/10/2021.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/10/tak-sesuai-prn-di-melaka-beri-laluan.html