Tak Perlu Ke Mesir Kerana Di Kelantan Kini Ada Piramid
Oleh : Arif Atan
Piramid pun ada di Malaysia-lah!
Kalau anda mahu lihat piramid depan mata tidak perlu pergi Mesir. Malaysia kan 'Truly Asia'. Di Hulu Kelantan pun ada piramid besar kecik semua ada. Banyak pulak tu. Ini gambar² dalam tinjauan #Lasak7 pada 24 dan 25 Ogos lalu.
Menakjubkan sungguh piramid di negeri Serambi Mekah, kan? Mungkin pemimpin kerajaan negeri Kelantan tidak terbaca terjemahan ayat al-Quran yang banyak mengingatkan perihal pentingnya gunung sebagai pasak bumi. Antaranya dalam
Surah Al-Naba' (78:6-7) :
"Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?
"Dan GUNUNG-GANANG SEBAGAI PANCANG PASAKNYA?"
Juga dalam Surah Al-Naml (27:61) :
"Bukankah Dia (Allah) yang telah menjadikan bumi sebagai tempat kediaman, yang menjadikan sungai-sungai di celah-celahnya, yang menjadikan GUNUNG-GANANG UNTUK MENGUKUHKANNYA dan yang menjadikan suatu pemisah antara dua laut? (Dua laut di sini ialah laut yang masin dan sungai besar yang bermuara di laut. Sungai yang tawar itu setelah sampai di muara tidak menjadi masin) Apakah di samping Allah ada tuhan yang lain? Sebenarnya kebanyakan mereka tidak mengetahui."
Lihat imej dibawah ini ada saya sertakan indeks ayat al-Quran berkaitan pemeliharaan alam terutama kepentingan gunung-ganang;
Jadi, melanconglah di Lojing, Kelantan untuk melihat sejauhmana peringatan Allah tentang pemeliharaan gunung-ganang diterjemahkan melalui tindakan.
Anda akan dihidangkan dengan pemandangan ala piramid saujana mata memandang. Gunung habis digondol, botak, ditarah, diluka, diperkosa walaupun di papan terpampang "Anok Kelate Saye Hute". (Anak Kelantan Sayang Hutan)
Kalau singgah di air terjun dekat Gunung Stong, anda akan nampak papan amaran "Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan". Larang buat maksiatlah tu. Tapi pembalakan tarah habis, ingat Allah tak nampak?
Penyakit di Kelantan juga berjangkit ke Perak. Gunung-ganang di kawasan Tanah Tinggi Kinta sedang menjerit ditarah. Projek piramid sedang dibina!
Lepas keluar balak, digantikan dengan projek pertanian atas nama muluk guna bahasa Inggeris agar nampak global "agro farming" dan "agro tourism". Entah, melancong dari segi apa pun, tak tahulah. Kalau dibiar, boleh jadi Tanah Tinggi Cameron nombor 3!
Modus operandi guna ayat "agro tourism' kononnya ini samalah ungkapan palsu untuk projek rumah mewah yang memusnahkan baki kawasan hijau di Kuala Lumpur seperti di Pantai Dalam yang dipropagandakan sebagai "urban forest city"! Entah mana hutannya, tak tahulah. Oh ya, hutan batu!
Nerakalah buat penguasa yang melampaui batas (banyak amaran Allah untuk golongan melampaui batas) dan tidak menggunakan kuasa yang dimilikinya bahkan salah guna kuasa bersubahat dengan taikun tamak segalanya demi pitih, duit, wang sanggup melakukan kerosakan alam anugerah Allah yang kesannya bukan sahaja hari ini tapi berpanjangan memusnahkan kelestarian alam dan kesejahteraan generasi akan datang.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://laiyeker.blogspot.com/2019/09/tak-perlu-ke-mesir-kerana-di-kelantan.html