Tak Ada Fasa Malas Bersiap Siti Saleha Tetap Kekal Aktif Bergaya Walau Hamil 6 Bulan
Bagi kebanyakan wanita hamil, rasa letih dan perubahan fizikal sering kali membuatkan mereka kurang berminat untuk berdandan atau tampil bergaya. Namun, berbeza buat pelakon jelita Siti Saleha yang tetap menjaga penampilan walaupun kini sedang hamil anak pertama.
Memasuki usia kandungan enam bulan, Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharum, 35, akui dirinya masih rajin berhias kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada dirinya.
“Setakat ini, saya tak ada sampai tahap malas bersiap lagi. Saya masih lagi mahu menjaga penampilan kerana saya memang suka berdandan. Malah selepas tamat penggambaran, saya ada lebih banyak masa lapang untuk hadir ke acara,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Tetap Aktif Walau Sedang Hamil
Meskipun tidak mengalami alahan, Saleha mengakui keletihan tetap dirasai hampir setiap hari. Namun, ia tidak pernah dijadikan alasan untuk mengabaikan penampilan mahupun mengurangkan aktiviti sosial.
Selepas mengambil keputusan bercuti daripada dunia lakonan, isteri kepada pereka fesyen Joshua Fitton ini memberi tumpuan kepada kesihatan, keluarga dan kandungan. Beliau masih kekal aktif dengan menghadiri acara, bersenam ringan dan banyak berjalan selagi mendapat kebenaran daripada doktor.
View this post on Instagram
A post shared by SITI SALEHA (@sallywho)
Malah, pelakon drama popular 7 Hari Mencintaiku itu juga merancang untuk bercuti sebelum memasuki trimester ketiga. Katanya, ia sebagai persiapan mental dan fizikal sebelum menyambut cahaya mata.
“Saya cuba kekal aktif selagi doktor kata semuanya baik. Sekarang pun saya banyak berjalan, bercuti dan ambil peluang untuk babymoon,” ujarnya yang turut bersyukur kerana suaminya sentiasa memberi sokongan sepanjang fasa kehamilan.
Tiada Mengidam, Ikut Selera Harian
Menariknya, walaupun kandungan kini sudah memasuki enam bulan, Saleha masih belum mengalami sebarang “craving” atau keinginan pelik seperti sesetengah ibu hamil lain.
“Saya tidak mengidam sesuatu yang khusus. Saya hanya mahu makan apa yang saya mahu pada hari itu,” katanya sambil tersenyum.
Julai lalu, Saleha mengumumkan kehamilannya menerusi hantaran di Instagram ketika bercuti di Bali bersama suami tercinta. Pasangan ini mendirikan rumah tangga dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang pada Februari lalu.
Inspirasi Buat Ibu Hamil Lain
Kisah kehamilan Siti Saleha nyata memberi inspirasi buat ibu-ibu lain. Beliau membuktikan bahawa kehamilan bukanlah penghalang untuk kekal yakin, aktif dan bergaya – asalkan tahu menjaga kesihatan diri serta kandungan.
Bagi ibu hamil, penampilan bukan sahaja untuk kelihatan cantik di mata orang lain, tetapi juga mampu meningkatkan keyakinan diri dan membantu mengawal emosi sepanjang fasa mengandung. Sama ada memilih gaya ringkas atau tampil penuh bergaya, yang paling utama ialah keselesaan, kesihatan dan kebahagiaan ibu serta bayi dalam kandungan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/tak-ada-fasa-malas-bersiap-siti-saleha-tetap-kekal-aktif-bergaya-walau-hamil-6-bulan/