T18i14 Kedah Turunkan Kesebelasan Terbaik Lawan Kelantan
FINALIS Piala Malaysia musim lalu, Kedah akan menurunkan kesebelasan terbaiknya pada perlawanan akhir Kumpulan C Piala Malaysia bertemu Kelantan di Kota Bharu, Ahad ini.
Pemangku Ketua Jurulatihnya, Azzmi Abd Aziz berkata, beliau akan menyediakan gandingan pemain terbaiknya dalam aksi memburu kemenangan menentang The Red Warrior (TRW) biarpun sedar bukan satu tugas mudah.
Kedah meletakkan sandaran ke atas Sandro untuk mengetuai serangan mereka merobek gawang Kelantan, Ahad ini.
Menurutnya, walaupun memerlukan satu mata sahaja untuk layak ke suku akhir, beliau tetap mahu Lang Merah terbang tinggi di Stadium Sultan Muhammad IV dan perkara tersebut dibuktikan melalui persiapan rapi sejak seminggu yang lalu.
“Saya melihat perlawanan ini ibarat perjuangan hidup mati buat Kedah dalam Piala Malaysia musim ini dan semestinya kami akan turun ke Kota Bharu dengan kekuatan penuh.
“Kita perlu bermain ‘fast football’ dan taktikal ini akan diterapkan untuk menghidupkan peluang menjaringkan gol. Saya sangat berharap pemain akan semangat dan latihan sebelum ke Kelantan akan memperkemas dan meningkatkan persembahan kita nanti di sana,” katanya.
Beliau turut gembira dengan kehadiran semua tonggak utamanya dari skuad kebangsaan dan menjangkakan mereka mampu meneruskan cabaran terbaik bersama pasukan.
“Selepas menang 3-1 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 31 Ogos lalu, saya lihat semua pemain lebih bermotivasi dan berharap dengan suntikan kemenangan itu mampu memberikan lonjakan untuk aksi penting pada perlawanan akhir peringkat kumpulan,” katanya.
Tambah Azzmi, beliau juga tidak runsing dengan ketiadaan penyerang, Paulo Rangel yang digantung tiga perlawanan kerana mempunyai Sandro Da Silva untuk mengisi kekosongan tersebut.
Katanya, Sandro masih menjadi pilihan utamanya untuk menggempur kubu TRW berdasarkan persembahan dan kesungguhannya menjaringkan gol pada beberapa perlawanan lalu.
“Sandro masih pilihan tepat dan pemain ini beraksi dengan baik di jentera serangan. Kita tidak mudah hilang bola dengan cepat walaupun faktor umur beliau kini sudah memasuki 35 tahun.
“Beliau terus beri komitmen tinggi selain terus berusaha meningkatkan tahap permainan dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.
Semalam, Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC), Mohd Safarizal Mohd Sobri menggesa Kedah menurunkan kesebelasan terbaiknya melawan Kelantan untuk memburu kemenangan bagi menjamin slot suku akhir Piala Malaysia 2018.
WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR, FOTO: AHMAD ZAKI OSMAN, SINAR HARIAN
20180914
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.interpretzz.com/2018/09/kedah-turunkan-kesebelasan-terbaik.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+Interpretzz+%28interpretZZ%29