Syed Saddiq Gesa Kerajaan Luluskan Tanaman Hemp Bagi Tujuan Perubatan
 Ahmad Mustakim Zulkifli
 Beliau turut menggesa jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji penanaman hemp bagi tujuan perubatan. 

Penanaman ganja jenis hemp  telah dibenarkan di kebanyakan negara termasuk negara jiran Thailand  bagi tujuan perubatan atau rekreasi. Gambar: AP      Kerajaan digesa  membentangkan kertas kerja kajian tanaman dan penggunaan hemp bagi  tujuan perubatan seperti mana yang telah dilakukan beberapa negara lain,  kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurut bekas menteri belia dan sukan itu, kajian tersebut mesti  berpandukan data and sains berkenaan kebaikan dan keburukan untuk  meluluskan industri itu.
“Di lebih 40 negara pada hari ini, kelulusan ‘hemp’ untuk tujuan  perubatan telah pun diberikan di AS, Australia, Argentina, Denmark dan  baru-baru ini negara jiran kita, Thailand. Nilai pasaran terkini  (industri hemp) adalah sebanyak RM16 bilion dan dianggarkan pada empat  tahun lagi mencecah RM400 bilion.
  “Kita  tak mahu Malaysia ketinggalan lagi dalam perbincangan hal ini hanya  kerana ia sensitif, walhal kajian berdasarkan data dan sains menunjukkan  arak dan rokok jauh lebih berbahaya daripada industri ini,” katanya  ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari  ini.
Katanya, hemp boleh digunakan sebagai perubatan alternatif untuk  membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental seperti penyakit  bipolar.
Menurut Saddiq, kerajaan wajar mengadakan satu jawatankuasa khas yang  melibatkan pelbagai pihak untuk meluluskan penanaman hemp bagi tujuan  perubatan.
Menurut bekas menteri kesihatan, Dr Adham Baba, sehingga September  tahun lalu penanaman hemp masih lagi tertakluk di bawah akta dadah.
Pada 2019, menteri kesihatan ketika itu Dzulkefli Ahmad mengumumkan  kerajaan membenarkan penanaman hemp yang merupakan sejenis pohon ganja  daripada spesis Cannabis Sativa bagi tujuan penyelidikan pihak industri.
Bagaimanapun, kebenaran tersebut masih tertakluk di bawah Seksyen  6B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana menteri kesihatan mempunyai  kuasa untuk memberi izin penanaman hemp, untuk pengeluaran serat dan  biji sahaja bagi tujuan bukan komersial.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/syed-saddiq-gesa-kerajaan-luluskan.html