Suspek Perlekeh Kebenaran Solat Jumaat Dijangka Dituduh 1 Jun
azrulhakimie
Tindakan berkenaan hina Islam, ingkari perintah Sultan Johor									  	 	   

		 			 			KULAI – Seorang lelaki yang dipercayai memuat naik kenyataan tular di  Facebook, memperlekehkan kebenaran 12 jemaah menunaikan solat Jumaat di  negeri ini dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Kulai pada 1 Jun.
Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng  Yeow berkata pihaknya telah mendapat keputusan laporan daripada  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung  pengesahan milik akaun Facebook berkenaan.
“Semalam, keputusan MCMC telah diperoleh  dan kita akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada  Ahad ini untuk arahan lanjut.
“Kemungkinan besar suspek akan dituduh  pada Isnin (1 Jun) di Mahkamah Majistret Kulai dan perkara ini akan  dikemas kini pada Ahad nanti,” katanya kepada pemberita di sini, hari  ini.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 505B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 19 Mei lepas, suspek warga tempatan  dan berumur 45 tahun itu telah menyerah diri manakala telefon bimbit  miliknya turut diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.
Menurut Tok, suspek juga dibebaskan dengan jaminan polis setelah menjalani tempoh reman selama tiga hari bermula 20 Mei.
Pada 16 Mei lalu, Pengerusi Jawatankuasa  Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi membuat laporan polis  berhubung satu kenyataan tular yang dimuat naik seorang individu di  laman Facebook yang memperlekehkan kebenaran 12 jemaah menunaikan solat  Jumaat di negeri ini.
Kenyataan itu dipercayai dimuat naik oleh individu berkenaan pada 13 Mei lepas.
Tosrin berkata tindakan individu  terbabit menghina kesucian agama Islam dan mengingkari perintah Sultan  Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Kerajaan negeri Johor pada 13 Mei lepas  mengumumkan hanya 12 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di setiap  masjid dan surau di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan  Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan. – Bernama 			 		
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/suspek-perlekeh-kebenaran-solat-jumaat.html