Surat Dari Jakarta Caf Di Klia
Saya sepatutnya berada di Jakarta atas urusan tugas semenjak awal Ogos 2021. Disebabkan PKP dan berbagai sekatan, saya terpaksa bekerja dari rumah dan berurusan melalui talian hampir setiap hari.
Jadual perjalanan yang dipinda beberapa kali akhirnya menjadi kenyataan dan saya berangkat ke Jakarta selepas satu hari melintasi tahun baru.
KLIA yang telah lama tidak dikunjungi ternyata amat sepi. Penumpang amat sikit dan banyak ruang perniagaan masih tutup, begitu juga dengan “business lounge” MAS, belum dibuka.
Saya mencari-cari, di mana agaknya café yang buka untuk mendapat secawan kopi pada jam 11 pagi. Airport yang biasanya amat sibuk dan dipenuhi penumpang dari dalam dan luar negara ini, ternyata sepi.
Akhirnya saya ketemu satu cafe tempatan di aras satu, yang baru kembali beroperasi selama seminggu setelah lebih satu setengah tahun ditutup.
Malangnya mesin pembuat kopi masih tidak mahu berfungsi. Agak malang juga apabila menu utama yang menunjukkan gambar-gambar menarik dan enak seperti “roti canai” dan “nasi lemak”, dua makanan kegemaran rakyat Malaysia ini, tidak dapat disajikan.
Kerana “freezer” utama untuk menyimpan makanan-makanan tersebut, sebelum dipanaskan, masih belum tiba. “Hari ini sampai”, mengikut satu daripada dua kakitangan yang bekerja di situ.
Pekerja wanita berpakaian seragam yang berdiri segak di belakang kaunter itu, dengan wajahnya terlindung di sebalik pelitup muka, memohon maaf pada saya.
Dengan panjang lebar dia cuba menerangkan tentang mengapa kafenya tidak dapat menyediakan kopi panas, sejak mereka memulakan semula perniagaan.
“Maaf encik, kita cuma ada ‘canned’ drinks dan karipap sahaja.”
“Tak apa.” Jawab saya, dengan suara dari belakang pelitup muka dan sedikit terkilan. “Minta saya sebotol air mineral kecil, yang tidak sejuk.”
Setelah membayar sebanyak RM6 untuk sebotol air mineral 350ml, saya berlalu dan terfikir untuk mengecas telefon bimbit yang baterinya cuma tinggal 30%.
Puas saya mencari stesen pengecas talipon (charging station) tapi tidak terjumpa. Tak mungkin internasional airport seperti KLIA tidak ada “charging station.”
Saya terlihat beberapa tiga pin plug di dinding dan mencubanya, tapi semuanya tidak berfungsi.
Di satu sudut, saya berdepan dengan beberapa kerusi urut yang agak luntur warnanya kerana tidak terpakai, tetapi soket-soketnya telah dicabut. Saya cuba cas di plug, tidak berfungsi.
Sambungan kuasanya mungkin telah sengaja dimatikan. Selantas itu saya bergerak ke pintu 36, seperti yang tercetak di pas penerbangan.
Kilang Paip
Di ruang berlepas, menunggu penerbangan, saya terlihat dua penumpang lelaki Indonesia yang duduk di lantai dan bersandar di dinding sambil mengecas telefon mereka.
Saya merapati mereka dan bertanya sekiranya masih ada plug yang kosong. Dengan senang hati, jejaka yang lebih muda itu, menawarkan plugnya dengan berkata.
“Telpon saya udah lebih 50 persen, kalau bapak mahu cas, silakan.” Benar dugaan saya, mereka dari Indonesia.
“Bateri saya udah kecil bangat.. Ma kasih ya mas.” Jawab saya dengan rasa hormat dan sedikit bersalah kerana mengambil “kesempatan” atas budi baiknya.
Sambil langsung memasang kabel ke plug di dinding dan terus meletak telefon saya di sisinya di lantai.
Saya menarik bag kabin kecil dan terus duduk di kerusi kosong yang tersedia di depan kedua pemuda tadi. Sepantas itu saya bertanya pada jejaka yang budiman tadi. “Pulang ke Jakarta, mas?”
“Ya Pak.” Jawabnya tenang.
“Bapak?” tanyanya pada saya.
“Ya, ke Jakarta..urusan kerja.” jawab saya. “Pulang libur?” tanya saya lagi.
“Ngak, Pak. Permitnya udah tamat. Ngak bisa sambung.” Katanya lembut dan dengan nada yang agak sayu, dia menyambung. “Pemerintah di sini suruh pulang terus.”
“Kerja di mana?” tanya saya kembali.
“Di Shah Alam, Pak.” Jawabnya.
“Kerja apa di Shah Alam?’ Gaya saya seperti perisik.”
“Di pabrik bikin pipa, Pak.”
“Oh..bagus.” kata saya. ‘Lumayan’ Udah lama?”
“Udah 5 tahun.. sih lumayan jugak, Pak.” Jawabnya sambil senyum.
Sambil menarik nafas yang agak panjang, di benak saya terlintas tentang bagaimana nasib seorang pekerja asing ini, yang mempunyai lima tahun pengalaman di kilang membuat paip di Shah Alam, tidak lagi diberi kebenaran untuk bekerja di kilang tersebut.
Dan dia menerima nasib malangnya dengan penuh ketenangan.
Apakah ada pengganti tempatan yang mempunyai pengalaman yang sama untuk mengambil tempat beliau?
Apakah akan terjadi pada kilang tersebut dari segi produksi dan demi memenuhi permintaan pasaran paip yang bukan saja untuk Malaysia, tetapi mungkin untuk pasaran eksport juga.
Ekonomi yang hilang
Benak saya terus menghitung. Di lapangan terbang ini saja, ramai anak-anak tempatan yang hilang pekerjaan.
Berpandukan kepada keadaan diwaktu sebelum Covid-19, dengan operasi sepenuh masa, lapangan terbang ini telah memberi pekerjaan kepada lebih 5,000 kakitangan.
Dalam perkiraan saya dan dari pengalaman menggunakan perkhidmatan di KLIA, selain pekerja di dalam airport, ramai lagi pekerja lain juga yang terlibat termasuk perkhidmatan pengangkutan seperti teksi, bas-bas pelancong, kakitangan hotel dan perniagaan lain yang telah hilang punca pendapatan mereka.
Sekiranya seorang pekerja dibayar gaji sebanyak RM2,000 sebulan, jumlah ekonomi dari segi kewangan yang berputar untuk 5,000 pekerja, ialah RM10 juta sebulan. Ini anggaran saya yang agak konservatif.
Dalam satu tahun yang lepas, pendapatan ekonomi yang telah hilang dari gaji bulanan sahaja ialah sebanyak RM120 juta. Ini adalah satu jumlah kerugian yang besar, pendapatan yang tinggi di sekitar KLIA itu sahaja.
Bayangkan kerugian ekonomi yang lain seperti kutipan dari penggunaan lapangan terbang seperti yuran mendarat, yuran parkir pesawat, bayaran perkhidmatan aeronautikal yang berkaitan, makanan, minuman dan pelbagai lagi.
Dan yang paling utama ialah bayaran tiket penerbangan itu sendiri. Semuanya telah hilang dari KLIA. Seramai 26 juta penumpang telah menggunakan KLIA pada tahun 2019. Sekarang ekonominya terbengkalai.
Dimana kepandaian dan kecerdikan kita? Sedangkan banyak negara Eropah telah beroperasi seperti sediakala.
Bagaimana mungkin kita memperbetulkan keadaan ekonomi yang begitu muram dan parah di Malaysia sekarang? Bolehkah kita kembali ke tahun 2019 sebelum kemelut ini terjadi?
Pandemik atau ekonomik?
Sepanjang perjalanan hampir dua jam, saya punyai banyak waktu untuk merenung keadaan ekonomi semasa yang begitu parah dan bentuk serta kaedah pembetulannya.
Siapakah penasihat ekonomi negara sekarang? Kajian apa yang mereka buat?
Siapa pula yang memberi nasihat kepada Perdana Menteri tentang banyaknya pekerjaan yang hilang, jumlah kerugian dalam putaran ekonomi semasa setiap bulan. Kehilangan pendapatan di bidang korporat dan kesukaran membayar pekerja mereka.
Bagaimana caranya untuk mengembalikan keadaan sekarang supaya serupa dengan keadaan sebelumnya?
Pendapatan dari segi perkhidmatan yang menjana ekonomi negara, dan juga pekerjaan kepada rakyat supaya mereka dapat menanggung segala beban perbelanjaan. Ekonomi pembuatan dan perkilangan serta perniagaan yang telah dimusnahkan dan diperosakkan oleh pandemik yang tidak wajar ini?
Berapa jumlah pendapatan negara yang telah merosot?
Saya kira, pihak yang bertanggung-jawab tidak berlaku adil sekiranya mereka tidak mengambil langkah-langkah yang bijak untuk mengembalikan keadaan yang melanda ekonomi negara dan menyebabkan kesengsaraan kepada rakyatnya.
Dalam tekad kita untuk melawan pandemik, kita tidak boleh mengabaikan perlunya kecekapan dalam pentadbiran ekonomi. Aktiviti ekonomi itu yang penting. Kita mesti juga harus seimbangkan kepentingan kesihatan dalam konteks kesejahteraan negara yang harus mengambil kira aspek ekonomi.
Jangan sampai Malaysia sebuah negara, mirip dengan café di KLIA tadi; tempat cantik, menu menarik, SOP diikuti, tapi kopinya ‘ngak ada. Kerana mesin kopi yang rosak itu tidak dibaiki, apalagi untuk diganti.
Jadi wang kopi tidak masuk-masuk. Siapa yang rugi? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/01/surat-dari-jakarta-cafe-di-klia.html