Sumpah Laknat Mufti Wilayah Patut Letak Jawatan Kata Zamihan
MALAYSIAKINI
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) Dr Zamihan Mat Zin menyarankan supaya Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad meletak jawatan ekoran kenyatannya bahawa sumpah laknat tiada dalam sistem perundangan Islam.
Zamihan berkata, Zulkifli sepatutnya membuat kajian terperinci dan perlu mengeluarkan kenyataan secara berhikmah supaya tidak dilihat menjadi alat politik pihak tertentu.
"Mufti sepatutnya membuat kajian atau homework terhadap sesuatu isu terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan berkaitan tokoh politik.
"Hal ini penting supaya beliau tidak dikecam netizen, tidak memutuskan hukum secara salah, tidak menjatuhkan kredibiliti mufti dan merosakkan reputasi dirinya.
"Bahkan posisi mufti amat penting tidak dilihat sebagai alat politik," katanya melalui satu tulisan di Facebooknya, hari ini.
Pada 23 Dis lalu, Zulkifli berkata istilah sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara mengenai "li'an".
Dr Zulkifli Mohamad Dalam Islam, ucapan li'an dilakukan oleh suami yang nampak isterinya berzina dengan lelaki lain, tetapi tidak dapat mendatangkan seramai empat orang saksi
Istilah "mubahalah" (saling laknat melaknati) yang disebutkan dalam Surah Ali Imran ayat ke-61 pula tidak merujuk kepada perundangan Islam, kata Zulkifli.
"Sebaliknya ia (mubahalah) dikategorikan dalam sumpah membabitkan perdebatan bagi menyokong hujah yang benar dan menolak hujah palsu.
"Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes masih berjalan di mahkamah.
"Bahkan proses keadilan di mahkamah, tidak eksklusif pada sumpah sahaja, bahkan pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian dan pembuktian di hadapan hakim," katanya dalam satu kenyataan.
Najib ketika bersumpah di Masjid Kampung BaruJumaat lalu, bekas perdana menteri Najib Razak melafazkan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur bagi menafikan pembabitannya dalam pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Sumpah laknat itu dibuat selepas bekas pegawai polis, Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya membuat dakwaan mengejutkan melalui akuan berkanun (SD) dari Penjara Kajang.
Banduan yang sedang menunggu hukuman gantung itu mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib (ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri) dan rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.
Mufti Liverpool masih kosong, sindir Zamihan
Mengulas lanjut Zamihan yang juga pendakwah kontroversi itu berkata, tiada larangan dalam akta pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan yang melarang seseorang daripada bersumpah laknat di masjid.
Katanya, tindakan mufti melarang sumpah laknat adalah menyekat sesuatu perbuatan yang harus di sisi Islam.
Jelasnya lagi, amalan bersumpah di masjid merupakan amalan sunnah yang diharuskan, bahkan jumhur ulama termasuk Imam Syafie menganjurkan umat Islam bersumpah di makam Ibrahim dan mimbar Masjid Nabi SAW.
"Atau bersumpah di dalam mana-mana masjid jika kes berkenaan berlaku di luar Makkah dan Madinah sama ada ia dibicarakan melalui mahkamah ataupun tidak (Mukhtasar al-Muzani, Bab Tempat Bersumpah, Jld 8, hlm 417)," katanya.
"...Jika mufti minat politik kepartian maka elok bertanding dalam PRU-15 akan datang. Beliau boleh berjuang di lapangan seperti 'player Liverpool' yang beliau agungkan.
"Jika mufti ada maruah diri, elok beliau meletak jawatan. Jawatan mufti Liverpool masih kosong untuk diisi," sindir Zamihan.
Zulkifli sebelum ini sering menggunakan pasukan bola sepak Inggeris Liverpool itu sebagai contoh ketika memberi nasihat.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/12/sumpah-laknat-mufti-wilayah-patut-letak.html