Sultan Selangor Zahir Kebimbangan Peningkatan Kes Rasuah
   Norzamira Che Noh 

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan  kebimbangan terhadap peningkatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa  dalam kalangan segelintir pegawai dan kakitangan jabatan penguatkuasaan  kerajaan khususnya di Selangor. 
Istana Alam Shah menerusi satu kenyataan memaklumkan, tindakan  segelintir mereka yang terbabit dalam jenayah yang tidak bermoral ini  sekali gus mencemarkan reputasi dan imej pihak kerajaan dan pihak  berkuasa yang terbabit. 
Menurut kenyataan yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office  hari ini, laporan media yang meluas mengenai kesalahan jenayah rasuah  menggambarkan penolakan rakyat terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan  kelicinan pentadbiran kerajaan. 
 "Seandainya gejala rasuah ini terus berlaku dengan berleluasa ia akan  menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kemampuan jabatan  penguat kuasa ini di dalam melaksanakan tindakan undang-undang di negara  ini. 
"Justeru itu, baginda menyeru dan menasihatkan pegawai dan kakitangan  penguat kuasa di semua majlis kerajaan tempatan, Jabatan Agama Islam  Selangor (JAIS) dan semua jabatan kerajaan lain yang  dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang supaya tidak  membabit atau mendekatkan diri dengan segala perbuatan rasuah dan  perkara yang membolehkan tohmahan rasuah dan penyelewengan dilemparkan  oleh mana-mana pihak. 
"Ini termasuk juga aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri  sendiri atau pihak tertentu ketika melaksanakan tugas penguatkuasaan.
"Perbuatan sebegini perlu dielakkan sama-sekali dari dilakukan," kata kenyataan itu. 
Sultan Selangor juga menegaskan agama Islam melarang keras perbuatan  rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang sudah diamanahkan  dengan jawatan dan kuasa. 
Gejala rasuah adalah perbuatan mengkhianati amanah negara dan masyarakat. 
"Baginda juga menyeru supaya semua pegawai dan kakitangan penguat  kuasa menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan berhemah dengan  mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan  yang mana mereka perlu bersikap adil kepada semua pihak ketika tindakan  penguatkuasaan dilakukan," katanya. 
Menurut kenyataan itu, sikap berhemah dalam mengambil sesuatu  tindakan perlu sentiasa diutamakan demi memelihara ketenteraman dan  keamanan awam.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/sultan-selangor-zahir-kebimbangan.html