Sukar Untuk Sabah Tuntut Hak Seperti Sarawak Kata Penganalisis
Penganalisis berkata, kekurangan dua pertiga kerusi GRS di Dewan Undangan Negeri Sabah menjadi penghalang kepada negeri itu untuk menuntut semula hak seperti dilakukan kerajaan GPS di Sarawak. (Gambar Bernama)KOTA KINABALU: Sabah mungkin berdepan kesukaran untuk mengikut cara Sarawak bagi mengembalikan hak mereka, kata penganalisis politik.
Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, keadaan politik di Sabah sedikit berbeza dengan Sarawak dengan kerajaan yang memerintah ketika ini turut melibatkan parti dari Semenanjung.
“Saya percaya Sabah mahu melakukan perkara sama (seperti Sarawak) untuk menuntut hak sepatutnya dan seterusnya menjadikan negeri ini lebih baik.
“Bagaimanapun keadaan politik di Sabah sedikit berbeza dengan Sarawak dan ini adalah salah satu sebab mengapa Sabah tidak begitu agresif melakukannya.
Tony Paridi Bagang.“GPS (Gabungan Parti Sarawak) adalah gabungan yang terdiri daripada parti-parti tempatan manakala GRS (Gabungan Rakyat Sabah) menggabungkan parti tempatan dan nasional.
“Dengan keadaan ini, biasanya mereka akan ‘berlembut’ sedikit dalam mengutarakan pendapat bagi memastikan hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, kekurangan dua pertiga kerusi GRS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menjadi penghalang kepada negeri itu untuk menuntut semula hak seperti dilakukan kerajaan GPS di Sarawak.
Katanya, pindaan perlembagaan seperti menukar nama jawatan Ketua Menteri dan beberapa perkara lain memerlukan sokongan dua pertiga daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Lee Kuok Tiung.“Sudah tentu ya (Sabah juga mahu mengikut jejak Sarawak) tetapi masalah utamanya GRS tidak mempunyai majoriti dua pertiga seperti GPS di Sarawak.
“Itu adalah cabaran terbesar GRS tapi ia tidak bermakna sudah tiada harapan kerana masih ada langkah yang boleh dilakukan GRS. Pertamanya, daftarkan GRS supaya adanya locus standi (hak di sisi undang-undang),” katanya.
Semalam, Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan Ketua Menteri kepada “Premier” diluluskan di DUN Sarawak.
Kerajaan Sarawak sebelum ini turut melaksanakan beberapa perkara lain termasuk mengenakan cukai jualan sebanyak 5% ke atas produk petroleum yang dikaut dari negeri itu dan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar rasmi kedua Sarawak. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/02/sukar-untuk-sabah-tuntut-hak-seperti.html