Sudahlah Presiden Patriot Saya Nak Muntah
SAYA naik muntah apabila askar pencen menggunakan nama Patriot sebagai singkatan NGO yang diwakilinya. Kamu hanya askar pencen yang cuba menonjolkan diri agar dapat kekal relevan berada dalam kerajaan hari ini.
Siapa kata UMNO tidak terbabit membendung dan menentang kegiatan komunis? UMNO ketika itu memimpin kerajaan. Maka, UMNOlah membuat keputusan. Apabila keputusan dibuat, maka tentera dan polislah yang menjalankan tanggungjawab mereka.
Pasukan keselamatan perlu menyusun dan mengaturkan strategi untuk menentang kegiatan komunis. Jika semua pemimpin kena buat, apa kerja tentera dan polis?
Memang ahli-ahli UMNO tidak terbabit secara langsung dalam menentang komunis. Pemimpin dan ahli UMNO tidak diajar memikul dan mengunakan senjata. Tetapi semangat rakyat menentang komunis kekal membara walaupun tidak memikul senjata. Cakap biar berlapik. Cara berfikir sebegini macam otak udang.
Semua sedia maklumkan, perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan berada dalam kerajaan yang memerintah. Maka, semua agensi ada tanggungjawab dan tugas masing-masing.
Jika ada kejayaan atau kegagalan dicapai, orang akan merujuk kepada kerajaan yang memerintah, bukan tentera atau polis. Logik ini pun pesara tentera itu pun tidak boleh fikir ke? Ini tahap pemikiran pemimpin Patriot kononnya?
Hari ini komunis telah berjaya dihapuskan, apa pula kerja tentera? Takkan pemimpin dan ahli UMNO kena pikul senjata.
Dalam Rundingan Damai Baling misalnya, Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan David Marshall mewakili Perikatan ketika itu berhadapan dengan pemimpin komunis seperti Chin Peng. Ketegasannya dalam membantah pengiktirafan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai parti sah dalam rundingan itu membolehkan negara kita bebas daripada ancaman atau pengaruh komunis.
Kegigihan, keberanian dan ketegasan beliau telah membebaskan negara kita daripada belenggu komunis dan penjajah. Takkan rundingan damai perlu menghantar ketua tentera seperti Mohamed Arshad Raji. Apa keputusan yang boleh dibuat mewakili kerajaan?
Arshad seperti cacing kepanasan apabila membaca berita Najib Razak berkaitan sumbangan UMNO dalam menentang komunis.
Arshad mengulas kenyataan Najib pada 30 Jun lalu, memberitahu mesyuarat agung tahunan UMNO Gombak, menyeru ahli UMNO melawan PH dengan berani seperti ‘pendekar-pendekar kita’ yang menentang komunis.
Arshad membalas, tiada rekod UMNO dan anggotanya secara berkumpulan berjuang dan menewaskan pasukan bersenjata komunis sebelum kemerdekaan.
Anggota keselamatan yang berkhidmat di era pemberontakan komunis dengan mudah boleh sahkan mereka tidak pernah nampak seorang pun ahli UMNO menggalas 30 kilo barang dan senjata, dengan senapang di tangan, bergerak di hutan Pahang, Perak, Kedah dan Sarawak, menggadai nyawa daripada terpijak jerangkap samar demi memburu komunis.
Bagaimana UMNO hendak terbabit, rakyat jelata, mengikut undang-undang, tidak boleh memegang senjata sembarangan.
Sama seperti hari ini, kita tidak boleh bawa senjata seperti pisau atau parang sembarangan. Letak dalam kereta tanpa tujuan sudah dikira salah. Inikan punya hendak memikulkan senjata. Cakap biarlah menggunakan akal dan logik.
Mungkin Arshad rasa dirinya besar kerana telah dilantik sebagai ahli lembaga dalam beberapa institusi kerajaan. Tetapi beliau bukan siapa-siapa. Jadi tak usah berlagak seolah-olah beliau seorang yang bijak. Saya tidak pasti, apa kelayakannya.
Saya bukan mahu membela Najib atas kenyataannya mengenai komunis. Tetapi respon balas Arshad nampak sangat mahu bodek kerajaan hari ini untuk dilantik ke jawatan yang lebih tinggi. Tinggalkan perangai hodoh. Eloklah mendekatkan diri dengan masjid surau ketika usia sebegini.
Memanglah UMNO tidak berperang dengan komunis, tetapi pasukan keselamatan ketika kerajaan di bawah pemerintah UMNO. Begitu juga rundingan damai tahun 1989 antara pihak kerajaan dengan komunis.
Cubalah fahami ucapan Najib dalam bentuk teks dan konteks. Jika tidak faham, mari saya ajar. Mungkin Arshad dan ahli Patriots tidak faham bahasa teks dan konteks itu. Naif sangat.
Saya petik satu contoh yang saya ambil daripada Arkib Negara. Peristiwa yang berlaku pada 25 Ogos1957, seramai 2,000 orang awam Tanjung Malim telah mengadakan satu gerakan menentang komunis dengan memasuki dan meredah hutan belantara, seluas 30,000 ela persegi.
Mereka menyeru lima orang pengganas komunis yang masih tinggal dalam kawasan hutan Tanjung Malim supaya menyerah diri.
Tentera udara menggunakan kapal terbang yang mempunyai alat pembesar suara yang dapat didengar dalam lingkungan empat batu, mengarahkan pengganas komunis menyerah diri.
Gerakan menentang komunis ini diadakan selama empat jam, bermula 9 pagi. Kebanyakan orang awam yang menyertai gerakan ini adalah anggota Jawatankuasa Rakyat Setia Tanjung Malim. Sudah tentulah ketika orang awam meredah hutan belantara ini, mereka dilindungi oleh askar daripada Batalion ke-5 Askar Melayu Diraja serta tiga unit Pasukan Polis Persekutuan serta tentera udara.
Apa yang ingin saya simpulkan, sesungguhnya gerakan rakyat menentang komunis pada hari itu dalam tahun 1957 adalah satu perpaduan dan kerjasama semua pihak untuk membantu kerajaan membanteras komunis. Takkan dalam ramai-ramai ini tidak ada orang UMNO? Biar betul Arshad!
Gerakan menentang komunis adalah gerakan rakyat, bukan hanya tugas hakiki tentera pada ketika itu. Jadi, tak usahlah berlagak tidak tentu pasal. Tertanya-tanya apa sumbangan Arshad menentang komunis ketika itu. Terdapatkah parut di badan beliau seperti kehebatan mendiang Kanang anak Langkau menentang komunis.
Saya tidak dapat lupa kehebatan mendiang Kanang, bagaimana beliau diarahkan menyusuli kematian seorang askar di kawasan Tanah Hitam, Perak, akibat serangan oleh pihak komunis pada 8 Februari 1980.
Platun Perisikan Pertempuran, unit dalam Rejimen Renjer Diraja Batalion Ke-8 di bawah pimpinan Kanang ditugaskan untuk mencari dan memusnahkan kumpulan komunis. Kanang dan pasukannya mengambil masa selama 11 hari untuk menjejaki pihak musuh.
Pada 19 Februari 1980, kira-kira jam 3 petang, platunnya dapat menganggar kedudukan pihak musuh yang berhampiran. Bagaimanapun, mereka kemudian menyedari bahawa mereka telah membuat kesilapan dan telah memasuki kawasan pihak musuh.
Kesilapan ini tidak mematahkan semangat Kanang. Beliau berjaya menumpaskan pihak musuh, dengan seorang musuh tercedera ditangkap dan lima orang komunis dibunuh. Seorang askarnya cedera parah, manakala Kanang pada dirinya ditembak sebanyak tiga kali tetapi terselamat.
Beliau hampir menemui ajal selepas peluru musuh mengenai jantung merosakkan satu buah pinggangnya, terburai usus perut dan terlantar di hospital selama 14 bulan. Adakah Arshad sehebat Kanang? Jauh panggang daripada api.
Setahu saya, hanya beberapa kerat sahaja anggota tentera pencen yang menyertai persatuan yang kononnya digelar Patriot. Arshad tidak mewakili tentera secara keseluruhan. Nampak sahaja hebat, bukan ada apa-apa pun. Gigipun dah tak ada apatah lagi nak menggigit.
Sudahlah Arshad, pergilah dekati masjid surau, untuk balas balik waktu muda dahulu yang tidak ada kesempatan.
Saya tahu sedikit sebanyak latar belakang tentera (tidak semua) dan perangai hodoh mereka ketika bertugas diperbatasan. Saya agak lama juga bergaul dengan tentera ketika mengambil sarjana pengajian strategi bersama mereka dan ketika berkhidmat di universiti tentera (UPNM).
Nasib baik hari ini kita sudah ada Kor Agama Angkatan Tentara (KAGAT). Jika tidak pasti ramai yang yang menonggang. Itu pun masih ada yang kekal dengan tabiat lama menonggang. Ini tidak termasuk lagi melakukan perbuatan keji ketika diperbatasan.
Saya tidak kata semua terbabit. Bagi yang tidak ada iman, memang tidak mustahil. Arshad, nak kelentong orang lain boleh, tetapi bukan sayalah.
Ridhuan Tee
ISMAWeb
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/07/08/sudahlah-presiden-patriot-saya-nak-muntah/