Sudah Boleh Mula Rundingan Kerusi Antara Ph Dan Pn Gesa Mp Pkr
agendaily.com26/05/2022
MP Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Seorang Ahli Parlimen (MP) PKR mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) sudah boleh memulakan rundingan kerusi dengan Perikatan Nasional (PN) sebagai langkah persediaan awal menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Gesaan pengagihan kerusi itu disuarakan MP Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mahu kedua-dua blok berbincang secara baik bagi mencapai titik pertemuan untuk mengelak pertembungan sesama sendiri yang hanya akan merugikan mereka dan mengakibatkan UMNO yang dipenuhi pemimpin kluster mahkamah kembali berkuasa.
Hassan berkata pendekatan mudah boleh digunakan dalam rundingan kerusi antara kedua-dua blok iaitu dengan menghormati kerusi masing-masing yang dimenangi sebelum ini.
“Peraturan mudah boleh diguna pakai untuk berunding mengatur kerusi antara PH dan PN. Kawasan yang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang dan bertanding dulu, PH hormati.
“Begitu juga kawasan yang PH menang dan bertanding dulu maka Bersatu dan PN perlu hormati. Mungkin 50 peratus pengagihan kerusi dapat diselesaikan, kemudian yang bermasalah 50 peratus lagi boleh bincang baik-baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bagaimanapun sudah ada usaha dilakukan pihak tertentu untuk mengelakkan pertembungan antara PN dan PH dalam PRU15.
Mengulas lanjut Hassan berkata, tidak dinafikan akan wujud masalah praktikal di beberapa tempat misalnya di Muar sebelum ini dimenangi Bersatu, tetapi kini sudah berubah apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berada dalam Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
“Hal-hal seperti ini boleh diselesaikan dengan syarat, berlapang dada dan berbincang,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehingga kini PN masih belum mengadakan perbincangan rasmi dengan PH untuk bergabung pada PRU-15.
Jelasnya, semua parti wajar duduk semeja berbincang bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru pada PRU-15 yang kelak bakal mengundang padah kepada rakyat dan negara.
“Persoalannya bersediakah kita nak duduk? Apakah asas yang mereka nak bincang, nak runding dan bilakah dapat diputuskan perkara itu supaya naratif yang kita nak buat difahami oleh semua.
“Kalau tak faham nanti orang kata ini apa pasal buat macam ni? Kenapa dia lawan dia? Pada saya setakat ini belum ada pertemuan rasmi atau perbincangan yang nak dibuat.
“Saya fikir ada wajar juga usaha ini dapat diberi perhatian oleh semua pimpinan parti-parti terlibat,” katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/05/sudah-boleh-mula-rundingan-kerusi.html