Suami Nekad Jaga Isteri Kanser Tahap Empat Hingga Ke Akhir Hayat
Mohammad Arif Nizam
Suami, Mohammad Ezzemet Iswan Ismail tidak dapat menahan sebak ketika temubual bersama Malaysia Gazette mengenai isterinya yang mengidap penyakit kanser tahap 4 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL KUALA LUMPUR – Jaga sampai ke akhir hayat, itu janji Mohammad Ezzemet Iswan Ismail buat isteri tersayang, Nurul Rehany Ramli.
Bagi Ezzemet, cinta buat Nurul Rehany tidak perlu dipaksa.
Bagaimana rasa cinta itu terbit ketika mula mengenali isterinya tiga tahun lalu, perasaan sayang itu kekal menebal hingga ke hujung nyawanya.
Ujar lelaki berusia 38 tahun itu, janji sudah terikat setia dan biar pun masa merubah segala, sama sekali dia tidak akan berlalu meninggalkan bidadari syurganya itu.
Suami, Mohammad Ezzemet Iswan Ismail bersama anak, Ryo Muhammad ketika temubual bersama Malaysia Gazette mengenai isterinya yang mengidap penyakit kanser tahap 4 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL
“Kami kenal pada 2018 di media sosial dan mula berkawan. Tapi lepas enam bulan kami terputus hubungan sebelum kembali berkomunikasi tiga bulan kemudian dan keluar makan.
“Lepas seminggu jumpa dia cakap, lebih baik saya cari orang lain sebab dia ada kanser payu dara tahap tiga.
“Ketika saya sudah mula suka dia dan saya cakap kita teruskan hubungan ini dan saya berjanji boleh jaga dia,” katanya ketika ditembual MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Mohammad Ezzemet Iswan Ismail dan Nurul Rehany Ramli bernikah pada 2018.Nurul Rehany kini dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak minggu lalu gara-gara tahap kesihatannya yang semakin merosot.
Ini kerana setahun selepas membuang kedua-dua payudaranya, wanita berusia 34 tahun itu disahkan pula menghidap kanser paru-paru, tulang dan saluran darah tahap empat.
Kanser itu dikesan selepas empat bulan dia melahirkan cahaya mata sulung mereka yang diberi nama Ryo Muhammad pada Oktober 2019.
Mengimbas kenangan sebelum berumahtangga, Ezzemet yang bekerja di sebuah agensi kerajaan memberitahu, Nurul Rehany terpaksa membotakkan kepalanya kerana perlu menjalani 16 kali pusingan rawatan kimoterapi.
Selepas 10 hari bernikah, dia berkata, mereka mula diuji dengan kesan penyakit kanser kerana doktor menyuruh isterinya membuang kedua-dua payudaranya bagi mengelakkan virus itu merebak ke tempat lain.
Suami, Mohammad Ezzemet Iswan Ismail tidak dapat menahan sebak ketika temubual bersama Malaysia Gazette mengenai isterinya yang mengidap penyakit kanser tahap 4 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL“Masa hendak berkahwin, dia perlu habiskan 16 rawatan kimoterapi di mana kesannya rambut, bulu halus dan kening isteri saya gugur dan rambut jadi botak.
“Selepas 10 hari bernikah, dia terpaksa buang payu dara kiri dan juga termasuk kanan kerana mengelakkan risiko tinggi untuk merebak.
“Dia sebak sebab sebagai wanita, payu dara adalah aset dan dia takut saya lari. Saya cakap saya akan tetap beri sokongan kepada dia lawan kanser,” kata anak pertama daripada tiga beradik itu.
Ezzemet memberitahu, kelahiran Ryo Muhammad yang bakal mencecah usia dua tahun minggu depan menambahkan lagi kasih sayangnya dan Nurul Reyani walaupun cahaya mata itu diuji seawal hari ketiga kelahirannya.
Ini kerana permata hati itu berdepan masalah saluran jantung terbuka.
Suami, Mohammad Ezzemet Iswan Ismail bersama anak, Ryo Muhammad ketika temubual bersama Malaysia Gazette mengenai isterinya yang mengidap penyakit kanser tahap 4 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZILNamun katanya, Ryo selamat menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara dengan kos RM30,000 hasil sumbangan orang ramai di media sosial.
Memasuki usia Ryo tiga bulan jelasnya, Nurul Rehany dikejutkan dengan berita virus kansernya kembali menyerang dalam tubuh badannya.
“Selepas empat bulan Ryo dilahirkan, kami sedih dan terkejut kerana kanser isteri balik tapi bukan di tempat sama.
“Kali ini, virus kanser telah menyerang paru-paru, tulang dan saluran darah di tahap empat yang merebak dengan cepat dan agresif.
“Bila dapat keputusan doktor itu, kami menangis bersama dalam kereta sebab memikir baru dapat anak. Saya mula bayangkan dia kena buat rawatan kimoterapi semula.
“Jadi saya minta dia fokus kesihatan dan berhenti kerja sebab tidak mahu dia stress,” katanya sebak.
Nurul Rehany kini dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak minggu lalu gara-gara tahap kesihatannya yang semakin merosot.Ezzemet menambah, ujian datang menimpa lagi selepas mereka sekeluarga dijangkiti Covid-19 pada Mei lalu.
Katanya, kesihatan Nurul Rehany selepas itu semakin merosot di mana dia hanya mampu duduk rumah tidak dapat melakukan kerja-kerja berat.
Menurut Ezzemet, tubuh isterinya menjadi kurus, perut membuncit, sukar membuang air besar dan sering muntah tiap kali menjamah makanan dan minuman.
“Sejak bulan Julai lalu, kesihatan isteri saya semakin merosot. Saya rasa sedih sebab banyak-banyak benda yang saya mahu adalah dia masak di rumah. Saya sedih tidak dapat lagi rasa masakan dia kerana kami tidak boleh selalu makan di luar kerana kos hidup yang semakin meningkat,” katanya jujur.
Suami, Mohammad Ezzemet Iswan Ismail bersama anak, Ryo Muhammad ketika temubual bersama Malaysia Gazette mengenai isterinya yang mengidap penyakit kanser tahap 4 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZILEzzemet turut mengakui dia kini berdepan masalah kewangan kerana kad perubatan insurans isterinya adalah polisi lama dan had perlindungan telah melebihi yang ditetapkan.
Pada masa sama, ujarnya, perlindungan insuran syarikatnya juga tidak meliputi penyakit isteri yang sudah lama wujud.
“Perlindungan insurans isteri saya adalah polisi lama dan dia kena tunggu diperbaharui setiap tahun jika jumlah limit perlindungan habis.
“Sementera menunggu limit baharu, saya memang boleh ke hospital kerajaan. Cuma tempoh menunggu giliran agak lama berbanding hospital swasta sebelum ini.
“Lagi pun rawatan kimoterapi tidak boleh ada jarak waktu yang lama dan perlu diteruskan mengikut jadual.
“Saya akui hospital swasta lebih perkhidmatan cepat dan sekali rawatan bil adalah RM20,000,” katanya yang buntu mencari sumber kewangan sementara menunggu limit kad perubatan insurans isternya diperbaharui semula.
Suami, Mohammad Ezzemet Iswan Ismail bersama anak, Ryo Muhammad ketika temubual bersama Malaysia Gazette mengenai isterinya yang mengidap penyakit kanser tahap 4 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL,Ditanya kekuatan yang dimiliki menempuh semua dugaan itu dan adakah bersedia menghadapi segala kemungkinan kehilangan insan tersayang, Ezzemet menahan sebak sebelum meluahkan isi hatinya.
“Saya tidak tahu hendak cakap sekiranya Allah SWT tarik nyawa isteri sama ada saya sudah bersedia atau tidak dari segi emosi. Saya cuma sedih tengok keadaan yang dia yang sakit dan anak yang semakin membesar tanpa mendapat perhatian ibu
“Tapi bagaimana perasaan sayang masa saya hendak bernikah, itu yang membuatkan saya menjadi kuat. Saya cuma hendak membesar Ryo macam anak orang lain.
“Kekuatan saya mungkin sebab banyak bersabar walaupun emosi saya memang terganggu,” katanya.
Foto Instagram Nurul Rehany.Mengakhiri perbualan, Ezzemet dia tanya sama ada dia menyesal berkahwin dengan wanita yang memiliki kanser serta wujud istilah penat berdepan dugaan sepanjang perkahwinannya itu, dia mengakui sebagai manusia dia lemah dan tidak sempurna.
“Ada juga terdetik sebab saya tidak sangka kesan kanser ini tahap sampai sekarang, malah cakap dengan emak saya bahawa kanser ini buat emosi saya terkesan dan terganggu mental dalam menjalani kehidupan seharian ,” katanya berterus-terang.
Sementara itu, orang ramai yang ingin bertanya khabar dan membantu mengurangkan masalah kewangan Ezzemet, mereka boleh menghubungi talian +60 12-694 0046 dan menyumbang di nombor akaun Maybank 151128100025 – Mohammad Ezzemet Iswan bin Ismail. – MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/10/suami-nekad-jaga-isteri-kanser-tahap.html