Stadium Dengan Pasukan Bola Senasib
Di konvensyen BN Selangor pada Ahad lalu, Najib Razak menggariskan beberapa, yang pada pandangannya, “kesilapan” dan “kesalahan” kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan dalam mentadbir Selangor.
Kata beliau, “kepincangan” itu mesti didedahkan kepada rakyat Selangor menjelang PRU15. Tujuannya supaya BN dapat menawan Selangor. BN sudah bosan jadi pembangkang di Selangor, katanya.
Saya tidak bercadang mengiyakan atau menidakkan apa yang Najib katakan, mahupun semua yang disenaraikan beliau. Kecuali satu. Membabitkan Stadium Shah Alam.
-ADVERTISEMENT-Ads by
Najib menuduh kerajaan negeri “selepas 14 tahun nak urus Stadium Shah Alam pun tak mampu”, merujuk keadaan buruk stadium berkenaan yang kerajaan negeri baru-baru ini umum akan dibaik pulih dan dinaik taraf keseluruhannya dengan kos RM787 juta.
Manakala “14 tahun” yang Najib sebut itu merujuk tempoh PH memerintah Selangor bermula 2008 oleh gabungan yang dikenali waktu itu Pakatan Rakyat.
Langkah Najib menggunakan isu Stadium Shah Alam bukanlah memeranjatkan. Stadium itu bersama pasukan bola sepak negeri selaku tuan rumah begitu dekat di hati rakyat Selangor. Maka cakap-cakap mengenai stadium kebanggaan itu, rakyat (baca: pengundi) Selangor akan beri perhatian.
Stadium Shah Alam dibuka pada 16 Julai 1994. Waktu itu Selangor diperintah BN yang bertulang belakangkan Umno. Ketika itu Stadium Shah Alam begitu gah sebagai stadium paling besar di Malaysia, yang bangga dengan pelbagai kemudahan moden serba canggih.
Stadium Shah Alam waktu itu bergerak selari dan seirama dengan kegagahan pasukan bola sepak Selangor. Saya difahamkan pada suatu ketika Sultan Selangor ada mencadangkan sebuah muzium bola sepak diadakan di Stadium Shah Alam.
Pada penghayatan baginda, setiap kali perlawanan besar diadakan di Stadium Shah Alam ribuan penonton sama ada penyokong pasukan negeri baik pun penyokong pasukan pelawat akan berkampung di situ sejak pagi walaupun perlawanan hanya bermula pukul 8.45 malam. Lantas Sultan Selangor mahu menyediakan sesuatu yang boleh dimanfaatkan peminat sementara menunggu perlawanan bermula. Lalu baginda mencetuskan idea muzium.
Peminat boleh meluangkan masa melawat stadium itu menggunakan masa yang terluang ketika berada di stadium. Mereka boleh menjejaki sejarah bola sepak negara, khususnya Selangor lengkap dengan gambar dan video. Juga di pamerkan semua piala yang dimenangi, jersi yang pernah dipakai wira-wira Selangor, dan bermacam barangan berkaitan bola sepak. Semuanya mampu menarik minat peminat.
Tentunya mereka akan dikenakan bayaran masuk tetapi pada harga berpatutan. Kutipan boleh disalurkan kepada tabung stadium atau kantung Persatuan Bola Sepak Selangor.
Baginda yang meminati sukan mendapat ilham setelah mengikuti perkembangan di stadium bola sepak terkemuka dunia, seperti Old Trafford, Camp Nou, dan Santiago Bernabeu.
Ketiga-tiga stadium itu dikunjungi ratusan jika tidak ribuan pelawat temasuk pelancong yang tidak minat bola sepak setiap hari – bukan sahaja pada hari perlawanan besar.
Dikatakan cadangan Sultan Selangor diutarakan kepada menteri besar. Pada waktu itu menteri besar juga presiden FAS – amalan yang berlarutan sehingga 2016. Tidak perlu saya namakan menteri besar terbabit, memadai dikatakan cadangan diberi semasa BN memerintah.
Kita tahu sejak 1996 hingga BN jatuh pada 2008, menteri besar (daripada Umno) silih berganti. Sayangnya tiada seorang yang mengambil langkah untuk merealisasikan cadangan baginda.
Dalam pada itu, lama-kelamaan beberapa masalah mula timbul berhubung kemudahan dan keadaan stadium. Bermula lah masalah “kecil di sana-sini”. Penyelenggaraan nampaknya bukan kekuatan kita.
Maka berkata menteri besar sekarang, Amirudin Shari, tempoh hari “masalah kerosakan Stadium Shah Alam sudah berlarutan sejak zaman pemerintahan BN”.
Apa pun pada 2011 (bawah pemerintahan PR) dikatakan RM3.4 juta dibelanjakan untuk membaik pulih stadium membabitkan sistem lampu, bumbung, rumput gelanggang, tempat duduk, bilik persalinan, dan sebagainya.
Kerja baik pulih dijalankan juga pada 2014 (kerajaan PR menampilkan menteri besar baharu). Setahun kemudian Stadium Shah Alam terpaksa ditutup beberapa ketika untuk kerja pembaikan lagi. Semua nampak sudah pulih pada 2016 untuk membolehkan perlawanan Liga Super diadakan.
Namun keadaan stadium bertambah buruk kemudiannya dan ia ditutup pada 2020. Waktu itu keadaannya amat menyedihkan. Lantas kerajaan negeri tempoh hari mengumumkan langkah terbaharu untuk membaik pulih stadium seperti disebut pada awal artikel ini.
Jika apa yang menimpa Stadium Shah Alam menyedihkan, lebih menyedihkan bencana yang melanda pasukan yang menggunakan stadium itu sebagai “home ground” – The Red Giants. Pasukan yang mempunyai sejarah gemilang sejak era Arthur Koh dan Ghani Minhat ke zaman M Chandran, Mokhtar Dahari. dan Santokh Singh. Juga era semi-pro dan awal era profesional masih membanggakan.
Namun selepas itu kemerosotan menyerap sedikit demi sedikit, walaupun menang Piala Malaysia pada 2015 untuk menamatkan kemarau 10 tahun. Pengurus pasukan ketika itu ialah Amirudin, selaku EXCO sukan kerajaan negeri, manakala Presiden FAS, Azmin Ali, yang juga menteri besar.
Kemuncaknya perbalahan antara Azmin (masa itu orang PKR) dengan ahli majlis FAS (ramai orang Umno). Untuk pendekkan cerita pedih yang panjang, pada 30 Disember 2016 Azmin letak jawatan presiden kerana dakwanya, “barisan EXCO terus bergelumang dengan budaya politik yang tidak bertanggungjawab”. Lantas diganti oleh Subahan Kamal – orang Umno ketika itu.
Azmin bagaimanapun berjanji kerajaan negeri akan “memberi sokongan dan dukungan kepada kemajuan bola sepak Selangor melalui kaedah baharu yang akan diputuskan kelak”. Kaedah itu tidak dihuraikan.
Pun begitu persengketaan terus berlaku. Pasukan Selangor tidak dibenarkan berlatih di kawasan merangkumi Stadium Shah Alam. Ada juga kontroversi berhubung kompleks sukan di Puncak Alam, yang waktu itu dikatakan bawah jagaan kerajaan negeri.
Kerajaan Azmin dilihat tidak “menyokong” pasukan Merah Kuning, sebaliknya tumpuan diberi kepada PKNS FC. Namun menurut sumber kerajaan negeri ketika itu, langkah menyokong PKNS FC munasabah kerana perbadanan itu milik kerajaan.
Media milik kerajaan negeri juga ketika itu kurang memberi liputan kepada pasukan negeri. Keutamaan untuk PKNS FC yang turut beraksi dalam Liga Malaysia.
Hakikatnya pasukan bola sepak Selangor kini tidak segagah dulu. Ini jelas dan nyata. Sudah lama tidak mencapai kejayaan. Masih terkapai-kapai mencari formula kejayaan. Sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran ribuan penyokong Merah Kuning.
Realitinya Stadium Shah Alam dalam keadaan menyedihkan. Begitu juga pasukan bola sepak Selangor.
Tetapi cara memulihkan stadium sudah diketahui, meskipun akan menelan belanja besar. Jika dilakukan dengan baik Stadium Shah Alam akan gemilang seperti dahulu.
Bagaimana pula dengan bola sepak Selangor? Yang pasti tidak ada jalan singkat, tidak ada formula ajaib. Yang perlu usaha keras dan keikhlasan. Ya, ini amat penting. “No politics”. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/08/stadium-dengan-pasukan-bola-senasib.html