Sprm Siasat Isu Sungai Gong Tanah Raub
HARAKAH DAILY

             KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung isu pencemaran Sungai Gong di Rawang.
   SPRM dalam kenyataan berkata ia adalah bagi meneliti unsur-unsur  rasuah melibatkan mana-mana pihak termasuk agensi penguat kuasa.
   “SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan isu itu  untuk tampil memberi kerjasama dengan suruhanjaya ini,” menurutnya.
   Semalam, Bernama melaporkan kilang yang disyaki terbabit  dalam kejadian pencemaran sumber air sungai berkenaan didapati  beroperasi tanpa lesen sejak 2014.
   Kira-kira lima juta penduduk Lembah Klang dan Selangor mengalami  gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Khamis lepas ekoran  pencemaran minyak yang didakwa dilepaskan daripada kilang terbabit  sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan  Rantau Panjang dihenti tugas.  
Dalam perkembangan lain, menurut  kenyataan itu, SPRM Pahang telah memulakan siasatan berkaitan isu  pencerobohan tanah kerajaan negeri yang dijadikan ladang durian secara  haram di Raub.
   “SPRM sedang mengumpul maklumat dan meneliti beberapa dokumen  berkaitan daripada pihak terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai  maklumat berkaitan kegiatan pencerobohan tanah di Raub itu untuk  melaporkan terus kepada pejabat SPRM berdekatan.
   “SPRM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang  terlibat dengan kegiatan rasuah atau salah guna kuasa dalam isu itu,”  menurut kenyataan itu.
   Pada 2 September, Bernama melaporkan Ketua Pesuruhjaya  SPRM Datuk Seri Azam Baki mengarahkan SPRM Pahang untuk mendapatkan  maklumat lanjut dari Pejabat Daerah dan Tanah Raub serta Pejabat  Setiausaha Kerajaan Pahang berhubung perkara itu.
   Menurutnya, langkah itu diambil bagi mengetahui kedudukan sebenar  mengenai perkara yang berlaku melibatkan peneroka di  kawasan itu sebelum SPRM membuat sebarang keputusan lanjut berhubung  perkara itu.
   Pada 1 Ogos, Kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani  kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di tanah kerajaan negeri. – BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/09/sprm-siasat-isu-sungai-gong-tanah-raub.html