Spm Svm Stam Dipinda Ke 22 Feb Stpm Pada 8 Mac Tahun Depan
UMNO ONLINE

PUTRAJAYA – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional  Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dipinda ke 22 Feb  tahun depan, umum Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin hari  ini.
Beliau turut mengumumkan tarikh baharu bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dianjak ke 8 Mac 2021.
Katanya, perincian mengenai semua peperiksaan awam itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Dr Mohd Radzi berkata bagi membantu calon peperiksaan awam membuat  persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan, Kementerian  Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan sesi persekolahan secara bersemuka  akan bermula pada 20 Jan tahun depan.
“KPM berharap ruang yang ada ini dapat memberi manfaat kepada calon  terkesan dengan penutupan sekolah,” katanya pada sidang media  Pengoperasian Institusi Pendidikan Di Bawah KPM Serta Peperiksaan Awam  Tahun 2020 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri I Datuk Dr Mah Hang Soon, Timbalan  Menteri II Muslimin Yahaya dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Dr  Habibah Abdul Rahim.
Beliau berkata jumlah calon yang berdaftar untuk menduduki SPM 2020  adalah seramai 400,445 pelajar manakala bagi SVM pula seramai 8,371  orang untuk Semester 4.
Calon STAM yang berdaftar pula adalah seramai 7,996 orang dan bagi calon STPM adalah seramai 47,008 orang.
Mengenai pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi  Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat, Mohd Radzi berkata KPM  menangguhkannya kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Katanya, bagi peperiksaan percubaan SPM, kerja kursus serta  pentaksiran yang telah dijadualkan sehingga Disember ini dan masih belum  diselesaikan, KPM akan menjadualkan semula semua pentaksiran tersebut  dan memaklumkannya kemudian.
Mengenai kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan  institusi peringkat tertiari awam lain bagi tahun 2021, beliau berkata  penjadualan semula peperiksaan awam itu tidak akan menjejaskan kemasukan  murid ke institusi peringkat tertiari awam serta IPTA melalui sistem  UPUOnline yang dikendalikan Kementerian Pengajian Tinggi.
Beliau berkata peperiksaan Malaysian University English Test (MUET)  untuk pelajar matrikulasi yang dijadualkan pada 8 hingga 19 Dis ini juga  ditangguhkan ke tahun hadapan dan maklumat lanjut mengenainya akan  dimaklumkan kemudian. – BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/spm-svm-stam-dipinda-ke-22-feb-stpm.html