Spm 2024 6 Anak Ykm Catat Keputusan 6a Ke Atas
Keputusan itu lonjakan luar biasa bagi pencapaian keseluruhan anak-anak YKM berbanding SPM 2023.
Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia, Ismail Sabri Yaakob menyampaikan hadiah kecemerlangan SPM 2024 kepada Isma Daniel Khairul Syakirin ketika menziarah keluarga itu di Kapar, Klang. (Gambar YKM)PETALING JAYA: Seramai enam daripada 36 anak-anak Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencatat keputusan 6A ke atas
Menurut YKM, keputusan SPM yang diumumkan pada 24 April lalu itu menyaksikan lonjakan luar biasa bagi pencapaian keseluruhan anak-anak YKM berbanding SPM 2023.
Sehubungan dengan itu, YKM meneruskan tradisi ziarah kasih sempena Program Hadiah Kecemerlangan SPM 2024 di rumah Noor Syahida Mohd Suyud di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang.
Anak sulung beliau, Isma Daniel Khairul Syakirin yang menuntut di SMK Sungai Kapar Indah telah menjadi kebanggaan keluarga itu setelah memperoleh keputusan 10A.
Isma Daniel yang merupakan penerima Bantuan Kasih YKM bersama-sama lima orang adiknya kini disara oleh ibunya selepas bapanya, Khairul Syakirin Abdul Wahab meninggal dunia pada 2022 akibat Covid-19.
Noor Syahida yang berpendapatan sebanyak RM1,500 sebulan menjadikan bantuan bulanan YKM ini sebagai bantuan tambahan untuk memastikan anak-anaknya terus berjaya dalam bidang pendidikan.
Pengerusi YKM, Ismail Sabri Yaakob yang turut menziarahi keluarga tersebut berkata pencapaian Isma Daniel dan lima orang lagi anak-anak YKM dalam SPM 2024 adalah satu pencapaian yang amat membanggakan.
“Alhamdulillah, kejayaan mereka ini merupakan bukti bahawa bantuan yang disalurkan oleh YKM adalah selaras dengan visi dan misi YKM iaitu memastikan pendidikan anak-anak ini terus terbela.
“Sering saya tegaskan bahawa pendidikan sahaja yang mampu mengubah nasib diri sendiri dan keluarga. Harapan saya agar kejayaan yang telah diperolehi ini bakal menjadi batu loncatan kepada semua anak YKM untuk terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi kelak,” katanya.
Ismail yang juga bekas perdana menteri turut menyampaikan Hadiah Kecemerlangan SPM 2024 kepada Isma Daniel termasuk barang keperluan asas dan peralatan elektrik seperti periuk nasi dan periuk elektrik serba guna.
Beliau juga meluangkan masa menziarah kediaman Rohana Nawari di Bangi bagi menyampaikan bantuan hadiah kecemerlangan untuk anaknya Alia Batrisyia Abu Hassan yang memperoleh keputusan 9A.
Empat lagi anak-anak YKM yang cemerlang dalam SPM 2024 juga akan menerima bantuan hadiah kecemerlangan dan akan disalurkan terus ke akaun bank penerima masing-masing. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/04/spm-2024-6-anak-ykm-catat-keputusan-6a.html