Sorakan Di Piala Dunia Ketika Gaza Dihujani Bom
Ketika aku baru hendak bersahur pagi ini, aku dikejutkan dengan sorakan jiran2 sebelah yang menonton World Cup. Hati aku betul2 sedih dan kecewa dengan mereka. Kenapa kau boleh ketawa sedangkan saudaramu di Palestin sedang bersedih. Kenapa kau boleh gembira sedangkan saudara di Syria sedang menangis? Bolehkah kamu bersukaria ketika saudara seagama kamu sedang berdukacita anaknya dibom dan dibunuh dalam detik yang sama?
Aku sering terbaca status macam ni kat Facebook. Sejujurnya aku bukanlah peminat bola sepak yang tegar, dan aku tak pernah berjaga malam untuk menonton World Cup. Aku juga tiada pasukan kegemaran kerana aku tiada motif dan sebab untuk minat mana2 pasukan. Semua negara yang menyertai Piala Dunia ini tiada kaitan dan pertalian apa2 dengan aku. Aku tidak lahir di Germany, ibu bapa aku bukan berasal dari Argentina, aku juga tiada keturunan Belanda, aku tidak pernah menjejakkan kaki ke Brazil.
Sebab itu aku hanya akan menonton video highlight untuk melihat dan menikmati gol2 cantik daripada mana2 pasukan. Aku mungkin hanya akan berjaga malam dan memberi sokongan jika negara Malaysia bertanding di Piala Dunia.
Namun begitu, aku tidak pula rasa nak menyindir, memandang rendah atau bersangka buruk terhadap orang yang hendak menonton bola, menyokong mana2 pasukan dan bersorak jika pasukan pilihan mereka menang di kala Gaza sedang dibedil oleh tentera Israel Zionist.
Malah kalau ada orang nak sokong Argentina walau dikatakan Lionel Messi kononnya menyokong Israel bagi aku takde masalah, sebab orang menyokongnya kerana sukakan skil permainan bola sepaknya, bukan kerana ideologi menyokong Israelnya. Sama juga dengan korang korang korang yang guna Facebook, korang guna Facebook sebab sukakan ciri2 dan fungsinya, bukan kerana menyokong latar belakang Mark Zuckenberg seorang Yahudi.
Neymar takde pulak korang nak kata dia Yahudi?
Ya, memang kita amat sedih dan simpati dengan nasib umat Islam di bumi Gaza, namun apa lagi yang kita mampu dan terdaya untuk lakukan? Kalau ada yang sanggup berjihad pergi mengangkat senjata berjuang bersama rakyat Palestin, itu memang sangat bagus dan aku doakan semoga mendapat ganjaran yang besar di sisi Tuhan walau akan dilabel sebagai militan oleh kerajaan Malaysia.
Selain dari itu, tiada banyak yang kita boleh lakukan. Kita hanya mampu ke sana atas misi kemanusiaan dan rawatan, menyumbang bekalan makanan dan ubat2an, memberi sumbangan wang ringgit dan berdoa akan kesejahteraan umat Islam di Palestin. Yang pasti, berkongsi gambar mayat untuk mendapatkan Like di Facebook dan sebar cerita kenapa Israel tak serang Malaysia kat Whatsapp bukan salah satu caranya.
Dan mengaitkan isu Gaza dengan sukan bola sepak bagi aku kurang wajar. Ia adalah dua benda yang sangat berbeza dan tidak boleh dibuat perbandingan. Adakah dengan menonton dan bersorak kerana bola sepak bermakna orang itu tidak prihatin, tidak peka, tidak ambil tahu dan tidak simpati terhadap nasib rakyat di Palestin? Malah ada je orang Palestin yang tengok Piala Dunia masa kena bom, dan diorang pun main juga bola sepak. Kenapa kita pula yang emosi lebih2 sampai nak kaitkan bola sepak dengan peperangan?
Adakah kita tahu mungkin ada orang yang bangun malam nak tengok perlawanan bola sepak yang sebelum itu beliau menunaikan solat sunat tahajjud dan solat hajat untuk rakyat Palestin? Adakah kita tahu orang yang bersorak meraikan gol kemenangan Mario Götze pada minit ke 113 masa tambahan yang membawa kepada kemenangan Germany ke atas Argentina telah menyumbang RM10,000 kepada tabung Palestin?
Salah ke bila ada orang meraikan sesuatu yang mereka suka dan minat? Adakah kita perlu meratapi dan bersedih setiap masa 24 jam sehari kerana konflik Gaza-Israel ini? Jika bukan mengenai bola sepak, adakah kita tidak boleh bergembira atas perkara lain seperti bermain badminton, meraikan ulangtahun anak, mengambil fotografi perkahwinan rakan, menonton filem bersama keluarga, kejayaan dalam peperiksaan dan lain2?
Adakah bila setiap kali kita gelak ketawa bermakna kita tidak prihatin dan gembira dengan nasib rakyat Palestin? Begitu juga dengan nasib MH370 yang sampai kini masih tidak dijumpai, para pejuang kita yang gugur ketika menjaga dan mempertahankan perairan negara, anak OKU yang ditinggal dan dikurung tanpa jagaan serta lain2 kesedihan. Adakah hanya kerana kita gembira akan perkara lain bermakna kita juga turut gembira atas kesedihan orang lain?
Sejak bila kita pandai membaca hati seseorang dan terus melabel dan menghukum mereka hanya kerana kita tidak minat sesuatu yang orang lain minat dan kita rasa kitalah yang paling prihatin mengenai nasib rakyat Palestin?
Masing2 sudah besar, berhentilah membaca hati orang, bersangka buruk dan terus menghukum serta merasakan yang diri kita ni lebih atas dari orang lain. Mendidik dan mengajak membuat kebaikan itu lebih baik.
tags: antara bola sepak world cup piala dunia sorak meraikan keputusan pemenang winner germany jerman vs argentina lionel messi mario gotze goal gol perbandingan saiful nang sedih gelak ketawa gembira meratapi nasib rakyat palestin gaza dibedil hujan bom peluru berpandu israel yahudi celaka
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://fidzul96.blogspot.com/2014/07/sorakan-di-piala-dunia-ketika-gaza.html